Sunday, September 28, 2008

RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI BERSAMA TIMBALAN PRESIDEN PAS, PADA 3 OKTOBER

BANDAR DARULAMAN – Sempena kedatangan bulan Syawal yang mulia dan penuh keberkatan ini, PEMBELA akan mengadakan majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri Bersama Anak Perantauan. Di mana majlis tersebut akan diadakan pada 3 Oktober, bertempat di Country Height Darulaman, Jenan, bermula jam 8.00 malam.

PEMBELA turut mengundang tetamu jemputan khas hadir ke majlis tersebut iaiatu YB. Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS serta saf kepimpinan PAS Kawasan dan negeri Kedah yang lain.

Menurut Timbalan Presiden PEMBELA, saudara Mohd Dzohir Hamid bahawa, “Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan rakan-rakan dan muslimin-muslimat, khususnya yang berada diperantauan serta di Kubang Pasu di dalam satu majlis perjumpaan iaitu Rumah Terbuka Aidil Fitri”.

Mod Dzohir menambah, “Adanya Majlis Rumah Terbuka bersama anak perantauan ini secara tidak langsung membolehkan mereka yang berpisah atau tidak berjumpa lama kerana berkerja atau tinggal di tempat yang berbeza boleh berjumpa kembali dalam majlis yang diadakan, sekaligus boleh menjimatkan masa serta mengeratkan kembali ikatan ukhwah Islamiyyah di antara umat Islam khasnya”.

“Tahun ini merupakan kali pertama PEMBELA menganjurkan majlis Rumah Terbuka dan Insya allah ia akan diteruskan pada masa depan, ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Mohd Dzohir mewakili PEMBELA ingin menjemput seluruh muslimin dan muslimat Pasu serta anak-anak Kubang Pasu yang berada diperantauan pulang ke Kubang Pasu hadir ke program Rumah Terbuka yang diadakan.

Bagi memeriahkan majlis, YB. Ustaz Nasaruddin Mat Isa dijangka akan menyampaikan ucapan di majlis tersebut, di samping Mohd Jamal Nasir, Presiden PEMBELA.

ISU PAK LAH DAN NAJIB TUN RAZAK

BANDAR DARULAMAN - Pelbagai perkara berlaku dalam bulan puasa ini, khususnya yang melibatkan Pak Lah - Najib Tun Razak, UMNO dan juga Pakatan Rakyat. Paling terbaru ialah isu penangguhan pemilihan UMNO pada bulan Mac tahun depan, persetujuan Pak Lah percepat proses transisi kuasa kepada Najib serta pertukaran potfolio secara suka sama suka antara Pak Lah dan Najib Tun Razak.

Sesungguhnya ia amat menarik dibincangkan serta mengamit perhatian ramai pihak terutamanya dikalangan ahli-ahli UMNO sendiri, di samping para penganalisa politik dan pesaing politiknya membuat analisa.


Adakah semua ini suatu perancangan politik dalaman UMNO itu sendiri yang mahu menyekat kemaraan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan pusat, sekaligus untuk mengurangkan krisis dalaman UMNO yang kian membarah serta membusuk.

Kini situasi dalaman UMNO semakin goyah dan bercelaru sehingga berlaku beberapa perkara pelik. Antaranya ialah :-

Isu 2010 Pak Lah Serah Kuasa Kepada Najib Tun Razak - Umum telah ketahui bahawa sebelum ini Pak Lah menyatakan akan berundur pada Julai 2010 tetapi sekarang ia kata akan serahkan kuasa lebih awal kepada Najib Tun Razak. Sekonyong-konyong Pak Lah kata proses peralihan kuasa akan berlaku lebih awal dari tarikh asal.

Isu Pemilihan UMNO - Dalam isu pemilihan UMNO yang sepatutnya berlaku bulan Disember telah ditangguhkan ke bulan Mac tahun depan. Alasan kukuh langsung tidak ada serta menimbulkan pelbagai spekulasi dari dalam dan luar UMNO sendiri serta merumitkan lagi keadaan.

Isu Pertukaran Potfolio - Secara tergesa-gesa Pak Lah tukar potfolio atau kementerian dengan Najib tun Razak pada minggu lepas. Tindakan Pak Lah telah menimbulkan banyak persoalan dan andaian. Apapun, Pak Lah dan Najib tidak boleh lari dari tanggapan umum bahawa meraka sekarang sedang bermain catur sesame sendiri dan aka nada hulubalang yang akan dikorbankan.

Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu memberi komen berhubung isu-isu tersebut dengan mengatakan UMNO telah terperangkap dalam situasi politik negara yang diaturkan oleh Anwar Ibrahim melalui Pakatan Rakyat, di mana Ketua Pembangkang tersebut secara tegas dan yakin mengumumkan bersedia mengambil alih kerajaan Persekutuan dari UMNO/BN”.

“Ini telah menyebabkan berlaku tekanan dalaman secara psikologi kepada kedua-dua pemimpin teringgi UMNO tersebut, yang sememangnya takut kehilangan kuasa yang mereka miliki sejak dari dulu lagi”, ujarnya lagi.

Tindakan adalah strategi serampang 2 mata dan bersifat komestik semata-mata yang cuba ditonjolkan kepada rakyat bahawa akan berlaku suatu proses transisi kuasa dalam masa terdekat, sekaligus menyakinkan pihak-pihak yang mempertikai kewibawaan Pak Lah supaya mengurangkan serangan kepadanya supaya fokus utama UMNO ialah menghalang proses transisi kuasa kepada Pakatan Rakyat pada bulan Oktober atau bulan-bulan mendatang.

Bagi Mohd Jamal, “walapun Pak Lah mengumunkan pemilihan UMNO akan ditangguhkan pada Mac depan dengan harapan ia tidak menimbulkan banyak masalah, namun ia tetap akan menambahkan lagi keributan dalam parti UMNO tersebut”.

“Senario ini jelas sekali memperlihatkan bahawa sebahagian pemimpin dan ahli-ahli UMNO merasakan Pak Lah adalah liabiliti kepada parti UMNO dan kerajaan pusat yang mereka kuasai” tambahnya.

Mohd Jamal optimis bahawa keputusan yang di buat kebelakangan ini oleh Pak Lah ataupun UMNO adalah kerana kaitannya dengan kemaraan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan seperti yang dicita-cita oleh generasi Malaysia hari ini”.

PEKERJA RENDAH AWAM SAMBILAN MDKP TUBUH BADAN BERTINDAK

BANDAR DARULAMAN - Golongan Pekerja Rendah Awam Sambilan, Majlis Daerah Kubang Pasu yang berjumlah 139 orang telah bertindak menubuhkan sebuah Badan Bertindak Menjaga Kebajikan Pekerja-Pekerja Rendah Awam Sambilan Peringkat Kubang Pasu dalam satu perjumpaan yang diadakan malam tadi di ibu pejabat PEMBELA di Bandar Darulaman.

Majlis tersebut telah dihadiri lebih 70 orang pekerja-pekerja berkenaan, di samping Presiden PEMBELA, Mohd Jamal Nasir, Setiausaha Agung PEMBELA, Basir Hj. Ismail dan 8 orang Ahli Majlis Eksekutif PEMBELA serta wakil Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu iaitu Ustaz Yusof Hj. Ahmad merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Pasu.

Perjumpaan tersebut diadakan bertujuan untuk meminta pihak kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dapat campur tangan dalam hal pengagihan imbuhan atau bonus tahunan yang dibayar oleh Majlis Daerah Kubang Pasu kepada golongan Pekerja Rendah Awam sambilan sempena Hari Raya Aidil Fitri yang dianggap tidak munasabah, tidak telus serta mendikriminasi golongan ini.

Menurut Ketua Badan Bertindak Menjaga Kebajikan Pekerja Awam Sambilan Peringkat Daerah Kubang Pasu, saudara Zakaria Omar yang telah berkhidmat selama 6 tahun dengan pihak Majlis Daerah Kubang Pasu bahawa, pihak pentadbiran Majlis Daerah Kubang Pasu seolah-olah menganak-tirikan serta mendikriminasi kami yang menjadi pekerja rendah awam sambilan sejak dulu lagi”.

“Kami dinafikan hak untuk bersuara samada untuk memberi pandangan ataupun mempersoalkan apa-apa perkara yang difikirkan wajar serta mendapatkan penjelasan berkaitan kami kepada pihak pentadbiran, sehingga kami rasa berada dalam keadaan "di telan mati emak, di luah mati bapak” ujarnya lagi.

“Sebaliknya golongan pekerja kontrak ataupun tetap di Majlis Daerah Kubang Pasu, mereka kelihatan mendapat layanan yang lebih baik dalam banyak hal berbanding kami”, keluhnya.

Zakaria menambah lagi, "kewujudan Badan Bertindak Menjaga Kebajikan Pekerja Awam Sambilan Peringkat Daerah Kubang Pasu menjadi titik tolak sebagai tapak dan ruang kepada golongan pekerja seperti kami meluahkan perasaan, di samping memberi pandangan berhubung hal-hal berkaitan pekerjaan, kebajikan kepada Majlis Daerah Kubang Pasu dengan lebih sistematik dan bersatu hati".

Oleh itu, keutamaan Badan Bertindak pada masa sekarang ialah mahu menyerahkan satu memorandum berhubung isu pembayaran imbuhan atau bonus yang telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu kepada kami pada 26 September lalu, katanya.

“Para Pekerja Rendah Awam Sambilan ingin menuntut supaya cara dan mekanisme pembayaran imbuhan tersebut dikaji semula serta diberi penjelasan secara bertulis dan boleh difahami oleh pekerja, tegasnya.

Di samping, kami ingin menuntut supaya pembayaran imbuhan tahun 2008 yang telah dikeluarkan kepada golongan perkerja dapat di selaraskan dengan kaedah pembayaran imbuhan atau bonus seperti yang dinikmati oleh pekerja kontrak dan tetap. Ia merujuk kepada jumlah pembaran imbuhan kepada pekerja kontrak dan tetap adalah dilakukan secara sekaligus, sebaliknya kepada kami di buat dua kali iaitu pada bulan September dan Disember depan” tegasnya.

Memorandum ini akan diserah oleh wakil perkerja kerjasama PEMBELA kepada Exco Kerajaan Negeri Kedah dan salinan kepada pihak-pihak yang berkaitan dalam masa yang terdekat.

Saturday, September 27, 2008

LAGI ISU PARKING

BANDAR DARULAMAN – Umum ketahui bahawa Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu yang mewakili Kerajaan Pakatan Rakyat dari PAS dan PKR dalam daerah Kubang Pasu berjumlah seramai 15 orang.

Di mana, 15 orang Ahli Majlis tersebut mewakili dua Parlimen dalam daerah Kubang Pasu iaitu Parlimen Kubang Pasu dan Parlimen Jerlun.

Ahli Majlis yang mewakili PAS di Parlimen Kubang Pasu ialah seramai 6 Orang yang terdiri Tuan Hj. Abdul Aziz Jusoh selaku Ketua Whip juga merupakan Naib Yang DiPertua PAS Kubang Pasu , Ustaz Yusof Ahmad, Setiausaha Whip merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu, Ustaz Masduki Abdullah, Timbalan Yang DiPertua PAS Kubang Pasu, Dr. Rohani Abdul Mutalib, Ketua Dewan Mulsimat PAS Kubang Pasu, Hj. Abdul Rahman Dai dan Hj. Ismail Ahmad, kedua-duanya Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kubang Pasu.

Bagi Parlimen Jerlun pula, 3 orang Ahli Majlis dilantik mewakili PAS iaitu Tuan Hj. Abdul Wahab Rahman, Abdul Aziz Hatt dan Hj. Othman. Di mana-mana jumlah keseluruhan Ahli Majlis yang mewakili PAS Kubang Pasu dan Jerlun adalah seramai 9 orang dan selebihnya iaitu 6 orang diwakili oleh PKR. Ini bermakna, jumlah Ahli Majlis mewakili PAS ialah 9 orang dan PKR pula ialah seramai 6 orang dengan jumlah keseluruhannya ialah 15 orang.

Hairannya, dari 15 orang Ahli Majlis yang mewakili PAS dan PKR yang membuang undi untuk menentu dasar berhubung bayaran letak kereta berkupon di Pekan Jitra dan Bandar Darualaman telah menghasilkan 4 jenis keputusan.

Maksudnya, Ahli Majlis telah berpecah kepada 4 kumpulan iaitu kumpulan pertama, seramai 6 orang bersetuju membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon, kumpulan kedua pula seramai 5 orang yang mengundi supaya perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon ditangguhkan sehingga 1 Januari depan, kumpulan ketiga iaitu seramai 3 orang bersetuju supaya perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon diteruskan dan kumpulan keempat pula ialah seorang sahaja yang telah merosakkan kertas undi yang boleh disifatkan tidak boleh membuat pendirian ataupun bersifat bebal.

Kesimpulan yang boleh di buat ke atas perkara ini ialah hanya 6 orang sahaja dari 15 orang Ahli Majlis yang telah dilantik berjaya menggunakan kuasa mereka dengan tepat serta memahami dasar kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan YAB Dato Seri Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak selaku Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman yang mempelopori slogan Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua. Selebihnya, iaitu 9 orang Ahli Majlis tersebut adalah mereka yang tidak peka serta meremehkan perasaan dan kehendak rakyat.

Tinjauan pendapat yang di buat terhadap beberapa orang ahli PAS yang mengetahui perkara ini jelas merasa kecewa dan marah terhadap 9 orang Ahli Majlis yang tidak mengundi untuk membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon tersebut.

Apa yang jelas, mereka yang terlibat akan dipersoalkan tentang kebijaksanaan ataupun kewajaran mereka bertindak sedemikian.

Kaman Jaapar, Setiausaha PAS Kg. Bukit Wang berkata, sikap Ahli Majlis yang menyokong perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon adalah mendukacitakan serta perlu dipersoalkan oleh ahli-ahli PAS”.

Mereka adalah wakil kita dan mereka dilantik oleh PAS. PAS telah mempertegaskan akan membela kesejahteraan rakyat dalam negara ini”, ujarnya lagi.

Bagi Idris Hassan, ahli PAS Kg. Lubuk Kawah pula, “sungguh tidak rasional mereka (Ahli Majlis) mahukan bayaran letak kereta berkupon dilaksanakan kerana sekarangpun rakyat telah dibebankan dengan pelbagai kos sara hidup ekoran dari kekalutan ekonomi negara dan global yang berlaku”.

“PAS Kawasan mesti memastikan bahawa Ahli Majlis yang dilantik dapat memikul tanggungjawab dengan mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan sekelompok manusia lain” tambahnya dengan sinis.

Komen daripada Rosli Omar, mantan Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu pula, “Ahli Majlis jangan membuat keputusan berdasarkan kemampuan mereka semata-mata, sebaliknya membutakan mata melihat keperitan rakyat terbanyak”.

“Apakah mereka sudah lupa bahawa antara punca UMNO/BN dibenci dan di tolak oleh rakyat dalam PRU 12 lalu adalah kerana sikap para pemimpin mereka yang tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat” katanya lagi.

Rosli menambah, “Ahli Majlis berkenaan mestilah merasa malu dan kembali semula melihat asas perjuangan PAS secara keseluruhan ataupun belajarlah dari kerajaan Kelantan bagaimana mereka melayan dan mengutamakan kepentingan rakyat dalam hal-hal yang melibatkan penguatkusaan undang-undang dan seumpamanya”.

YB NASARUDDIN MAT ISA BACA KHUTBAH AIDIL FITRI DI MARKAZ PAS PULAU PISANG

KG. PULAU PISANG - Pada I Syawal depan, PAS Cawangan Pulau Pisang kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Pasu akan menganjurkan program Solat Aidil Fitri bersama YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS Malaysia.

Menurut Ustaz Yusof Hj. Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu merangkap Setiausaha PAS Cawangan Pulau Pisang bahawa pihaknya telah mengatur satu program solat Hari Raya Aidil Fitri, di mana YB. Ustaz Nasaruddin di jemput membaca khutbah, sekaligus berpeluang berjumpa dengan ahli-ahli PAS seluruh Kubang Pasu.

Program ini diadakan setelah mendapat persetujuan oleh YB Timbalan Presiden PAS yang secara kebetulan balik bercuti hari raya di rumah ibubapa mentuanya di Kg. Pulau Pisang.

Sehubungan itu, PAS Cawangan Pulau Pisang ingin menjemput seluruh ahli-ahli dan orang ramai datang beramai-ramai di program Solat Aidil Fitri yang diadakan tersebut. Solat Aidil Fitri tersebut akan diadakan diperkarangan Markaz PAS Cawangan Pulau Pisang

Muslimin dan muslimat yang ingin turut serta di majlis solat Aidil Fitri tersebut di minta hadir pada jam 8.00 pagi serta membawa sejadah masing-masing.

Friday, September 26, 2008

AHLI MAJLIS PAS KUBANG PASU DI DESAK BERI PENJELASAN DAN PERTANGGUNGJAWAPAN BERHUBUNG ISU ‘PARKING’

JITRA - Laporan Mesyuarat Penuh Majlis Daerah Kubang Pasu berhubung dengan keputusan undian berkaitan isu bayaran letak kereta berkupon yang ingin dilaksanakan di Pekan Jitra dan Bandar Darulaman yang diibaratkan menang dalam kalah serta tidak mendapat restu dari Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, maka ia perlu diberi penjelasan dan pertanggungjawapan sepenuhnya dari mereka yang terlibat.

Sesungguhnya, sikap oleh sekurang-kurangnya empat orang Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu yang bersetuju kepada perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon oleh Majlis Daerah Kubang Pasu amat memalukan PAS.

Laporan yang diperolehi bahawa ketua-ketua bahagian dan ex-officeo Majlis Daerah Kubang Pasu serta pegawai-pegawai dalam Majlis Daerah Kubang Pasu merasa terkejut dan hairan dengan hasil undian dan keputusan berhubung isu bayaran letak kereta berkupon yang di lihat tidak senada ataupun solid. Di mana ia memberi gambaran bahawa hanya 6 orang sahaja dikalangan Ahli Majlis yang menentang perlaksanaan bayaran ketak kereta berkupon yang ingin diperkenalkan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu dan 9 orang Ahli Majlis lagi bersetuju ia dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun depan.

Oleh kerana ia merupakan suatu keputusan yang melibatkan dasar, sudah semestinya ia akan memberi kesan terhadap intergriti dan kewibawaan Ahli Majlis selaku pengubal dasar dalam kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Kubang Pasu di minta supaya mendapatkan penjelasan dan pertanggungjawapan dari mereka yang terlibat, khususnya yang telah memberi undi mahu melaksanakan bayaran letak kereta berkupon tersebut, walaupun pada awal tahun depan.

Menurut Che Halim Ismail, Ketua Penerangan PAS Kubang Pasu bahawa perkara ini akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Kubang Pasu akan datang.

Baginya, tindakan sebahagian Ahli Majlis yang mengundi untuk melaksanakan bayaran letak kerata berkupon tersebut amat tidak wajar dan mendukacitakan, sekaligus menggambarkan mereka tidak faham serta menghayati kandungan manifesto Pilihanraya PAS yang lalu.

Pandangannya itu turut disokong oleh Hj Zabedi Usop, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kubang Pasu yang jelas menentang perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon oleh Majlis Daerah Kubang Pasu.

Hj. Zabedi berkata, beliau amat terkejut apabila mendapat tahu hanya 6 orang sahaja Ahli Majlis yang mengundi membatalkkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon berbanding 9 orang lagi mengundi supaya ia dilaksanakan.

Beliau juga bersetuju supaya isu ini dibangkitkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kubang Pasu bulan hadapan supaya mereka yang terlibat boleh memberi penjelasan serta pertanggungjawapan, khususnya di atas amanah selaku pembuat dasar kerajaan di peringkat kerajaan tempatan.

USTAZ FAWWAZ FADZIL MOHD NOOR MINTA MAJLIS FATWA BINCANG ISU ISA DARI SEGI HUKUM ISLAM

PULAU PISANG - PAS Cawangan Pulau Pisang telah menjemput Ustaz Fawwaz Fadzil iaitu anak bongsu Al-Marhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor menyampaikan tazkirah selepas Solat Tarrawih malam tadi.

Program tersebut turut dihadiri oleh Ketua Penerangan PAS Kubang Pasu, Che Halim Ismail dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kubang Pasu iaitu saudara Abdul Razak Omar dan Abdul Hamid Mat Akhir, di samping pimpinan PAS cawangan-cawangan yang berdekatan.

Kepetahan Ustaz Fawwaz menyampaikan tazkirah, mengingatkan kembali para hadirin kepada kehebatan Al-Marhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS yang amat kita sayangi semasa beliau hidup dan memimpin Jamaah PAS.

Di dalam ucapan yang disampaikan, Ustaz Fawwaz secara terbuka meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan tampil memberi fatwa berhubung isu ISA dari segi hukum Islam.

Menurutnya, jika ulamak-ulamak PAS yang membuat fatwa berhubung ISA, sudah pasti pihak kerajaan UMNO/BN yang memerintah akan menuduh ia berunsur politik, tetapi jika fatwa itu dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sudah pasti ia tidak dapat disanggah oleh pihak kerajaan sekarang.

Baginya, ISA merupakan hukum yang zalim kerana ia tidak mengikut lunas-lunas Islam. Ini kerana dalam perundangan Islam, sesuatu kesalahan tersebut ia terlebih dahulu perlu dibicarakan di depan hakim yang adil.

Beliau menegaskan, “ISA adalah hukum yang zalim dan perlu ditentang oleh rakyat supaya keadilan dapat ditegakkan di dalam negara kita”, ujarnya lagi.

“ISA adalah suatu hukuman yang tidak terkandung dalam ajaran Islam dan ia telah menyebabkan ramai rakyat yang menderita tanpa di beri peluang untuk membela diri”, ujarnya lagi.

PAS KG. BELUKAR ANJUR MAJLIS BERBUKA PUASA DAN TERIMA KEMASUKAN 152 AHLI KELAB PENYOKONG PAS

CHANGLON - Majlis berbuka puasa PAS Kg Belukar berjalan dengan meriah dengan jumlah kehadiran seramai 250 orang. Majlis berbuka puasa tersebut turut dihadiri pimpinan PAS Negeri Kedah iaitu YB. Hj. Amiruddin Hamzah selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB. Mohd Nasir Mustaffa, Adun Kubang Rotan merangkap Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kedah serta saf kepimpinan PAS Kubang Pasu.

Di majlis tersebut yang disertai oleh masyarakat berketurunan India turut menyerahkan borang menjadi ahli Kelab Penyokong PAS kepada Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kedah, YB. Mohd Nasir Mustaffa. Seramai 152 orang masyarakat berketurunan India telah menyertai ahli Kelab Penyokong PAS Kubang Pasu.

Majlis bermula jam 6 petang dengan ucapan oleh YB Hj. Amiruddin Hamzah, diikuti ucapan oleh wakil Kelab Penyokong PAS keturuanan India, di samping ucapan oleh Ketua Kelab Penyokong PAS Kubang Pasu. Majlis diakhiri dengan ucapan YB Mohd Nasir Mustaffa serta penyampaian sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri kepada ibu tunggal dari kalangan ahli Kelab Penyokong PAS.

Mengulas program yang diadakan, Che Halim Ismail, Ketua Penerangan PAS Kubang Pasu berkata, program ini adalah anjuran bersama PAS Kg Belukar kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah, ekoran dari pertemuan yang diadakan kira-kira 2 bulan lalu oleh pihaknya dengan wakil kaum India berhubung usaha untuk mewujudkan Kelab Penyokong PAS berketurunan India di zon Changlon.

Che Halim menambah, ‘seramai 152 orang telah menyerahkan borang sebagai ahli Kelab Penyokong PAS yang kesemuanya berketurunan India, di mana mereka ini telah bekerja bersama PAS pada PRU 12 lalu bagi menjatuhkan kerajaan UMNO/BN khususnya di Kubang Pasu”.

“Kesediaan mereka menyertai Kelab Penyokong PAS dengan rela hati adalah tanda mereka yakin dan percaya kepada perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS, sekaligus menafikan dakwaan bahawa Islam yang di bawa oleh PAS adalah perjuangan sempit hanya untuk golongan Islam semata-mata dan membenci golongan bukan Islam, ujarnya lagi.

Sehubungan itu, “PAS Kubang Pasu melalui Lajnah Penerangan dan Dakwah akan meningkatkan lagi gerak kerja penerangan kepada golongan bukan Islam, khususnya ahli-ahli Kelab Penyokong PAS yang menyentuh isu-isu berkaitan dasar kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Kedah Darul Aman serta dasar-dasar perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS”.

Pihaknya sedang berusaha mengundang Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pahang berketuruan India untuk menyampaikan pidato kepada ahli-ahli Kelab Penyokong PAS di Kubang Pasu, khususnya yang berketurunan India selewat-lewat Disember depan” tambahnya lagi.

MENGAPA AHLI MAJLIS TIDAK SEPAKAT MEMBATALKAN PERLAKSANAAN BAYARAN LETAK KERETA BERKUPON

CHANGLON - Walaupun isu bayaran letak kereta berkupon di Pekan Jitra dan Bandar Darulaman telah selesai dengan kelebihan 2 undi bersetuju membatalkan perlaksanaannya, namun ia menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dirungkaikan, khususnya berkaitan sikap dan watak Ahli Majlis yang mewakili PAS dan PKR.

Ini kerana dalam proses membuat keputusan berhubung isu bayaran letak kereta berkupon ia telah dijalankan secara undian. Di mana, 15 orang Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu yang mewakili PAS dan PKR ( 9 : PAS dan 6 : PKR ) telah diberi peluang untuk membuat keputusan di atas tiga cadangan yang ditetapkan iaitu (1) Bersetuju diteruskan (2) Bersetuju ditangguhkan (3) Bersetuju dibatalkan terus.

Setelah undian di buat, 7 undi memilih jawapan bersetuju dibatalkan terus, 5 undian bersetuju ditangguhkan, 3 undian bersetuju diteruskan dan 1 undian rosak.

Menurut sumber dipercayai bahawa, 7 undian yang menyokong membatalkan terus perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon adalah termasuk undian yang diberikan oleh Yang DiPertua Majlis Daerah Kubang Pasu iaitu Datin Barni Mohd Noor. Ia merupakan keputusan yang mengejutkan kerana tiga sebab. Pertamanya, hanya 7 undi sahaja yang mengundi membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon, Kedua ialah 1 undi dari 7 undi adalah dari Datin Barni Mohd Noor yang dianggap sebagai penyokong kuat kepada hasrat melaksanakan bayaran letak kereta berkupon dan Ketiga, 9 orang Majlis Daerah yang mewakili PAS dan PKR memilih mahu melaksanakan bayaran letak kereta berkupon tersebut, walaupun terpaksa menunggu sehingga 1 Januari akan datang.

Walaupun perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon telah dibatalkan, namun dari segi moralnya keputusan tersebut bolehlah dianggap kalah serta tidak mendapat restu majoriti Ahli Majlis kerana hanya 6 orang sahaja yang memberi undi, sebaliknya 9 lagi tidak menyokong membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon tersebut.

Ironinya, ada dikalangan Ahli Majlis yang terus memarahi rakan-rakan yang memberi undi membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon tersebut tanpa sebarang sebab dan tujuan yang boleh difahami.


Jika keputusan undian kita huraikan ke atas sikap dan pendirian Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, maka bolehlah kita beranggapan bahawa 9 orang Ahli Majlis adalah seperti berikut :-

(1) Bersetuju perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon di Peakn Jitra dan Bandar Darulaman dijalankan, walaupun terpaksa menunggu sehingga 1 Januari depan.

(2) Janji dan komitmen mereka untuk memperjuang dan membela hak rakyat adalah merupakan kata-kata politik yang kosong, sekaligus bersifat retorik semata-mata.

(3) Mereka merupakan Ahli Majlis yang gagal menyelami dan menghayati, apatah lagi berusaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat melalui slogan “
Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”.

Di sini kita ingin bertanya, apakah yang mendorong Ahli Majlis Pakatan Rakyat di Kubang Pasu bersetuju untuk melaksanakan bayaran letak kereta berkupon tersebut ?

Sedarkah mereka bahawa, sikap mereka hanya mengundang rasa kekecewaan dan dukacoita diklangan aktivis parti, rkayat dan pemgguna, khususnya yang telah memberi undi kepada PAS dan PKR dalam PRU 12 lalu.

Percayalah Ahli Majlis yang terlibat akan dihukum serta tidak dihormati lagi.

Benarlah jika menyoroti kembali cerita-cerita bahawa perlaksanaan letak kereta berkupon ini sememangnya dipersetujui oleh Ahli Majlis semasa ia dibentangkan pada awal Jun lalu, tetapi persetujuan ini telah bertukar kepada penentangan oleh Ahli Majlis setelah mendapat reaksi yang negatif dari aktivis PAS, rakyat dan pengguna.

Ada Ahli Majlis bila dipersoalkan tentang kewajaran melaksanakan bayaran letak kereta berkupon, beliau menjawap dengan sinis bahawa rakyat atau pengguna yang tak mahu membeli kupon letak kereta, mereka boleh meletakkan di tempat lain saja.

Beberapa alasan lain dikemukana sebagai kewajaran melaksanakan bayaran letak kereta berkupon tersebut antaranya ialah untuk mengurangkan kesesakan lalu-lintas di Pekan Jitra dan Bandar Darulaman, khusus di musim perayaan seperti Hari Raya Aidil Fitri, di samping sabagai sumber pendapatan Majlis daerah Kubang Pasu.

Sehubungan itu, aktivis PAS yang mendukong aspirasi Kubang Pasu, Harapan Baru di minta supaya tampil kehadapan memberi teguran kepada Ahli Majlis berhubung dengan isu ini supaya kejadian yang serupa tidak akan berulang lagi.

Insiden ketidak sepakatan Ahli Majlis dalam membuat keputusan, apa lagi menyebelahi kehendak rakyat seperti isu bayaran letak kereta berkupon ini perlu dijadikan sebagai suatu pengajaran serta di ambil perhatian serius.

Ini kerana mereka dilantik oleh parti, bukannya mereka menjadi Ahli Majlis kerana taraf pendidikan ataupun melalui permohonan seperti proses memohon pekerjaan. Oleh itu mereka berhak ditegur dan di beri ingatan supaya setiap langkah dan keputusan yang mahu di ambil bukan bersandarkan kepada otak diri sendiri tetapi mestilah mendapatkan sokongan dari akar umbi, khusus ahli-ahli parti.

Kita tidak mahu hanya menjadi ahli-ahli dan pengikut setia semata-mata, sebaliknya dinafikan aspirasi untuk memastikan hasrat kepimpinan PAS khususnya di peringkat negeri dan pusat supaya mengembeling tenaga, masa, wang rimggit dan segala-galanya dalam usaha mempertahankan kemenangan kerajaan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 akan datang, Insya allah.

TAHNIAH ! BAYARAN LETAK KERETA BERKUPON PEKAN JITRA DAN BANDAR DARULAMAN DIMANSUHKAN

KUBANG PASU – Mesyuarat Penuh Majlis Daerah Kubang Pasu yang bersidang pada 24 September kelmarin, jam 10.00 pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Kubang Pasu telah membuat keputusan membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon di Pekan Jitra dan Bandar Darulaman berkuatkuasa serta-merta setelah mendapat bantahan dari pelbagai pihak.

Maklumat kepada blog – harapankubangpasu.blogspot.com oleh beberapa orang Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu dan Ex-Officeo yang hadir di dalam mesyuarat tersebut bahawa keputusan membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon yang telah dilaksanakan sejak 15 September lalu adalah hasil dari undian yang dijalankan.

Di mana keputusan undian memihak kepada kehendak rakyat dan aktivitis parti dengan mendapat majoriti tipis iaitu kelebihan 2 undi sahaja, berbandimg jumlah Ahli Majlis seramai 15 orang mewakili PAS dan PKR.

Kemenangan 2 undi tersebut adalah dari 6 undian oleh Ahli Majlis dan 1 undian telah diberikan oleh Yang DiPertua Majlis, Datin Barni Mohd Noor yang berjumlah 7 undian kesemuanya, berbanding 9 undian lagi Ahli Majlis mahukan supaya perlaksanaan bayaran letak kereta diadakan pada masa depan atau sekarang.

Di mana, keputusan 9 undian Ahli Majlis adalah seperti berikut iaitu 5 undi memilih untuk menangguhkan perlaksaan bayaran letak kereta berkupon sehingga Januari tahun depan, 3 undi bersetuju melaksanakan bayaran letak kereta berkupon serta-merta dan 1 undi rosak.

Berdasarkan keputusan tersebut, jelas kelihatan Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu yang dilantik oleh parti PAS dan PKR tidak mempunyai pendapat yang sama, khususnya
dalam membuat keputusan yang melibatkan dasar dan kepentingan rakyat seperti isu bayaran letak kereta berkupon ini.

Ia juga memberi gambaran bahawa sebahagian Ahli Majlis yang dilantik oleh PAS dan PKR tidak memahami hasrat dan aspirasi rakyat yang menolak UMNO/BN, sebaliknya memilih kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah Darul Aman yang melaungkan slogan “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua” dalam PRU 12 lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu, Mohd Jamal Nasir memberi reaksi terhadap isu pembatalan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon, bahawa, “keputusan pembatalan bayaran letak kereta berkupon oleh Majlis Daerah Kubang Pasu, bolehlah dianggap sebagai hadiah Hari Raya Aidil Fitri kepada rakyat dan pengguna kereta yang berkunjung ke Pekan Jitra dan Bandar Darulaman dan ia memperlihatkan kematangan Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu menggunakan kuasa yang mereka miliki”.

Mohd Jamal menambah, sejak awal lagi beliau tidak bersetuju dengan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon oleh Majlis Daerah Kubang Pasu kerana ia menambahkan bebanan rakyat kerana kenaikan kos sara hidup ekoran kenaikan harga bahan api iaitu petrol dan diesel sejak Julai lalu.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada 6 orang Ahli Majlis yang telah berani mengambil keputusan membatalkan perlaksanaan bayar letak kereta berkupon tersebut, walaupun ia merupakan tindakan yang mungkin dianggap merugikan pihak Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Daerah Kubang Pasu”, ujarnya lagi.

Monday, September 22, 2008

SUKARELAWAN BANTU SAUDARA BARU ISLAM KETURUNAN SIAM

JITRA - Sukarelawan PAS Kubang Pasu kerjasama PEMBELA dan Harian Metro telah menghulurkan sumbangan Ramadhan Al-Mubarak kepada saudara baru Islam berketurunan Siam dalam daerah Kubang Pasu.

Majlis tersebut diadakan di rumah Pengerusi Persatuan Cina Muslim Kedah/Perlis, saudara Ibrahim Lai Abdullah, di Kg. Seberang, Jitra pada jam 12.00 tengahari ini.

Program tersebut diserikan dengan kehadiran Mohd Jamal Nasir, Presiden PEMBELA merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu, Sdr. Che Halim Ismail, Ketua Penerangan PAS Kubang Pasu dan anggota - anggota PEMBELA.

Menurut Mohd Jamal, sumbangan kepada saudara Islam berketurunan Siam yang diadakan pada hari ini adalah kerana mereka selama ini belum pernah menerima apajua sumbangan di musim perayaan Hari Raya Aidil Fitri dari mana-mana pihak sejak memeluk agama Islam.

KENYATAAN NAIB PRESIDEN MCA BERSIFAT PROVOKASI

Memetik laporan akhbar Utusan Malaysia (22 September) hari ini iaitu Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim Siang Chai berkata akan wujud ketegangan dan mencetuskan suasana tidak baik kepada perniagaan dan ekonomi jika semua parti berasaskan kaum Cina berpihak kepada pembangkang dan hanya parti berasaskan orang Melayu menjadi parti memerintah.

Hj Zabedi Usop, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kubang Pasu menyangkal kenyataan Naib Presiden MCA tersebut dengan mengatakan dakwaan yang dibuat olehnya adalah terlalu dangkal dan tidak masuk akal.

Beliau mendakwa, mengapa Naib Presiden MCA tersebut boleh beranggapan begitu kerana semata-mata sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat.

Baginya kenyataan oleh Naib Presiden MCA tersebut bersifat provokasi, sekaligus menakut-nakutkan masyarakat Cina untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan baru Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh PAS, PKR dan DAP.

“Kejatuhan ekonomi negara pada hari ini adalah berpunca dari sikap dan kegagalan kerajaan UMNO/BN yang memerintah menguruskan ekonomi negara dengan telus dan bijaksana, ekoran daripada banyaknya amalan rasuah serta pembaziran” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Zabedi mencabar Naib Presiden MCA membuktikan dakwaannya kepada rakyat bahawa jika Pakatan Rakyat yang memerintah dengan sokongan kaum Cina akan menyebabkan negara mengalami kejatuhan ekonomi serta wujud ketengangan kaum.
Harakahdaily melaporkan bahawa, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berpendapat kenyataan Donald Lim Siang itu mengambarkan satu sikap perkauman yang sempit.

Beliau juga menjelaskan bahawa kenyataan itu mengambarkan bahawa MCA kini berada dalam keadaan terdesak dan parti tersebut tidak memahami erti demokrasi yang sebenarnya.
"MCA sebenarnya menghadapi masalah yang sama dengan Umno iaitu parti itu juga sedang menuju kehancuran," kata beliau.

Salahuddin juga menegaskan bahawa pendapat yang dikeluarkan oleh Naib Presiden MCA itu mengambarkan bahawa MCA sebenarnya merupakan sebuah parti chauvenist Cina.
"MCA sering menuduh DAP sebagai parti chauvenist Cina sedangkan hakikatnya mereka yang bersifat begitu," tegas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa MCA dan Umno adalah merupakan dua buah parti yang sering mewujudkan masalah kaum di negara ini.

BALU AKTIVIS PAS PULAU PISANG, TERLIBAT KEMALANGAN JALANRAYA

PULAU PISANG - Ahli-ahli PAS Kawasan Kubang Pasu dirayu menghulurkan sumbangan kepada seorang balu aktivis PAS cawangan Pulau Pisang yang ditimpa kemalangan sejak 2 bulan lalu.

Menurut Hj. Abdul Rahman Ahmad, Ketua PAS Cawangan PAS Pulau Pisang bahawa, balu ini menumpang di rumah mentuanya (bapa arwah suaminya) sejak kematian suaminya kira-kira 2 tahun lalu.

"Balu ini yang tidak mempunyai pendapatan kerana tidak lagi berkerja setelah menimpa kemalangan teruk kerana patah tulang rusuk dan paha serta terpaksa menjaga seorang anak kurang upaya (OKU) yang berumur 17 tahun.

Sehubungan itu, Hj Abdul Rahman merayu kepada mana-mana pihak yang bersimpati terhadap balu ini supaya dapat menghulurkan sumbangan bagi meringgankan beban yang ditanggung oleh mentuanya".

Pihak yang bersimpati menghulurkan bantuan bolehlah menghubunginya di talian 019-5660430 atau datang terus ke Kg. Pulau Pisang pada bila-bila masa.

PAS CAWANGAN LEMBAH PALAS ANJUR MAJLIS BERBUKA PUASA DAN CERAMAH NUZUL QURAN

LEMBAH PALAS - PAS Cawangan Lembah Palas kerjasama Jawatankuasa Masjid Lembah Palas dan RISDA Kubang Pasu anjurkan Majlis Berbuka Puasa (22 Sept) dihadiri oleh lebih 200 orang para jemputan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB. Ustaz Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis dan Ustaz Abu Kassim L. Abdullah, Pengerusi Tetap PAS Pusat, di samping pimpinan PAS Kawasan Kubang Pasu iaitu Hj. Abdul Aziz Jusoh,Mohd Jamal Nasir serta Abdul Rahman Dai' serta pimpinan PAS Cawangan.

Menurut, Hj. Taib Abdul Rahman, Ketua PAS Cawangan Lembah Palas bahawa, program berbuka puasa ini merupakan acara tradisi yang diadakan setiap tahun bagi merapatkan ikatan ukhwah Islamiyah sesama ahli PAS dan masyarakat setempat.

Majlis berbuka puasa diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjamaah dan Ceramah Nuzul Quran yang disampaikan oleh YB. Ustaz Hashim Jasin.


LEMBAH PALAS

KEDAIFAN WARGA EMAS DAN IBU TUNGGAL MENGINSAFKAN PARA SUKARELAWAN PAS KUBANG PASU

JITRA - Program Sumbangan Ramadhan Al-Mubarak anjuran Sukarelawan PAS Kubang Pasu masuk hari kedua dengan para rombongan telah turun ke tiag buah kampong yang di pilih iaitu Kg. Raja, Kg. Padang Limau dan Pekan Tunjang.

Program tersebut telah diketuai oleh Tuan Hj. Taib Abdul Rahman, Penyelaras Sumbangan Ramadhan Al-Mubarak oleh para Sukarelawan PAS Kubang Pasu dengan kerjasama Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA).

Menurut Hj. Taib Rahman bahawa, langkah para Sukarelawan PAS Kubang Pasu menganjur program sumbangan Ramadhan Al-Mubarak adalah tepat pada masanya kerana ia dapat mendekatkan golongan sasaran yang terdiri warga emas, ibu tunggal, anak yatim-piatu dan saudara baru Islam dengan parti PAS kawasan Kubang Pasu”.
“Pembahagian sumbangan tersebut diberikan kepada golongan sasaran tanpa mengira fahaman politik” ujarnya lagi.

Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu yang turut mengikuti rombongan para Sukarelawan PAS Kubang Pasu menjelaskan bahawa, program sumbangan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang dijalankan ini sangat baik, apatah lagi konsep yang dijalankan agak berlaian dengan program yang dijalankan sebelum ini kerana para Sukarelawan turun sediri menyampaikan sumbangan kepada golongan sasaran”.

“Di samping kita turun menyampaikan sumbangan, kita juga dapat menziarahi serta mendekatkan diri dengan mereka, sekaligus dapat melihat sendiri kedaifan yang mereka tanggung dalam suasana sebahagian masyarakat yang mempunyai tahap kehidupan yang lebih baik berbanding meraka, ujar Mohd Jamal.

Sehubungan Mohd Jamal menambah, pada masa-masa akan datang diharapkan program sumbangan Ramadhan Al-Mubarak ini dapat diperluaskan kepada masyarakat bukan Islam kerana ia sekaligus dapat memberi kesan yang mendalam kepada mereka bahawa ajaran Islam adalah untuk kebahagian dan kesejahteraan untuk semua manusia”.

MOHD JAMAL BERAZAM PERKEMAS GERAK KERJA KEBAJIKAN DALAM KUBANG PASU

KG. BINJAL - Program sumbangan Ramadhan Al-Mubarak anjuran Sukarelawan PAS Kubang Pasu masuk hari kedua meliputi tiga buah kampung dalam Dun Bukit Kayu Hitam iaitu Kg. Binjal, Kg. Padang Limau dan Kg. Naga.

Menurut Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kubang Pasu sebanyak 30 rumah golongan sasaran terdiri warga emas, ibu tunggal dan anak yatim-piatu telah dikunjungi oleh para sukarelawan PAS Kubang Pasu.

Sumbangan yang disampaikan oleh Sukarelawan adalah hasil sumbangan orang ramai termasuk ahli-ahli PAS, ahli perniagaan dan kakitangan kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM 18,600.00.

Mohd Jamal berkata, sumbangan Ramadhan Al-Mubarak ini bertujuan untuk PAS Kawasan mendekati golongan sasaran kerana mereka adalah golongan yang dianggap kurang bernasib baik dalam kehidupan berbanding dengan kita yang telah Allah SWT limpahkan rezeki".

Melihat kepada kedaifan golongan ini, Mohd Jamal berazam untuk memperkemaskan gerak kerja Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS pada masa depan supaya ia menjadi sebuah mekanisme parti PAS yang berfungsi untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan masyarakat, khususnya dalam Kubang Pasu.

SUKARELAWAN BERUSAHA KUMPUL DANA BAIKI RUMAH IBU TUNGGAL

TELUK MALEK - Sukarelawan PAS Kubang Pasu telah memutuskan untuk membaiki rumah seorang ibu tunggal di Kg. Teluk Malek yang tinggal dalam rumah usang sejak sekian lama.

Menurut Saadon Hashim, Setiausaha Sekretariat Sukarelawan PAS Kubang Pasu bahawa, kedaifan rumah tempat tinggal seorang ibu tunggal bersama dua orang anak yang berumur 4 tahun dan 8 tahun di Kg Teluk Malek amat menyentuh perasaan kami yang berkunjung ke rumahnya kelmarin sempena program sumbangan bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Ibu tunggal tersebut yang kini tinggal bersama dua orang anaknya tanpa mempunyai pendapatan tetap sejak berpisah dengan suaminya, kini menyara kehidupan hasil sumbangan orang ramai serta mengambil upah menjahit pakaian.

Saadon berkata, “Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai komuniti masyarakat Kubang Pasu bersama-sama membantu ibu tunggal ini supaya dapat hidup di sebuah rumah yang lebih selamat dan selesa”.

Sehubungan itu, Sekretariat Sukarelawan PAS Kubang Pasu akan berkerjasama dengan PAS Kawasan Kubang Pasu dan PEMBELA untuk membantu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin”.

Di minta komen berhubung perkara ini, Setiausaha Agung PEMBELA, Basir Hj. Ismail memberitahu bahawa pihak tidak keberatan untuk turut sama membantu membaiki rumah ibu tunggal tersebut kerana ia merupakan gerak kerja yang sememangnya dilakukan oleh PEMBELA sejak ia ditubuhkan pada awal Mac 2008 lalu.

Sunday, September 21, 2008

SUKARELAWAN PAS KUBANG PASU BERI SUMBANGAN RAMADHAN AL-MUBARAK

TUNJANG - Para sukarelawan PAS Kawasan Kubang Pasu telah mengadakan program sumbangan bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada golongan fakir-miskin, ibu tunggal, warga emas dan saudara baru Islam bermula pada hari ini (21 Sept).
Kelihatan di gambar - Tuan Hj. Taib Abdul Rahman, Pengerusi Penyelaras Sumbangan Bulan Ramadhan Sukarelawan PAS Kubang Pasu bersama Hj Abdul Rahman Ahmad, Ketua PAS Cawangan Pulau Pisang menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima yang telah dipilih.
Menurut Tuan Hj. Taib Abdul Rahman bahawa, sebanyak 30 orang telah menerima sumbangan yang diberikan pada hari ini meliputi Kg. Pulau Pisang, Kg. Teluk Malek dan Kg. Naga.
Program sumbangan ini bermula pada jam 3.30 petang dan berakhir pada jam 5.45 petang, di mana para Sukarelawan PAS telah dipecahkan kepada tiga kumpulan. Masing-masing kumpulan diketuai oleh seorang pimpinan PAS iaitu saudara Ir. Mohd Jamal Nasir, Tuan Hj. Taib Abdul Rahman dan saudara Mohd Dzohir Hamid.
Di samping para Sukarelawan, rombongan tersebut turut disertai oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kubang Pasu iaitu Ustaz Yusof Hj. Ahmad, juga selaku Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu mewakili parti PAS yang dilantik setelah kerajaan Pakatan Rakyat di bentuk selepas PRU 12 lalu.
Hj. Taib menambah, pemerhatiannnya mendapati masih ramai golongan daif yang hidup dalam kawasan Kubang Pasu, khususnya orang Melayu yang beragama Islam, walaupun negara Malaysia telah mencapai lebih setengah abad iaitu sejak 1957 lagi.
"Tidak sepatutnya rakyat di Kubang Pasu yang dilawatinya menanggung nasib yang sangat daif dan memilukan kerana kawasan ini pernah dipimpin oleh seorang Perdana Menteri selama lebih 20 tahun, ujarnya.
Sehubungan itu, Hj. Taib ingin menyeru kepada PAS Kawasan Kubang Pasu khususnya dan kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah pada hari ini supaya dapat mengambil perhatian, sekaligus membantu golongan seperti ini dengan secepat mungkin".

Saturday, September 20, 2008

KUBANG PASU - Gambar kelihatan para Sukarelawan PAS Kawasan Kubang Pasu sibuk menguruskan barang-barang sumbangan untuk golongan fakir-miskin, ibu tunggal, warga emas dan saudara baru Islam pada bulan Ramadhan.
Menurut Hj. Taib Abdul Rahman, Penyelaras Sumbangan Bulan Ramadhan anjuran Sukarelawan PAS Kawasan Kubang Pasu bahawa, pihaknya telah menerima sumbangan berupa barangan dan wang tunai yang dianggarkan sebanyak RM 18,600.00 untuk diagih-agihkan kepada golongan sasaran.
Sumbangan sebanyak itu telah berjaya dikumpul melalui sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA), ahli-ahli korporat serta individu-individu dari dalam dan luar kawasan Kubang Pasu.
Beliau berkata, 'Sumbangan tersebut akan disalurkan kepada golongan sasaran melalaui kerjasama PEMBELA, Persatuan Cina Muslim Kedah/Perlis dan pemimpin PAS dan Keadilan di cawangan-cawangan seluruh Dun Bukit Kayu Hitam, Jitra, Siputeh dan Alor Mengkudu.
Jenis barangan yang akan disumbangkan ialah termasuk beras, beras pulut, Gula, Minyak Masak, Kicap dan Sos Cili serta air minuman berkarbonat.
Sumbangan tersebut akan mula disampaikan pada orang ramai bermula pada 21 - 25 Sepetember ini yang turut disertai oleh wartawan Harian Metro dan Harakah.
Hj. Mohd Taib juga mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang dan mendoakan mereka akan dilimpah rezeki dan keberkatan oleh Allah SWT.

ISU KERAJAAN BARU - JAMAL SOKONG KENYATAAN PRESIDEN PAS

Memetik laporan Harakahdaily pada hari Khamis lalu, Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kubang Pasu menyokong kenyataan yang disampaikan oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang berhubung isu menyertai perubahan kerajaan di peringkat pusat yang menjadi fokus oleh kepimpinan parti dalam Pakatan Rakyat dengan syarat kerajaan pusat nanti mestilah dipandu oleh Islam.
Kenyataan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan Ceramah Nuzul Quran Dan Penjelasan Isu 16 September di Kompleks PAS Kedah baru-baru ini.
Tuan Guru Hj. Abdul Hadi menegaskan "sekarang kita dalam usaha membuat perubahan walaupun disebut 16 September, sudah lepas 16 September hari ini. Walaupun sudah lepas, tetapi kita berusaha hendak buat perubahan, perubahan untuk menukar kerajaan.
"PAS akan menyertai perubahan kerajaan ini dengan syarat. Syaratnya ialah kerajaan ini mestilah dipandu oleh Islam. Dipandu oleh orang-orang Islam. Ini syarat yang dikenakan oleh PAS," tegas beliau.
Tuan Guru Hj Abdul Hadi Menambah, jika syarat ini tidak dipenuhi, PAS tidak akan menyertai perubahan tersebut. Pun begitu, katanya, sehingga hari ini PAS melihat tanda-tanda awal bahawa syarat itu hendak diterima.
"Tetapi kalau syarat itu tidak diterima, kita teguh dengan prinsip. Kita minta pengikut-pengikut PAS setia dengan perjuangan. Ikut arahan, jangan lari dari jamaah biar apa sekalipun berlaku. Ini tanggungjawab dan kewajipan, tegasnya lagi.
Sehubungan penegasan oleh Presiden PAS, Mohd Jamal meminta seluruh ahli dan penyokong PAS supaya jangan terlalu ghairah dengan proses pembentukan kerajaan baru tersebut tanpa melakukan sesuatu yang boleh memperkasa PAS di semua peringkat.
“Di Kubang Pasu ahli-ahli PAS harus sedar tentang tanggungjawab dan peranan masing-masing, khususnya dalam usaha menarik sokongan rakyat dari pelbagai lapisan agama, kaum dan budaya supaya pada PRU 13 akan datang kita dapat menyumbangkan kemenangan dengan kepada PAS, sekaligus menguatkan kerajaan Pakatan Rakyat yang di pimpina oleh PAS, Insya allah, ujarnya.
Beliau menambah, “Kepimpinan PAS di peringkat Pusat dan Negeri tahu bagaimana untuk menyusun startegi bagi memastikan kerajaan baru yang akan di bentuk dapat memberi keuntungan kepada umat Islam dan orang Melayu, di samping tidak melupakan kepada bangsa-bangsa lain yang merupakan warganegara di Malaysia”.

KUBANG PASU, HARAPAN BARU

Selamat datang ke dunia blog “Kubang Pasu, Harapan Baru” yang telah dilancarkan pada jam 5.00 petang di Golf Club Darulaman, Jitra.

Majlis pelancaran blog ini telah dihadiri oleh 35 orang tetamu jemputan yang terdiri dari pelbagai latarbelakang individu yang juga merupakan ahli-ahli PAS dalam kawasan Kubang Pasu.

Menurut sumber dari jurucakap pengurusan blog “Kubang Pasu, Harapan Baru” bahawa tujuan blog ini dilancarkan adalah untuk mendedahkan peristiwa, isu dan kegiatan-kegiatan yang akan berjalankan dalam kawasan Kubang Pasu.

Semoga dengan kewujudan “Kubang Pasu, Harapan Baru” menjadi titik tolak ke arah memperkasakan PAS Kawasan Kubang Pasu dalam segenap aspek, apatah lagi PAS telah diamanahkan menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah Darul Aman.

Sekaligus dapat memenuhi aspirasi ahli-ahli, rakyat dan masyarakat yang bersifat ‘multy racial’ dan pelbagai latarbelakang intisad dalam kawasan Kubang Pasu.

Selamat berblog bersama “Kubang Pasu, Harapan Baru”.