Saturday, January 31, 2009

SELAMAT BERMESYUARAT AGONG TAHUNAN

Blog Harapan Baru Kubang Pasu menerima makluman bahawa PAS cawangan Lembah Palas, Hosba dan Bukit Wang antara cawangan PAS dalam Kubang Pasu yang akan mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan 2009 pada minggu pertama Februari depan.

Hj Taib Abdul Rahman, Ketua PAS Cawangan Lembah Palas memaklumkan bahawa, Mesyuarat Agong Tahunan 2009 bagi cawangannya akan diadakan pada 5 Februari depan, jam 9.00 Malam bertempat di rumah Hj Taib Abdul Rahman, Kg. Lembah Palas yang akan dirasmikan oleh Ustaz Yusof Al-Marhum Hj Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu merangkap Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu.

PAS cawangan Hosba pula akan mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan pada 7 Februari, bertempat di Markaz PAS Hosba, jam 9.00 malam. Setiausaha PAS cawangan Hosba, saudara Rosli Omar berkata pimpinan PAS kawasan Kubang Pasu yang dijemput hadir untuk merasmikan mesyuarat tersebut ialah saudara Che Halim Ismail, Ketua Penerangan PAS Kubang Pasu. Diikuti pada 8 Februari pula ialah cawangan PAS Kg Bukit Wang yang akan diadakan pada jam 9.00 malam, bertempat di Rumah Azizan Wahab, Ketua PAS cawangan berkenaan yang mengundang saudara Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu merasmikan mesyuarat yang akan diadakan.

Tahun 2009/1430 merupakan kali kedua Mesyuarat Agong Tahunan selepas negeri Kedah dikuasai oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PAS dan PKR) dan juga merupakam tahun pemilihan AJK PAS di perigkat cawangan dan kawasan.

Zabeidi Usop, Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu berkata, maklumat yang diperolehi mendapati bahawa pada mesyuarat agong kali ini dijangka akan berlaku perubahan pucuk kepimpinan PAS di peringkat cawangan dan kawasan. Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada ahli-ahli PAS dapat menggunakan hak mereka masing-masing untuk memilih kepimpinan parti samada di peringkat cawangan maupun kawasan berdasarkan kepada kepentingan PAS.

“Di samping kita mungkin memikirkan saf kepimpinan parti bagi penggal 2009/2011, ahli PAS juga disarankan membincangkan perkara-perkara yang lebih penting iaitu menjurus kepada memperkasa PAS Kubang Pasu” ujarnya lagi.

Friday, January 30, 2009

SEKRETARIAT PROGRAM TAUTAN KASIH ZIARAH AHLI MUSLIMAT VETERAN PAS UMUR 120 TAHUN

(Gambar...Sekretariat Program Tautan Kasih PAS Kubang Pasu turun ziarah ahli muslimat PAS Kubang Pasu yang kini berumur 120 tahun di Kg. Pulau Ka'in Mukim Jeram, Tunjang)

Pada hari ini para Sekretariat Program Tautan Kasih memulakan misi pertamanya menjejaki ahl-ahli veteran PAS di seluruh kawasan Kubang Pasu yang disertai oleh wartawan Harian Sinar, cik Nor Azlinda Abdul Hamid.

Mungkin ramai yang terkejut apabila wakil Sekretariat Program Tautan Kasih anjuran aktivis PAS mendedahkan telah menemui seorang ahli muslimat PAS Kubang Pasu yang kini berumur 120 tahun. Bukan suatu fakta yang dikelirukan, tetapi adalah suatu realiti.

Ahli muslimat berkenaan bernama Hajjah Hatiah Hassan, juga dikenali sebagai “ToK Nek Tiah” oleh keturunannya yang kini tinggal di Kg Pulau Ka’in, Mukim Jeram, Tunjang.

Menurut Idris Hj Hassan, Ketua Perhubungan Program Tautan Kasih bahawa, “ pada hari ini kita telah memulakan jejak yang pertama menziarahi seorang ahli muslimat PAS yang telah menjangkau usia 120 tahun. Kunjungan kita pada hari ini ke rumah ahli muslimat berkenaan telah mendapat layanan dan sambutan yang sangat baik dari seluruh kaum keluarganya yang tinggal di kawasan sekitar”.

Rombongan Sekretariat Program Tautan Kasih anjuran aktivis PAS yang mengikuti program ziarah pada hari ini adalah terdiri Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu, di samping Rosli Omar, Muslim Daud, Hj Hashim Abu, Md Saad Kasim serta Setiausaha Agong PEMBELA, Basir Hj Ismail.

Idris berkata, “sesungguh seluruh ahli rombongan yang ikut serta dalam ziarah pada pagi ini rasa amat bertuah kerana dapat bertemu dengan seorang ahli muslimat yang kini berusia lebih satu abad dan masih memiliki pendengaran yang jelas, walaupun menghadapi masalah penglihatan”.

“Lebih mengusik perasaan ahli rombongan ialah mendapati ahli muslimat sentiasa memegang tasbih dan masih mampu berzikir dengan jelas menyebut perkataan ‘Laillahaillah’, apabila di minta berbuat demikian oleh wakil rombongan”, Idris menambah.

Di dalam temubual wakil Harian Sinar dan Sekretariat Program Tautan Kasih dengan anak bongsu Tok Nek Tiah tersebut yang kini sepenuh masa menjaga ibunya tersebut bahawa, walaupun ibunya (Tok Nek Tiah) tidak lagi boleh berjalan dan menjamah makanan berat seperti nasi, namun dia tidak menghidap sebarang jenis penyakit kronik. Lebih mengembirakan lagi bahawa ibunya tidak mendapat sindrom ‘nyanyuk’ ataupun alzhaimer seperti kebanyakan orang tua-tua yang lain.

Menurut Mak Cik Mek anak bungsu kepada Tok Nek Tiah bahawa secara anggarannya Tok Nek Tiah, di saamping mempunyai 7 orang anak kandung (2 Meninggal dunia), beliau juga mempunyai sekurang-kurangnya 60 orang cucu, 40 orang cicit, 12 piot dan 2 piat.

Idris menambah, “dalam perjumpaan antara keluarga Tok Nek Tiah dengan Sekretariat Program Tautan Kasih pada hari ini, satu cadangan telah dicapai iaitu untuk menganjurkan satu majlis Himpunan Keturunan Tok Hatiah kerjasama Aktivis PAS Kubang Pasu dalam bulan Mac depan”.

“Inisiatif ini wajar dilakukan bagi menghimpun seluruh keturunan Tok Hatiah yang juga keturunannya ramai menjadi ahli-ahli PAS bukan sahaja dalam kawasan Kubang Pasu bahkan di seluruh Kedah”, Idris berkata.

Di akhir perjumpaan tersebut wakil Sekretariat Program Tautan Kasih telah menghulurkan sumbangan kepada anaknya (makcik Mek) yang kini menjaga Tok Nek Tiah tersebut.

AKTIVIS TURUN BERTEMU MANGSA KEBAKARAN

(Gambar ..Mohd Jamal Nasir mewakili PAS Kubang Pasu menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa ahli perniagaan yang mengalami kebakaran (Jumaat malam) kelmarin).

AHLI PAS DI SERU PERKUAT AKIDAH PERJUANGAN

Oleh : Asri Baharom

Usrah Kubra siri ke 28 malam ini akan mengupas tajuk “tuntutan Jihad dan Keperluan Menuntut Ilmu” yang dibentangkan oleh Cikgu Mohd Noor Hanapi, selaku Naqib.

Cikgu Mohd Noor Hanapi, juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Kedah berkata, “seluruh ahli PAS wajib memperkuat akidah perjuangan melalui proses tarbiyyah seperti usrah, tamrin dan sebagainya supaya mampu untuk menghadapi fitnah dan ujian yang lebih kompleks dan mencabar di masa depan”.

“Kegagalan perjuangan Islam adalah berpunca dari ahli-ahli tidak memiliki kekuatan akidah perjuangan. Tanpa akidah perjuangan yang kukuh, mana mungkin kita akan dapat melahirkan ahli-ahli PAS yang sanggup berjihad. Bagi mendapat kekuatan akidah, ahli-ahli PAS disarankan supaya menuntut ilmu Islam”, tambahnya.

Beliau memetik Surah At-taubah : 122, Firman Allah SWT yang bermaksud, “ Dan tidaklah betul dan elok orang-orang yang beriman keluar semuanya pergi berperang. Oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari setiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang di tuntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya yang keluar berjuang, apabila orang-orang itu kembali kepada mereka. Mudah-mudah mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa ahli-ahli PAS harus memahami tentang keperluan berjihad dan menuntut ilmu. Dalam Islam kedua-duanya sangat penting dan perlu di beri keutamaan. Apa lagi dalam keadaan kita yang tidak di minta ataupun diarahkan untuk pergi berjihad, wajib menggunakan masa yang ada untuk menuntut ilmu.

Beliau juga menegur tentang sikap ahli-ahli PAS yang tidak suka atapun malas berdamping dengan majlis ilmu dengan berkata, “bagaimana PAS mampu melahirkan ahli yang sanggup berkorban dalam perjuangan Islam sekiranya mereka tidak memiliki tassawur tentang ajaran Islam itu sendiri”.

Oleh itu, PAS semua peringkat perlu memainkan peranan masing-masing memperkasakan program tarbiyyah di tempat masing-masing yang kini semakin lenyap dan tidak dipedulikan.

“Usahalah dengan bersungguh-sungguh hidupkan kembali program usrah, tamrin, kulliah, qiamullail di tempat masing-masing kerana ia adalah asas kekuatan dalaman kepada seluruh ahli-ahli PAS”, beliau menambah.

Thursday, January 29, 2009

PENJELASAN | ISU BAKAR BENDERA PAS

Oleh : Basir Hj. Ismail

Mula-mulanya saya (Basir Hj Ismail) selaku aktivis PAS dan juga Setaiusaha Agong Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA) hanya mahu mendiamkan diri berhubung isu bakar bendera PAS yang dirancang oleh pihak tertentu dalam insiden kekecohan peniaga pasar malam Batu 13, Kemunting, Jitra dengan pihak Majlis Dearah Kubang Pasu, kira-kira 2 minggu lalu. Tetapi setelah dihujani dengan pelbagi pertanyaan dan berita yang bersifat fitnah, maka saya ambil keputusan untuk menjawabnya melalui blog Harapan Baru Kubang Pasu pada hari ini.

Tujuan saya menjelaskan kedudukan isu ini bukan bertujuan untuk menegakkan benang basah atau mencari publisiti serta menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya untuk mempertahankan diri semata-mata. Di samping menjaga nama baik PEMBELA yang kini semakin hari mendapat perhatian banyak pihak. Harapan saya setelah perkara ini dijawab, maka tidak ada lagi mana-mana pihak terus menuduh ataupun mengaitkan saya maupun PEMBELA berhubung isu bakar bendera PAS maupun campurtangan dalam isu peniaga pasar malam Batu 13, Kemunting, Jitra yang berlaku awal bulan Januari lalu.

BAKAR BENDERA PAS

Pada hari kejadian ( 5 Jan ), sekitar jam 12.45 tengahari ketika saya dan dua orang aktivis PAS iaitu saudara Muslim Daud dan Rosli Omar sedang menjamu selera di sebuh warung di Bandar Darulaman untuk mengisi perut yang tiba-tiba lapar kerana tidak sarapan pagi pada hari tersebut. Sedang saya dan aktivis PAS menjamu selera ikan bakar dan ulam kampong, tiba-tiba masuk satu panggilan dari saudara Sarip Satay (nama panggilan) yang memaklumkan bahawa pada petang ini ‘sekumpulan peniaga’ pasar malam Batu 13, Kemunting merancang untuk membakar bendera PAS. Saudara Sarip ialah Setiausaha Persatuan Peniaga Pasar Malam/Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu dan juga Setiausaha PAS cawangan Paya Parit Lateh, Jitra.

Makluman itu menyebabkan saya terdiam sebentar dan tak berikan apa-apa respon kerana ingat ia adalah suatu gurauan semata-mata. Selepas talian dimatikan, sayapun terus makan sambil bercerita kepada dua aktivis PAS yang makan dengan saya tentang hal itu. Mereka berduapun diam dan terus makan. Fikiran saya terus berputar cuba memahami apakah maksud saudara Sarip Satay tersebut. Setelah selasai makan, kamipun segera balik ke opis saya dan duduk sebentar kemudian membuat panggilan balas kepada Sarip Satay untuk dapatkan pengesahan dan cerita yang lebih detail. Dari makluman saudara Sarip Satay, dia menyebut antara nama-nama pihak yang terlibat, saya mengenali orang itu.

Respon pertama saya terhadap perkara itu ialah sarankan Sarip Satay maklumkan kepada Ahli Majlis untuk mereka pergi siasat ataupun selesaikan perkara tersebut. Menurut Sarip Satay kepada saya ialah beberapa orang Ahli Majlis berada di Kuala Trengganu dan salah seorang Ahli Majlis lain yang tidak pergi ke Kuala Trengganu yang telah dihubungi olehnya memberi reaksi yang negatif. Di mana, Ahli Majlis tersebut berkata, “biaq pi lah depa nak bakaq bendera PAS, nanti kita selesaikan lah”.

Secara ringkasnya saya amat memahami situasi yang ada dan tidak ragu lagi tentang makluman Sarip Satay tentang tindakan pihak tertentu yang mungkin benar mahu membakar bendera PAS kerana marahkan pihak MDKP. Para peniaga marahkan MDKP kerana tidak membenarkan mereka berniaga di tempat itu.

Respon kedua saya ialah menghubungi Ustaz Yusof Hj Ahmad, Ahli Majlis dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu. Apabila saya maklumankan, Ustaz Yusof secara spontan menjawab dia dah tahu perkara ini lebih awal lagi dan cuba mengambil beberapa tindakan. Kemudia saya panggil Ustaz Yusof berbincang di pejabat. Dia pun datang dan ceritakan kedudukan yang sebenar serta rasa kecewa dengan tindakan MDKP yang tidak mahu menerima bantahan dari Ahli Majlis supaya hasrat memindahkan peniaga pasar malam Batu 13, Kemunting dibatalkan (Rujuk Memorandum Bantahan Oleh Ahli Majlis Kepada MDKP).

Selepas mendapat maklumat dan memahami Ustaz Yusof bersendirian, maka saya terus ambil tindakan lagi dengan menalipon salah seorang sahabat Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Kedah minta pandangan. Pandangan yang diberikan ada dua tindakan yang perlu dilakukan ialah, pertama, minta mana-mana AJK PAS Kubang Pasu atau ahli PAS pergi buat laporan polis terlebih dahulu berhubung isu bakar bendera PAS dan kedua, cuba halang pihak berkenaan dari bertindak membakar bendera PAS. Sebab bendera PAS adalah bendera parti dan tidak boleh mana-mana pihak yang marahkan MDKP nak ambil tindakan bakar bendera PAS. Ada logik pandangan teman saya itu.

Atas keprihatin sebagai ahli dan aktivis PAS maka saya memberitahu beberapa rakan lain dan panggil mereka datang berbincang. Ketika itu jam menunjukkan sudah masuk solat zohor. Ustaz Yusof minta balik rumah untuk buat persiapan ke tapak pasar malam. Saya ketika itu sedang siapkan laporan polis yang ditaip menggunakan laptop peribadi supaya mudahkan urusan ketika membuat laporan polis nanti.

Langkah lain yang saya ambil ialah dengan menghantar SMS kepada semua Ahli Majlis Eksekutif dan Sukarelawan PEMBELA minta mereka berkumpul di opis secepat mungkin (Jam 2.30pm) untuk di beri taklimat dan tindakan untuk menghalang pihak tertentu dari membakar bendera PAS. Dan beberapa orang termasuk Rosli Omar dan Md Saad Kassim saya kerah terus ke tempat tersebut membuat pemantauan dan memberi laporan kepada saya terus dari sana.

Dari tempat pasar malam, Md Saad melaporkan kepada saya yang masih di opis dan menunggu perkembangan yang berlaku. Alhamdu lillah sekitar jam 3.15 petang, Md Saad laporkan kepada saya bahawa YB. Dr Abdul Isa, Yang DiPertua PAS Kubang Pasu merangkap Speaker DUN Kedah bersama-sama beberapa Ahli Majlis iaitu Cikgu Wahab Abdul Rahman, Ustaz Yusof Hj Ahmad, Dr Rohani Abdul Mutalib, Che On Yusof, Lee Ban That dan Kanna ada di tempat tersebut. Difahamkan kepada saya bahawa kehadiran Dr Abdul Isa adalah arahan dari Menteri Besar. Pada fikiran saya, perkara tersebut akan selesai dan tidak berlaku apa-apa kekecohan antara para peniaga dan pihak penguatkuasa MDKP. Mereka semua akan dibenarkan berniaga kerana wakil Menteri Besar dan Ahli Majlis ada di situ.

Perlu dijelaskan lagi bahawa, bukan kerja saya yang maklumkan ataupun gatal tangan sms kepada Menteri Besar atau Exco sehingga ada arahan supaya Dr Abdul Isa turun ke padang. Siapalah saya yang berani menghubungi MB Kedah. Hanya sekadar aktivis biasa seperti ahli-hali PAS lain. Lainlah kalau saya rapat dengan MB Kedah seperti segelintir ahli-ahli PAS.

Oleh itu, tidak timbul cerita yang mengatakan saya yang pandai-pandai ataupun campurtangan sehingga mendesak MB Kedah selesaikan isu ini. Dan ada maklumat kata MB Kedah marah-marah kepada Ahli Majlis Kubang Pasu yang kebetulan terjumpa olehnya di Kuala Trengganu. Kononnya, MB Kedah marah mereka kerana sms yang saya hantar. Kalau betul hebatlah saya sampai MB Kedah boleh marah mereka kerana sms saya. Lain kali bolehlah saya sms apa sahaja perkara yang Ahli Majlis buat tak kena di Kubang Pasu supaya MB Kedah boleh marah mereka lagi. Tapi....saya tak kisah tentang itu semua samada MB marah mereka ataupun saya. Kedudukan cerita sebenar saya yang tahu dan tidak perlu dikaitkan dengan MB Kedah kerana ini urusan di peringkat PBT yang sepatutnya Ahli Majlis membuat 'post morterm' tentang hal ini.

Apapun, sejak dari awal saya berpendirian bahawa kes-kes kecil berkaitan Majlis Daerah Kubang Pasu sepatutnya diselesaikan oleh Ahli Majlis yang dilantik. Bukan semuanya mesti dengan campurtangan MB ataupun Exco. Kuasa yang mereka ada sudah cukup untuk menentukan halatuju Pihak Berkuasa Tempatan Kubang Pasu. Baik atau buruknya PBT Kubang Pasu adalah bergantung kepada dasar, polisi, idea dan rancangan yang mereka secara langsung terlibat meluluskannya. Kalau semua hal nak guna MB Kedah dan Exco, baiklah Ahli Majlis hantar surat letak jawatan kerana masih ramai ahli PAS yang layak dan berkredibeliti untuk menjalankan tugas sengai Ahli Majlis. Itu saja jalan terbaik kepada mereka yang suka bebal ataupun tak tahu nak guna kuasa menjaga kepentingan rakyat, PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Berbalik kepada peranan saya dituduh sebagai dalang di sebalik isu bakar bendera PAS dan mengadakan demonstrasi bersama peniaga pasar malam Batu 13, Kemunting sehingga mencetuskan kekecohan pada hari itu telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu yang mungkin rasa tidak senang dengan kemunculan saya dalam PAS Kubang Pasu. Bagi saya nak politikkan isu ini yang berbaur fitnah, elok hentikan saja kerana nanti ia memakan diri sendiri. Sepatutnya Ahli Majlis toleh ke belakang tentang sikap mereka yang teleh mengkhianati keputusan parti dan PAS Kubang Pasu dalm isu parking terlebih dahulu. Perkara ini belum selesai dan akan terus menjadi bahan perbualan ahli-ahli PAS.

Sekitar jam 3.45 petang, saya telah menerima banyak panggilan dan sms termasuk dari sukarelawan PEMBELA, ahli persatuan peniaga pasar malam dan para peniaga yang berada di tempat tersebut yang minta saya datang bantu selesaikan kes ini (iaitu dibenarkan mereka berniaga) pada petang itu. Setelah berfikir dan mahu tahu keadaan sebenar di tempat kejadian, maka saya hubungi Mohd Jamal Nasir dan Mokhtar Hamid ajak mereka ke sana. Setelah sampai di sana, saya dapati para peniaga sedang berkumpul di dalam warung yang ketika itu kelihatan wakil MB (Speaker) dan Ahli Majlis sedang duduk dan kerumuni oleh peniaga. Saya tak pasti apa yang sedang berlaku dan mereka bincangkan. Tetapi kehadiran saya diserbu oleh para peniaga dan wartawan yang mengenali saya. Ketika itu juga ramai minta supaya saya berunding bagi pihak mereka dengan penguatkuasa MDKP supaya dibenarkan mereka berniaga.

Langkah pertama yang saya ambil di tempat tersebut ialah bertemu dengan beberapa Ahli Majlis dan tanyakan tentang ‘stand’ mereka dalam hal ini. Kedua saya Tanya Ustaz Yusof tentang ‘stand’ Dr Abdul Isa yang mungkin telah memberi pandangan dan idea tentang hal ini. Ketiga, saya jumpa penganjur (UMNO Batu 13) minta pertanggungjawabannya, apabila MDKP menghalang para peniaga pasar malam tersebut dan keempat saya panggil beberapa Sukarelawan PEMBELA untuk dapatkan maklumat berhubung pihak tertentu yang merancang ingin membakar bendera PAS.

Setelah keempat-empat proses itu saya lalui, maka saya pun berjumpa para peniaga yang berkumpul dan bertanya adakah mereka boleh berpindah ke tempat yang dicadangkan oleh MDKP ataupun masih mahu pertahankan tapak berniaga di Batu 13, Kemunting. Hampir seluruh peniaga yang ada di depan saya berkata mahu terus kekal berniaga di situ. Dan ada yang dah mula mengutuk MB, PAS dan Ahli Majlis, di samping membanding-bandingkan antara kerajaan PAS (PR) dan UMNO (BN).

Bagi memastikan PAS berperanan dan kehadapan membela nasib peniaga Batu 13, Kemunting (sebelum ini YB UMNO lebih berperanan di kacamata peniaga), saya ambil keputusan ajak seorang Ahli Majlis (Kanna) pergi berjumpa pegawai pengutakuasa untuk berbincang. Keikhlasan saya mewakili peniaga untuk berbincang dengan Pegawai Penguatkuasa tidak dilayan. Waktu yang sama ada suara yang bertanyakan saya datang mewakili siapa dan adakah saya dapat arahan rasmi dari Yang DiPertua Majlis Kubang Pasu ataupun wakil MB Kedah untuk berbincang dengan mereka. Keadaan tersebut menyebabkan saya rasa tegang dan ambil keputusan menyerahkan kepada Ahli Majlis atau wakil MB sahaja untuk selesaikan. Sayapun berundur dan pergi berjumpa sekumpulan peniaga meminta mereka mematuhi undang-undang berpindah supaya tidak berlaku keadaan buruk.

Namun cadangan saya dibantah dan mereka mendesak supaya kerajaan campurtangan. Waktu itulah saya mula hubungi Pegawai Khas MB Kedah, Cikgu Raslizan (sahabat saya) maklumkan perkara ini dan minta supaya dia lakukan sesuatu. Jawapan yang saya terima juga mendukacitakan, seolah-olah sahabat saya tidak berminat untuk membantu.

Oleh kerana itu saya ambil keputusan sms kepada Menteri Besar Kedah yang saya memang kenal hati budinya secara dekat. SMS tersebut hanya berbentuk meminta MB Kedah supaya bantu menyelasaikan isu ini sehingga para peniaga boleh berniaga. Itu sahaja maksud sms saya kepada Menteri Besar Kedah. Sayapun tidak pasti adakah sms itu masuk kepada Menteri Besar ataupun dibaca olehnya kerana saya ketahui bahawa beliau sedang sibuk di Kuala Trengganu. Saya lakukan tindakan menghantar sms kepada Menetri Besar Kedah adalah semata-mata mahu isu ini diberi perhatian oleh kerajaan, sekaligus membuktikan kepada rakyat bahawa kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat sememangnya bersungguh-sungguh menegakan solagan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”.

Selepas sms saya hantar saya ambil keputusan balik ke opis sekiat jam 5.15 petang bersama saudara Mohd Jamal Nasir dan Moktar Hamid. Di samping keluarkan arahan supaya sukarelawan PEMBELA tunggu di tempat sehingga keadaaan menjadi tenang dan tidak ada pihak lain (UMNO) ambil kesempatan di sudut politik. Ternyata bacaan politik saya betul bahawa sekitar jam 6.15 petang, pihak UMNO hantar wakil mereka berunding dengan penguatkuasa MDKP. Setelah rundingan dijalankan, maka peniaga dibenarkan berniaga. Itulah hakikatnya.

Kira-kira jam 7.30 malam, saya dapat panggilan dari Ustaz Yusof bahawa para peniaga telah dibenarkan berniaga hasil rundingan yang telah beliau lakukan dengan kerjasama wakil UMNO Kubang Pasu.

Itulah sahaja peranan saya ataupun PEMBELA dalam isu bakar bendera PAS dan juga pasar malam Batu 13, Jitra yang kini di tuduh sebagai dalang kontroversi tersebut.

FITNAH KEPADA SAYA DAN PEMBELA

Ada pihak yang sekarang ini rancak membawa berita bahawa saya dan PEMBELA menjadi dalang disebalik peristiwa ini. Sehinggakan ramai yang mula pandang serong terhadap PEMBELA.

Ada pihak yang memfitnah saya dan PEMBELA yang merekayasa isu sekumpulan peniaga mahu bakar bendera PAS untuk dapatkan perhatian serta keuntungan dari sudut politik.

Fitnah yang lebih besar lagi ialah saya dan PEMBELA adalah agen UMNO untuk jatuhkan kerajaan dan PAS Kubang Pasu.

RUMUSAN

Perlu disedari bahawa saya ataupun PEMBELA tidak berminat untuk mencampuri urusan berkaitan Majlis Daerah Kubang Pasu, jika ia boleh memberi kebaikan kepada rakyat serta menaikan imej PAS.

Sebaliknya, jika tindakan ataupun keputusan MDKP yang jelas merugikan rakyat serta memburukkan imej PAS maka saya dan PEMBELA tidak teragak-agak untuk turut serta terlibat dalam kapisiti yang kami ada. Itu sahaja penegasan yang ingin saya sampaikan kepada mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen memburukkan raputasi saya dan PEMBELA.
Saya dan PEMBELA mesti di lihat dalam dua keadaan iaitu pertama, sebagai aktivis PAS dan kedua bergerak atas nama badan bukan kerajaan (NGO) di Kubang Pasu.

Wednesday, January 28, 2009

PENGUMUMAN | PEMINDAHAN TEMPAT USRAH KUBRA

Hj Taib Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Usrah Kubra memaklumkan bahawa pihaknya mengambil keputusan memindahkan tempah program Usrah Kubra dari Kg Raja, Tunjang ke Markas cawangan PAS, Kg. Binjai, Teluk/Asun yang akan diadakan pada 30 Jan (Jumaat).

Menurut Hj Taib, pemindahan tempat ini adalah disebabkan bahawa Kg Raja telahpun mendapat giliran program usrah Kubra tersebut berbanding dengan PAS Cawangan Kg. Binjai, Teluk/Asun yang telah memohon untuk mengadakan program tersebut.

Adalah dimaklumkan bahawa, Mesyuarat Jawatankuasa Usrah Kubra m inggu lepas, telah memutuskan akan memberi keutamaan kepada cawangan-cawangan PAS yang belum mendapat giliran menganjurkan usrah Kubra tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya mengakui telah memaklumkan dan menemui wakil cawangan PAS Kg Raja bagi menjelaskan perkara tersebut pada petang kelmarin supaya tidak timbul sebarang masalah.

Oleh itu, Hj Taib meminta seluruh ahli usrah Kubra tolong maklumkan perkara ini kepada rakan-rakan lain berhubung keputusan memindahkan tempat usrah tersebut.

DR. ROHANI ABDUL MUTALIB, PEMIMPIN DINAMIK DAN BERKARISME

SEJARAH | DEWAN MUSLIMAT SAYAP PAS

Dewan Muslimat ditubuhkan secara rasmi pada 3 Januari 1953 serentak dengan penubuhan Dewan Ulama', Dewan Pemuda dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Kepala Batas Seberang Perai. Penubuhannya telah dicadangkan oleh Al-Marhum Ustaz Zabidi Hj Ali, Ahli Jawatankuasa Agung PAS yang di buat dalam Mesyuarat Agung PAS pada 3 April 1952.

Ketua Dewan Muslimat yang pertama ialah Puan Sharifah Rahmah bersama sebuah Jawatankuasa Dewan Muslimat seramai tujuh orang. Bagi membolehkan Dewan Muslimat bergiat secara sah dan teratur, satu peruntukan di bawah "Aturan dan Peraturan Kecil Dewan Muslimat PAS" dirangka dan disahkan oleh Jawatankuasa Agung PAS. Pindaan Perlembagaan PAS pada tahun 1973 telah menyaksikan bagaimana segala urusan Dewan Muslimat telah disatukan dalam Perlembagaan PAS.

Justeru itu, objektif kewujudan Dewan Muslimat turut dipinda menjadi tugas-tugas am yang disebutkan dalam Fasal 28 ceraian 3, pecahan ke (7). Fasal tersebut menyatakan secara jelas bahawa tujuan Dewan Muslimat ialah “untuk menyatukan tenaga Muslimat-Muslimat dalam negara ini bagi meluaskan pengaruh PAS di kalangan wanita-wanita Islam melalui kegiatan-kegiatan Muslimat sambil membentuk keperibadian mereka supaya menjadi muslimat yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta meyakinkan mereka kepada cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS."

Visi Dewan Muslimat ialah "Tertegaknya Daulah Islamiyyah di Malaysia Menerusi Tenaga Muslimat". Pencapaian visi tersebut disertai dengan misi membina masyarakat berakhlak dalam semua bidang kehidupan manusia dan pendokong kepada ajaran Islam sebenar; dan melahirkan muslimat mujahidah berilmu, beriman, beramal, bertaqwa berperanan sebagai da'ei kepada masyarakat.

Tujuan penubuhan Dewan Muslimat adalah untuk (i) Menyatupadukan wanita-wanita Islam ke arah pembentukan perjuangan yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya; (ii) Menanam dan menghidupkan jiwa dan semangat keIslaman sebenar agar segenap ajaran dan petunjuk Islam menjadi amalan dalam penghidupan wanita seharian; (iii) Berusaha memperbaiki nasib dan darjat penghidupan wanita-wanita Islam; dan (iv) Bekerjasama dengan ahli-ahli PAS lain untuk melaksanakan segala cita-cita dan tujuan PAS.

DR ROHANI | KEPIMPINAN MUSLIMAT YANG DINAMIK

Dr. Rohani Abdul Mutalib merupakan tokoh politik muslimat yang tidak asing lagi bukan sahaja di Kubang Pasu malah di negeri Kedah Darul Aman. Penglibatan awalnya dalam saf kepimpinan PAS Kubang Pasu bermula pada tahun 2001 iaitu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa tambahan PAS Kubang Pasu di era kepimpinan Ustaz Yusof Abdullah (YDP Kubang Pasu). Kini peranan dan sumbangannya memacu perkembangan dan kemajuan muslimat dan Dewan Muslimat PAS Kubang Pasu tidak boleh dipertikaikan lagi.

Di atas komitmen dan iltizamnya yang tinggi memperjuang cita-cita Islam melalui wadah PAS ini, maka beliau telah diberi kepercayaan oleh parti menjadi calon bertanding dalam Pilihanraya Umum sebanyak dua kali iaitu pada PRU 11 dan 12 lalu. Dr Rohani merupakan calon pilihanraya dari kalangan muslimat yang pertama dalam sejarah politik PAS Kubang Pasu. Sekaligus telah melenyapkan dakwaan kolot dan jumud UMNO bahawa PAS menolak wanita sebagai calonnya.

Kepimpinan Dr Rohani sebagai Ketua Dewan Muslimat Kubang Pasu bermula tahun 2003, apabila di pilih oleh perwakilan muslimat Kubang Pasu dalam Mesyuarat Agong Tahunan Muslimat pada masa itu. Kepimpinannya kekal sehinggalah ke hari ini. Perlu diakui bahawa kepimpinannya telah banyak membawa kemajuan yang baik kepada PAS Kubang Pasu, khususnya dikalangan muslimat serta pengundi wanita. Ia sekaligus telah meletakkan Dewan Muslimat sebagai tenaga penting dan berkesan dalam gerak kerja pilihanraya, di samping dakwah dan tarbiyyah.

Suatu yang perlu dikongsi bersama tentang Dr Rohani ialah sikap ramah, dedikasi dan prihatin terhadap ahli dan rakyat telah menyebabkan ada dikalangan ahli dan aktivis PAS mahu mencalonkannya sebagai Yang DiPertua PAS Kubang Pasu pada sesi 2009/2011 akan datang. Walaupun mungkin hal ini sukar dilaksanakan kerana persepsi dan isu fundemantal yang masih menebal dikalangan ahli-ahli yang berfikiran konservatif, namun sekurang-kurangnya ia telah membuka ruang wacana dan pemikiran baru dalam PAS Kubang Pasu.

Hakikatnya kita harus mengakui bahawa Dr Rohani adalah di antara kepimpinan muslimat Kubang Pasu yang dinamik dan memiliki karisma yang tersendiri perlu dimanfaatkan untuk perjuangan Islam di masa kini. Sokongan padu dan bersungguh-sungguh kepadanya menjayakan visi dan misi Dewan Muslimat PAS Kubang Pasu perlu digarap kembali oleh seluruh ahli, aktivis dan penyokong PAS serta saf kepimpinan PAS, supaya ia akan melahirkan natijah yang baik kepada PAS di masa depan.

MUSLIMAT | POLITIK DAN PILIHANRAYA

Umum telah ketahui bahawa PAS berjaya meraih kemenangan di beberapa negeri, atas dasar ”tahaluf siasi ” iaitu kerjasama politik. Kini PAS telah mengwujudkan kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di Kedah, Perak dan Selangor, di samping mengekalkan kekuasaannya di Kelantan dan berkerjasama di Pulau Pinang.

Kemenangan PAS di Kedah telah meletakkan peranan dan tanggungjawab muslimat lebih mencabar dan kompleks. Tuntutan dan harapan mengisi kemenangan ini sudah tentulah di tagih oleh rakyat, khususnya ahli-ahli PAS dan seluruh penyokong Pakatan Rakyat, di samping juga masyarakat awam.

Oleh itu, Dewan Muslimat Kubang Pasu perlu menoleh dan mendonggakkan muka mereka melihat sekelilingnya tentang peranan yang sepatut dimainkan. Sebagai salah satu sayap kepada PAS, Muslimat PAS mesti mampu melepasi kepungan pemencilan dan kekangan yang membatas peranan dan sumbangan yang wajar dilaksanakan. Muslimat mesti kehadapan menjadi tenaga penting dalam semua bidang kemasyarakatan khususnya dalam menaikkan martabat wanita, meletakkan hak-hak wanita kembali ke tempat asalnya serta membela masyarakat wanita yang ditindas serta golongan remaja dalam Kubang Pasu.

Ini kerana, PAS adalah perjuangan suci dan berbeza dengan perjuangan feminisme barat yang menjadi ikutan wanita UMNO yang sering dilihat bersaing hebat dengan kaum lelaki di segenap ruang kehidupan yang beroreantasikan keduniaan semata-mata. Menghidupkan peranan Dewan Muslimat Kubang Pasu sebagai pendokong dan pelengkap terhadap agenda PAS sebagai sebuah Jamaah Islam untuk mengangkat tamadun dan martabat manusia selari dengan ajaran Islam adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringgan oleh muslimat itu sendiri.

Sokongan terbuka ahli dan aktivis PAS terhadap kepimpinan Dr Rohani menerajui Dewan Muslimat pada penggal 2009/2011 akan datang mesti dilihat sebagai sesuatu harapan yang cukup tinggi dan ditanggapi dengan keinsafan. Jawatan bukanlah menjadi sandaran mutlak untuk melakukan kerja untuk Islam. Tetapi, tanpa jawatan adalah sukar untuknya melakukan kerja kerana ia merupakan hukum beroganisasi yang telah diterima pakai oleh sekalian manusia.

Oleh itu, sokongan yang diberikan kepadanya hendaklah dilihat sebagai jelmaan manifestasi kepercayaan, keyakinan serta pengiktirafan oleh ahli dan aktivis kepadanya untuk memacu muslimat Kubang Pasu melayari bahtera perjuangan di Kubang Pasu ini. Semoga Dr Rohani lebih gigih dan bertenaga serta mampu memberi sentuhan yang lebih bermakna kepada PAS Kubang Pasu, khususnya muslimat dan golongan wanita serta remaja. Sesungguhnya, ‘tangan yang menghayun buaian, mampu untuk mengoyang dunia’ seperti yang selalu diungkapkan olehnya akan menjadi kenyataan.

Selamat berjuang dengan gigih kepada Dr. Rohani.

ISU PERKASA PAS | SOAL-JAWAB BERSAMA MOHD JAMAL NASIR

Agenda memperkasa semua peringkat organisasi PAS, bukanlah idea baru ataupun suatu isu bersifat retorik semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan agenda parti yang terbit dari arahan pimpinan tertinggi PAS sejak sekian lama. Ia suatu agenda yang mesti diberi keutamaan, jika PAS mahu memenangi Pilihanraya ataupun menjadi sebuah Jamaah Islam yang dinamik di Negara ini. Oleh itu, sikap memandang remeh ataupun menidakkan usaha mana-mana pihak dalam PAS untuk memperkasa mana jua mekanisme PAS, adalah ibarat ‘duri dalam daging’ yang perlu diubati dengan segara. Kesannya amat dahsyat kerana ia akan membarah dan membahaya kepada PAS.

Apakah yang dimaksudkan memperkasa PAS ?.

Secara peribadi saya memahami bahawa memperkasa PAS adalah suatu tindakan, usaha maupun perancangan untuk menekankan peranan PAS dalam kehidupan masyarakat yang bersifat ‘multi racial’, di samping memberi makna dan jati diri yang ampuh kepada pejuang-pejuang ataupun ahli-hali PAS itu sendiri dalam konteks ajaran dan suruhan agama. Di mana ia bermula dari pemerosesan kekuatan akidah Islam yang berkaitan faham ketuhanan, kenabian, kebenaran, agama dan nilai-nilai akhlakiyah sehinggalah kepada persoalan perlaksanaan undang-undang Islam dalam sebuah Negara.

Ertinya, memperkasa PAS adalah sebahagian dari kerja dakwah dan tarbiyyah yang tidak boleh berhenti dan wajib dilaksanakan sepanjang masa.

Dalam konteks Kubang Pasu pula, gerak kerja memperkasakan PAS nampaknya tidak direstui ataupun dipinggirkan apabila PAS Kawasan melalui Setiausahanya secara sedar ataupun tidak telah mengeluarkan surat pekeliling menamatkan program memperkasa PAS tersebut. Di samping mendakwa telah mencapai matlamatnya dan juga mengingatkan cawangan-cawangan supaya berhati-hati dengan program yang bukan dianjurkan ataupun direstui oleh PAS kawasan.

Sesungguhnya tindakan PAS Kawasan Kubang Pasu menamatkan program memperkasa PAS adalah langkah yang dikira kurang bijak dan boleh dipertikaikan. Di samping, memperlihatkan sikap sebenar mereka yang tidak peduli tentang permasalahan yang melanda dalam kawasan selama ini yang menjadi punca kepada kelemahan PAS Kubang Pasu dalam semua aspek.

Sehubungan itu, Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu memberi respon berhubung isu memperkasa PAS Kubang Pasu yang kini sedang diperkatakan secara meluas dikalangan ahli-ahli dan aktivis PAS dalam Kubang Pasu menjelang Mesyuarat Agong Tahunan di peringkat cawangan dan kawasan.

S: Apakah pandangan saudara tentang PAS Kubang Pasu

J: Secara peribadi saya boleh mengatakan bahawa PAS Kubang Pasu berada dalam keadaan yang baik.

S: Apa maksud saudara ‘berada dalam keadaan baik’ tersebut ?

J: Maksud saya ialah PAS Kubang Pasu telah berjaya melakukan kerja dan menunaikan amanah seperti mana yang dikehendaki oleh ahli dan parti mengikut kapisiti dan kerangka yang telah ditetapkan.

S: Adakah saudara bersetuju bahawa PAS Kubang Pasu telah mencapai matlamatnya ‘Memperkasa PAS’ ?
J: Sukar untuk kita mengukur tahap pencapaian matlamatnya memperkasa PAS tersebut. Ini kerana, ia tidak boleh di lihat dalam konteks yang objektif semata-mata. Sebaliknya ia memerlukan kita melihat secara keseluruhan mekanisme yang terlibat dalam PAS itu sendiri. Namun tidak berlebih-lebih kalau saya katakana bahawa ada matlamat yang telah dicapai dan masih banyak juga belum tercapai.

S: Boleh jelaskan jenis matlamat yang dicapai ?
J: Untuk menjawab secara spesifik soalan ini agak susah sikit. Ini kerana, gerak kerja berkaitan politik adalah bersifat subjektif. Jangan dinafikan bahawa gerak kerja politik PAS di Kubang Pasu yang dilakukan oleh pimpinan sekarang adalah mengikut kemampuan yang mereka ada.

S: Maksudnya, saudara akui PAS Kubang Pasu capai matlamatnya ?
J: Ya. Perlu dijelaskan lagi bahawa mencapai matlamat bukan bermakna PAS Kubang Pasu telah berjaya memenangi kerusi di peringkata Parlimen ataupun Dun. Ia harus melihat kepada usaha dan gerak kerja yang dilakukan dari keputusan yang telah di buat.

S: Adakah saudara setuju jika ahli mengatakan PAS Kubang Pasu berada dalam keadaan yang lemah dan kaku ?

J: Maaf… saya tak boleh komen tentang ini, sebab saya baru sahaja dilantik sebagai AJK PAS Kubang Pasu. Dari pengamatan secara peribadi bahawa untuk kita mengatakan PAS Kubang Pasu itu lemah dan kaku tanpa sebarang bukti adalah sesuatu yang tidak adil dan perlu diperbetulkan. Kayu ukur apa yang digunapakai mengatakan PAS Kubang Pasu itu lemah dan kaku. Itu perlu saya tahu dulu. Baru boleh saya komen nanti.

S: PAS Kubang Pasu mengatakan mereka telah mencapai matlamat ‘Memperkasa PAS’. Adakah saudara bersetuju.
J: Tadi saya dah jelaskan tentang itu. Sesungguhnya agenda memperkasa PAS adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh ahli dan saf kepimpinan dalam mana-mana organisasi parti. Setiap ahli bertanggungjawab untuk berusaha memperkasakan PAS mengikut kemampuan mereka masing-masing. Kalau ahli dah perkasa, pastilah PAS juga akan turut perkasa.

S: Apa cadangan saudara untuk perkasakan ahli ?

J: Ahli mesti memiliki ilmu dan beramal dengan ilmu. Ilmu yang maksudkan adalah semua yang berkaitan dengan kehidupan manusia itu sendiri. Mencari ilmu tanggungjawab peribadi dan tidak boleh nak salahkan orang lain. Soalnya…adakah ahli PAS Kubang Pasu suka menacri ilmu. Kalau suka, tandanya ahli PAS akan perkasa, tapi kalau tak suka cari ilmu kita kena usahakan supaya mereka berminat cari ilmu. Hidup tanpa ilmu, ibarat gelap tanpa lampu.

S: Berbalik kepada tindakan PAS Kubang Pasu keluarkan surat pekeliling berhubung penamatan program perkasa PAS Kubang Pasu. Apa komen saudara ?

J: Saya belum tengok surat pekeliling tersebut. Jadi tak boleh nak beri komen tentangnya.

S: Jika saudara dapat tengok, apa komen tentangnya ?

J : Sebagai jawapan awal, saya kira mungkin ahli-ahli salah faham tentang maksud surat tersebut. Tidak mungkin PAS Kubang Pasu akan tamatkan program memperkasakan PAS. Jika itu dilakukan ia adalah tidak wajar dan saya akan menegurnya nanti.

S: Komen saudara tentang cerita-cerita yang mengatakan usrah Kubra yang dijalankan oleh aktivis PAS Kubang Pasu cuba dihalang oleh pihak tertentu. Buktinya surat pekeliling yang dihantar kepada cawangan-cawangan ?

J: Tidak masuk akal kalau PAS Kubang Pasu nak halang usrah Kubra. Sebab apa nak halang program usrah. Usrah adalah program tarbiyyah sangat baik. Ia perlu diadakan oleh setiap organ parti. Saya amat yakin bahawa PAS Kubang Pasu akan menyokong usaha baik yang dijalankan oleh aktivis menjayakan usrah Kubra tersebut. Saya ingin menyebut bahawa saya salah seorang yang terlibat dengan program ini sejak dari mula lagi.

S: Usrah Kubra medan aktivis PAS jatuhkan AJK PAS Kubang Pasu ?

J: Karut ! . Fitnah semata-mata. Pihak yang mengada-adakan cerita usrah Kubra sebagai kumpulan menjatuhkan pimpinan ataupun merosakkan perpaduan dalam PAS adalah persepsi yang salah dan tidak tepat. Adakah orang tersebut ikut usrah Kubra. Saya adalah ahli usrah Kubra. Usrah yang diadakan ini sangat baik kerana dapat mengeratkan ukhwah antara ahli, membentuk fikrah dan ia dipimpin oleh ahli PAS yang berpengalaman dan istiqomah. Jika ada pihak yang menentang ataupun memandang serong pada usrah Kubra, eloklah berjumpa dengan pihak penganjur supaya salah faham tersebut dapat diperbetulkan.

S: Usrah Kubra bukan anjuran PAS Kubang Pasu. Ini bermakna ia telah membelakang organisasi serta boleh mendatangkan fitnah kepada PAS Kubang Pasu itu sendiri ?
J: Mengapa perlu dipersoalkan siapa yang menganjurnya. Cukuplah kalau kita tahu mereka adalah ahli-ahli PAS dan naqibnya juga dari kalangan pimpinan PAS. Tak guna kalau PAS anjur, tapi naqib bukan dari kalangan pimpinan PAS. Lebih lagi yang tak ada fikrah PAS. Itu yang bahaya.

S: Apa peranan usrah Kubra ?
J: Dari pengalaman saya, usrah dapat melahirkan amilin yang ikhlas dan bermotivasi, apabila musim pilihanraya. Sukar untuk kita berjumpa petugas pilihanraya yang telah mengikuti usrah parti tidak bersembahyang ataupun menjaga syaksiyyah. Semua mereka adalah petugas yang berkualiti. Sebab itu usrah penting.

S: Akhirnya, apa harapan saudara kepada PAS Kubang Pasu ?

J: Harapan saya mungkin sama dengan ahli-ahli PAS lain iaitu mahu melihat PAS Kubang Pasu menguasai arena politik setempat. Di samping, PAS menjadi sebuah Jamaah Islam yang boleh menyelesaikan permasalahan umat mengikut acuan Islam. Optimistik saya ini kerana melihat ‘trend’ sekarang, di mana rakyat sudah berani menolak UMNO/BN dalam PRU 12 lalu dan PR Kecil Permatang Pauh dan Kuala Trengganu.

RENUNGAN UNTUK PIMPINAN KUBANG PASU

Gayung Bersambut : Asri Baharom

Terkesan dinaluri saya (Asri Baharom) untuk menghambur pendapat dan respon tentang surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha PAS Kawasan Kubang Pasu yang terlalu banyak maksud tersirat dalam alasan yang tersurat. Entah apa yang sedang menghantui pimpinan PAS Kubang Pasu sehingga meminggirkan pemikiran dan akal bestari sebagai pejuang dan da’ie sebuah jamaah yang berorientasikan pertubuhan dakwah terulung dan unggul di negara ini.

Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pemimpin Kubang Pasu persis seekor tikus yang takutkan kucing, ekoran usaha dan iltizam ahli dan aktivis PAS dalam Kubang Pasu yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kawasan, kerana berjaya mencetuskan evolusi dan lonjakkan baru dalam program-program berkaitan tarbiyyah yang sememangnya menjadi agenda utama PAS kepada ahlinya.

Entah ketakutan apa yang menghimpit pimpinan PAS Kubang Pasu sehingga kelihatan berfikiran sempit, sehingga rela mengeluarkan arahan yang tidak waras kepada cawangan-cawangan berhati-hati dengan program seperti usrah Kubra yang dijalankan sekian lama. Tentu sahaja, surat pekeliling berkenaan akan menimbulkan berbagai polemic, sekaligus mengelirukan ahli terbanyak yang semakin mengerti tentang kepentingan usrah Kubra tersebut.

Percayalah…. akan terpahat dalam ingatan ahli semua bahawa ketakutan sebenar yang sedang melanda pimpinan PAS kawasan Kubang Pasu ini ialah lahirnya golongan ahli dan aktivis yang iltizam dengan program tarbiyyah acuan PAS. Persoalan yang perlu di jawab ialah apakah jenis ketakutan yang dialami oleh pemimpin Kubang Pasu dari program usrah Kubra tersebut. Apalah ketakutan tersebut didorong oleh takut kehilangan kuasa dalam parti yang menjanjikan jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu ataupun GLC (Government Link Company)? Atau mungkin takut dicemuh oleh ahli-ahli PAS yang kini mula menyedari bahawa mereka tidak menjalankan amanah kepimpinan dengan berkesan? Mungkin juga kerana ketakutan akibat akan hilang glamour sebagai pimpinan yang berkuasa untuk memutuskan sebarang keputusan parti?

Apapun natijahnya.. surat pekeliling tersebut akan menimbulkan bahan fitnah yang berpanjangan dikalangan ahli terbanyak. Suka saya membawa peringatan dari sebuah hadis Nabi S.A.W yang membawa maksud " Fitnah itu sedang tidur...Allah melaknat siapa yang membangkitnya...".

Pemimpin PAS Kubang Pasu sepatutnya mempunyai fikrah dan pemikiran terbuka dalam kepimpinannya. Teladan oleh Panglima Khalid Ibnu Walid, Sahabat Rasulullah SAW yang pernah digugurkan dari mengepalai angkatan ketika di meda perang wajar dijadikan sebagai pengajaran. Ketahuilah bahawa tukar ganti kepimpinan adalah suatu proses yang menepati sunahtullah dan juga sesuai dengan fitrah, lebih-lebih lagi dalam kita beroganisasi. Kecualilah pimpinan PAS Kubang Pasu dasawarsa ini merasakan mereka adalah yang terbaik dari sekalian ahli yang ada serta berkeyakinan penuh telah melaksanakan amanah kepimpinan dengan berkesan dan gemilang.

Di sini saya ingin mempersoalkan, kiranya usroh Kubra yang dibimbangkan akan menghakis kepercayaan ahli terhadap pimpinan Kubang Pasu, mengapa tidak dianjurkan sahaja usroh yang lebih besar dan menampilkan naqib yang direstui oleh PAS Kubang Pasu ?

Umum ketahui bahawa sejak sekian lama, program tarbiyyah seperti usrah sudah tidak ada dan tidak dipedulikan.

Pepatah sering diungkapkan 'jika tak pandai menari, jangan dikata papan tidak rata'.

Saya juga ingin menasihatkan bahawa dalam tempoh masa berbaki ini, pimpinan PAS Kubang Pasu berusahalah menggarap idea dan tindakan memacu PAS supaya menjadi sebuah parti yang mantap dan diyakini oleh ahli dan masyarakat sekeliling. Jangan sampai apabila ahli tidak lagi menaruh keyakinan terhadap pimpinan, jangan pula nanti seperti 'Biduk Berlalu Kiambang Bertaut'.. ' Rumah Siap Pahat Berbunyi'.

Wasalam

Tuesday, January 27, 2009

NIAT DI SEBALIK PENAMATAN PROGRAM MEMPERKASA PAS KUBANG PASU


KETAKUTAN PAS KUBANG PASU DI SEBALIK PROGRAM MEMPERKASA PAS

Sekonyong-konyong PAS Kawasan Kubang Pasu mengeluarkan Surat Pekeliling bertajuk ‘Penamatan Program Memperkasa PAS Kubang Pasu’ bertarikh 14 Januari 2009/17 Muharram 1430 yang ditandatangani oleh Hj Mohd Zuki Abu, Setiausaha PAS Kubang Pasu. Difahamkan surat tersebut diedarkan bersama dengan arahan notis Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kawasan Kubang Pasu yang bermula pada 24 Januari hingga 28 Februari depan.

Antara kandungan surat pekeliling tersebut menyatakan bahawa Program Memperkasa PAS Kubang Pasu adalah ditamatkan kerana telah mencapai matlamatnya. Dan di peranggan kedua pula di sebut, “Oleh itu sebarang program atas apa juga nama yang tidak ada dalam makluman dari PAS Kawasan kepada cawangan-cawangan bukan program PAS Kawasan dan cawangan perlu berhati-hati dengan program tersebut.

Sungguh mengejutkan dan menimbulkan banyak persoalan tentang niat di sebalik surat pekeliling yang dikeluarkan oleh PAS Kawasan Kubang Pasu tersebut. Apa tidaknya…. PAS Kawasan mendakwa bahawa program memperkasa PAS Kubang Pasu telah ditamatkan dan mencapai matlamatnya. Apakah niat dan maksud surat pekeliling ini dikeluarkan kepada cawangan-cawangan yang ketika ini sedang bersiap sedia untuk menghadapi Mesyuarat Agung Tahunan PAS cawangan-cawangan.

Betulkah seperti yang didakwakan bahawa program memperkasa PAS Kubang Pasu telah mencapai matlamatnya. Pastinya ahli-ahli PAS ingin tahu. Jika boleh, jelaskan jenis program yang telah mencapai matlamatnya, bila ia diadakan dan siapakah yang terlibat dengan program tersebut. Ataupun PAS Kubang Pasu masih berillusi dengan gerak kerja pemerkasaan PAS Kubang Pasu yang sekadar memenuhi aktiviti dalam kalender tahunan bagi memperlihatkan kepada ahli-hali PAS bahawa ia telah dilaksanakan.

Perlu diinsafi bahawa gerak kerja memperkasa PAS, khususnya PAS Kubang Pasu sewajarnya dilakukan secara berterusan tanpa jemu dan lelah. Segala kelemahan, kesilapan atau halangan yang menggagalkan gerak kerja memperkasa PAS Kubang Pasu sepatutnya diperbaiki dan dilakukan penambahbaikan, bukanya hanya sekadar berpuasa hati dengan program yang bersifat bermusim tersebut. Lebih mendukacitakan lagi, jika ada pihak lain dikalangan ahli dan aktivis PAS yang menggerakkan program ke arah memperkasa PAS cuba dihalang dengan memberi gambaran yang negatif dan pelbagi kepada ahli-ahli PAS. Sesungguhnya kepimpinan yang memiliki jiwa besar, berpandangan jauh serta mementingkan PAS dari diri sendiri tidak tergamak untuk mengeluarkan surat pekeliling tersebut. Kecuali mereka (kepimpinan) yang berjiwa kecil, berfikiran sempit serta takut kepada kemampuan orang lain sahaja yang sanggup melakukan tindakan sedemikian.

Tidak salah jika saya mengatakan bahawa niat di sebalik surat pekeliling itu adalah bertujuan untuk menghalang program Usrah Qubra yang telah diusahakan oleh aktivis PAS yang menubuhkan sebuah Badan Bertindak Memperkasakan PAS Kubang Pasu bagi membantu menggerakkan aktiviti-aktiviti memperkasakan ahli-ahli PAS dalam Kubang Pasu. Usrah Qubra bukan agenda menjatuh kepimpinan PAS Kubang Pasu seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak. Ia dilahirkan di atas kesedaran untuk memnghidup dan merancakkan kembali program tarbiyyah acuan PAS dalam Kubang Pasu.

Usrah adalah acuan membentuk kesatuan fikrah dan amal serta melahirkan amilin yang ikhlas dan jujur dalam perjuangan. Hal ini perlu disedari oleh pemimpin PAS Kubang Pasu yang masih buta mata hati tentang kepentingan usrah dikalangan ahli-ahli PAS. Sekadar berpuas hati dengan program tarbiyyah mingguan di Tok Kesop amat tidak memadai. Kulliah umum tidak akan dapat melahirkan amilin yang mempunyai ikat ukhawah fillah seperti yang diharapkan dalam perjuangan PAS.

Sepatutnya saf kepimpinan PAS Kubang Pasu perlu merasa malu dan bersalah, apabila gagal untuk mengadakan usrah di peringkat cawangan-cawangan. Kegagalan ini mesti diakui dari kelemahan ataupun tidak ambil peduli tentang pentingnya program tarbiyyah kepada ahli-ahli PAS. Juga perlu disedarai bahawa kelemahan PAS Kubang Pasu dalam semua aspek adalah berpunca dari ketiadaannya program tarbiyyah seperti usrah.

Di sini, saya cuba menulis ringkas tentang latarbelakang Usrah Qubra supaya saf kepimpinan PAS Kubang Pasu yang mencemburui kewujudan supaya lebih terbuka biji mata dan mata hati.

USRAH QUBRA MENYATUKAN FIKRAH DAN AMAL

Usrah adalah program tarbiyyah yang penting kepada ahli-ahli PAS. Setiap usrah akan diberi nama. Tujuannya untuk ia mudah dikenali dan tahu latarbelakang ahli usrah naqib yang memimbingnya. Ada yang memberi nama Usrah As Syabab, Usrah Nuqaba’ (Naqib), Usrah Qiadah, Usrah Haraki, Usrah Pegawai Kerajaan, Usrah Cawangan dan banyak lagi. Di Kubang Pasu, aktivis PAS menganjurkan program dengan Usrah Qubra.

LATARBELAKANG USRAH QUBRA

Pada peringkat awal, Usrah Qubra telah diusaha dan dikendalikan oleh aktivis PAS dengan kerjasama Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan PAS Kubang Pasu. Siri Pertama Usrah Qubra telah berlangsung di Markaz PAS Cawangan Pulau Pisang yang dihadiri oleh aktivis PAS (ahli Usrah Qubra), ahli-ahli PAS dalam cawangan serta beberapa AJK PAS kawasan iaitu Tuan Hj Shamsuddin Idris, Che Halim Ismail dan Abdul Hamid Mat Akhir. Naqib jemputan yang diatur ialah Ustaz Abdullah, AJK Dewan Ulamak PAS Kedah, juga sebagai guru di Muassah Darul Ulum, Pokok Sena.

Kini, Usrah Qubra dipimpin oleh Cikgu Mohd Noor Hanapi, AJK Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Negeri Kedah, di samping Ustaz Mohd Fauzi Husin, Bendahari Dewan Ulamak PAS Kedah. Teks usrah adalah merujuk kepada buku-buku yang dikarang oleh ulama dan pemimpin PAS serta ulama haraki yang mirip kepada perjuangan PAS.

Sejak dijalankan hingga ke tarikh artikel ini ditulis sebanyak 28 siri usrah Qubra telah dijalankan di cawangan-cawangan PAS secara bergilir-gilir dan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Di samping Usrah Qubra, satu siri program Tamrin Qubra telah berjaya dianjurkan di Surau Kg Tanjung Kapor, Jitra. Penceramah jemputan yang diundang mengisi program Tamrin Qubra ialah Ustaz Idris Hj Ahmad, AJK PAS Pusat merangkap Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Rejab, AJK Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah Darul Aman dan Hj Taib Hj Ahmad, mantan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Persoalannya… mengapa PAS kawasan Kubang Pasu ingin menghalangkan program Usrah Qubra ini dilaksanakan ? Adakah halangan terhadap program usrah Qubra ini suatu tindakan yang syarie, ataupun ia bertepatan di sudut Perlembagaan PAS. Atau kerana usrah Qubra tidak dikendalikan oleh PAS kawasan ataupun kerana bukan naqib yang PAS kawasan pilih ataupun kerana kejahilan pimpinan PAS Kawasan tentang tujuan usrah yang dijalankan.

PAS KUBANG PASU ABAIKAN USRAH


Hakikatnya program tarbiyyah seperti usrah dan tamrin ini sudah lama tidak dijalankan di Kubang Pasu. Sedarkan pemimpin Kubang Pasu bahawa ada ahli-ahli PAS yang tidak tahu tentang usrah, tamrin, qiamullail, liqa’ fikr, mukhayyam dan sebagainya bentuk program tarbiyyah yang sepatutnya wajib diikuti oleh ahli-ahli dan pemimpin PAS.

Menghalang usrah Qubra adalah perbuatan mungkar yang boleh dibantah kerana ia menyekat usaha tarbiyyah untuk memperkasakan pegangan aqidah perjuangan, idealisme PAS, tassawur tentang Islam dan berkaitan dengannya.

Sepatutnya PAS Kubang Pasu tidak perlu menghalang Usrah Qubra, sebaliknya memperbanyakkan lagi usrah di semua peringkat. Di samping meneruskan program kulliah mingguan di Markaz PAS Tok Kesop yang diadakan setiap minggu (Selasa) yang dipimpin oleh Ustaz Mustafffa Abdullah, Ketua Urusan Ulamak PAS Kubang Pasu.

Ada maklumat yang diperolehi dari seorang aktivis PAS Padang Limau bahawa sebanyak empat kali permohonannya kepada Setiausaha PAS Kawasan untuk menghantar naqib usrah di cawangannya tetapi sehingga hari ini tidak ditunaikan. Inilah realiti PAS Kawasan patut sedari dan insafi. PAS bukan sekadar pertubuhan politik kepartian, tetapi ia juga sebagai bandan dakwah dan tarbiyyah. Tanpa usrah, PAS sukar untuk menyatukan fikrah dan amal dalam menguruskan perjuangannya.

USRAH QUBRA ROSAKKAN PERPADUAN

Jika pemimpin PAS Kubang Pasu mengatakan bahawa langkah menghalang usrah Qubra adalah demi menjaga perpaduan dalam PAS, ia merupakan dakwaan yang dangkal dan tidak harakiyyah. Mana mungkin perpaduan dapat diwujudkan, kalau PAS Kawasan hanya bertemu ahli-ahli PAS dalam hal berkaitan politik dan Pilihanraya semata-mata. Ataupun hanya bertemu ahli-ahli PAS yang datang ke pejabat Markaz Tok Kesop kerana ada urusan tertentu.

Perpaduan hakiki dibentuk melalui ukhwah fillah. Ukhwah boleh dibina melalui usrah, kerana ia menjadi medan bermusabah, di samping menggarap kefahaman berhubung sesuatu isu atau perkara yang dibincangkan. Menghayati dan memahami rukun usrah sudah cukup pada peringkat awalan untuk mengikat perpaduan di kalangan ahli.

Hakikatnya, usrah di antara program yang melahirkan amilin (petugas) PAS yang berkualiti. Kualiti juga terbentuk dari perpaduan yang dibina. Usrah ialah mekanisme Unit Kerja Jamaah (UKJ) yang telah dipelopori oleh Dewan Pemuda PAS Puat di era 80-90an. Kesetiaan, pengorbanan, keberanian berdepan dengan polis dan FRU dikalangan ahli-ahli PAS ialah mereka yang telah dan mengikuti program usrah.

Kini, rata-rata ahli PAS menyebut-nyebut tentang kerinduan mereka pada era PAS tahun 80an. Kerana ketika itu, PAS subur dengan program tarbiyyah dari acuannya sendiri. Naqib, ustaz, muallim adalah dari kalangan mereka yang memiliki fikrah PAS tulen. PAS tidak mengundang individu walaupun bertaraf ulama, ustaz dan sebagainya untuk memimpin usrah, kulliah, tamrin dsbnya, jika ia tidak memiliki fikrah perjuangan PAS serta bukan dari kalangan yang haraki. Itulah PAS…yang memiliki ahli-ahli yang berkualiti, walaupun mereka disisihkan ataupun difitnah. Lebih dahsyat lagi ada yang dipenjarakan dan dibunuh oleh musuh-musuhnya.

USRAH QUBRA MEDAN JATUHKAN PIMPINAN PAS KAWASAN

Dakwaan yang mengatakan bahawa usrah Qubra adalah medan untuk aktivis parti ataupun orang-orang tertentu untuk memburuk atau menjatuhkan kepimpinan PAS kawasan adalah umpama ingauan siang hari dan takut pada bayang-bayang sendiri. Jika benar ia berlaku, sudah pasti PAS Kubang Pasu boleh mengambil tindakan terhadap yang melakukannya. PAS adalah sebuah parti yang sempurna termasuk ada sebuah Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib. Setiap kesalahan dan pelanggaran tindakan ahli-ahli boleh di ambil tindakan. PAS Kubang Pasu boleh menggunakan saluran ini, jika ia memberi kebaikan kepada PAS.

Sekadar melemparkan dakwaan yang tidak bertanggungjawab terhadap Usrah Qubra bahawa ia sebagai medan politik individu tertentu, merupakan amalan politik ala sekular yang ditolak secara total oleh PAS. Banyak perkara yang boleh dibahaskan tentang tindakan kurang bijak PAS Kubang Pasu menghalang program Usrah Qubra.

USRAH QUBRA AKAN DITERUSKAN

Apapun sikap dan tindakan PAS Kubang Pasu terhadap Usrah Qubra akan memakan diri sendiri, sekaligus menyingkap wajah sebenar mereka terhadap tanggungjawab merancakkan program tarbiyyah yang disarankan oleh PAS Negeri dan Pusat yang diabaikan sekian lama. Perlu ditegaskan bahawa membantah keputusan PAS kawasan menghalang Usrah Qubra adalah dibenarkan oleh syarak dan parti kerana sekaligus mencegah perbuatan mungkar yang dilakukan oleh PAS Kawasan Kubang Pasu terhadap usaha murni yang diusahakan oleh aktivis PAS.

Kepimpinan PAS Kawasan yang condong kepada usaha menghalang program Usrah Qubra disarankan supaya bertaubat dan meningsafi bahawa ia termasuk dalam golongan menghalang ahli dan aktivis PAS mendapatkan ilmu, di samping mengwujudkan perpaduan berasaskan ukhwah fillah.

Akhirnya saya mengingatkan supaya usrah Qubra jangan dipolitikkan dalam PAS kerana ia perbuatan dan amalan politik sekular yang ditolak oleh agama Islam.

Wallahu alam.

KAD JEMPUTAN TAUTAN KASIH MULA DIEDARKAN


(Contoh Kad Program Tautan Kasih Pada 9 Mac 2009)

Program Tautan Kasih merupakan usaha murni oleh para aktivis PAS Kubang Pasu untuk mengeratkan hubungan antara pejuang PAS masa lampau dengan ahli-ahli PAS zaman sekarang. Di samping, ia merupakan program yang julong kali diadakan dalam kawasan Kubang Pasu selepas rakyat memberi mandat kepada PAS menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah Darul Aman.

Generasi baru PAS, khususnya di era 90an dan ke atas didapati ramai yang tidak mengenali pejuang-pejuang PAS masa lampau samada yang masih hidup ataupun telah pergi menemui Ilahi. Pengorbanan dan jasa mereka mempertahankan perjuangan PAS amat dikagumi dan wajar dihargai. Oleh itu, usaha aktivis PAS Kubang Pasu menganjurkan program ini adalah kena pada masanay dan perlu mendapat sokongan semua pihak. Penyertaan yang menyeluruh oleh ahli, aktivis dan pimpinan PAS semua peringkat dalam Kubang Pasu akan melancarkan perjalanan program yang akan diadakan tersebut.

Menurut, Saadon Hashim, Setiausaha Sekretariat Program Tautan Kasih bahawa program ini adalah penting sebagai usaha memberi pendedahan kepada ahli, aktivis dan penyokong PAS, di samping saf kempimpinan PAS masa kini tentang latarbelakang dan sejarah pejuang-pejuang PAS masa lampau.

Saadon menambah, pemidato hebat seperti Presiden Soekarno ada mengatakan, ‘bangsa atau generasi yang buta sejarah adalah petanda kepada sesuatu bangsa itu menuju kehancuran dan kelamahan’. Oleh itu, keperluan membongkar kembali sejarah PAS Kubang Pasu dan pejuang-pejuang dahulu adalah amat penting supaya ia akan menjadi pedoman kepada generasi sekarang”.

“Pelbagai acara menarik sedang disusun sempena program tautan kasih tersebut dan akan dimaklumkan kepada orang ramai dalam sedikit masa lagi, ujarnya.

Sehubungan itu, ahli-ahli dan aktivis PAS yang berminat hadir ke program Tautan Kasih yang akan diadakan tersebut, bolehlah menghubunginya untuk mendapatkan kad jemputan khas yang disediakan. Ini kerana tempat adalah terhad, disebabkan dewan yang di tempah hanya mampu menampung 300 orang peserta sahaja.

Monday, January 26, 2009

MESEJ UNTUK USTAZ YUSOF AL-MARHUM HJ AHMAD


PEMUDA MELAHIRKAN KEPIMPINAN PAS

Dewan Pemuda telah diwujudkan setiap organisasi PAS iaitu di peringkat Pusat, Negeri, Kawasan dan Cawangan. Ia adalah sayap kanan parti yang sangat penting. Pemuda adalah generasi pelapis kepimpinan pada masa depan. Dalam PAS, ramai kepimpinan utama PAS samada di peringkat pusat, negeri maupun kawasan adalah dari kepimpinan Pemuda masa lalu.

Sebagai contoh, dalam struktur kepimpinan PAS Pusat sekarang, Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nassaruddin Mati Isa adalah mantan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, dua Naib Presiden iaitu Hj Mohammad Sabu adalah mantan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat dan Datuk Paduka Husam Musa ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Jika di teliti lebih separuh AJK PAS Pusat yang memegang jawatan di peringkat pusat sekarang adalah dari kalangan kepimpinan Pemuda. Antaranya ialah Ustaz Idris Hj Ahmad, YB. Dr Mohd Hatta Ramli, Mazlan Aliman, Haniffa Maidin, Datuk Abu Bakar Chik, YB Dr Syed Azman Syed Nawawi dan ramai lagi yang perlu dihuraikan di sini. Termasuk juga Pengerusi Tetap PAS Pusat, Ustaz Abu Kasssim L. Abdullah adalah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah.

Begitu jugalah diperingkat PAS Negeri Kedah Darul Aman, ketiga-tiga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah iaitu YB Datuk Hj. Mahfuz Omar adalah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan Negeri Kedah, YB Datuk Hj Pharolrazi Zawawi, mantan Bendahari Dewan Pemuda PAS Kedah dan Hj. Hassan Abdul Razak, mantan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah serta YB Senator Hj Mohd Yusof Husin selaku Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah adalah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah.

Ertinya, pemuda adalah bakal ataupun kepimpinan masa depan yang perlu digilapkan dengan bersungguh-sungguh, di samping di beri dorongan supaya karisma yang dimiliki oleh mereka akan dapat diserlah ke tengah-tengah masyarakat dengan lebih berkesan. Kepimpinan mereka adalah melalui proses tarbiyyah haraki dan gerak kerja yang realiti dengan waqi’ perjuangan. Lebih utama lagi, mereka adalah pemimpin yang memiliki fikrah tulen PAS yang memahami rentak dan tari dalam mendepani cabaran perjuangan.

PEMUDA PAS KUBANG PASU : HARAPAN DAN REALITI

Dalam konteks PAS Kubang Pasu, Dewan Pemuda seharusnya menginsafi tentang peranan, tanggunjawab serta cabaran di masa depan yang lebih mencabar. Pemuda PAS Kubang Pasu mesti berani membawa arus perubahan dalaman dan luaran PAS yang boleh menguntungkan perjuangan PAS dalam jangka pendek maupun jangka panjang. Pemuda tidak sewajarnya menjadi menjadi ‘Pak Turut’ ataupun petugas yang hanya mampu menampal poster, menjaga parking di program-program ceramah PAS, petugas kutip derma dan menunggu arahan pucuk pimpinan PAS untuk melakukan tindakan.

Pemuda PAS Kubang Pasu disarankan bingkas dan bermotivasi dalam memikul amanah dan tanggungjawab. Mereka hendaklah berupaya merancang strategi dan gerak kerja dengan rapi dan teliti bersesuaian dengan persekitaran yang semakin kompleks. Pemuda mesti memiliki wawasan untuk melihat masa depan PAS samada dalam medan politik, dakwah dan tarbiyyah. Pemuda PAS Kubang Pasu kena yakin dan percaya bahawa masa depan politik di Kubang Pasu adalah milik PAS.

Kegagalan Pemuda melakukan tindakan yang menjadi tanggungjawab mereka akan menyebabkan PAS menjadi kaku, layu dan lesu. Kesannya, PAS akan hilang pengaruh dalam masyarakat khsususnya golongan muda, sekaligus menyukarkan PAS untuk memenangi mana-mana musim Pilihanraya yang akan disertainya pada masa akan datang. Pemuda dituntut muncul sebagai agen perubahan dalam masyarakat, bukannya menjadi anak manja yang sentiasa diberi belaian dan kasih sayang oleh pimpinan PAS Kawasan. Lebih memalukan jika Pemuda sering mengemukakan pelbagai alasan yang tidak syar’ie, apabila gagal melaksanakan tugas dan amanah.

Pemuda yang tangkas, perkasa dan berjiwa besar tidak mungkin memberi beribu alasan bersifat berkepentingan peribadi duniawi, apabila dituntut melaksanakan amanah. Tidak ada gunanya Pemuda Kubang Pasu berbangga dengan latarbelakang pendidikan, pengaruh, jawatan dan hubungan dengan kepimpinan politik kepartian PAS, sekiranya mereka tidak mampu untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Pemuda PAS Kubang Pasu wajar bermuhasabah dan menginsafi tentang kelemahan yang mereka miliki masa lalu. Sikap buat ‘acuh tak acuh’ dalam melaksanakan tanggungjawab
bukan sahaja boleh merugikan PAS, sebaliknya akan menambah dosa-dosa sahaja kerana mereka telah mengkhianati amanah dalam perjuangan Islam.

Pemuda wajar mengerti bahawa PAS adalah sebuah perjuangan Islam yang di ambil dari perjuangan Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabi dan tabi’in, para ulamak dan pejuang-pejuang Islam masa lampau demi untuk menegakkan agama Islam di atas muka bumi ini. Pemuda bukan sahaja perlu tahu, bahkan sewajarnya menghayati bahawa perjuangan Islam ini memerlukan kepada pengorbanan jiwa raga, harta benda, tenaga dan masa serta menolak tawaran dunia yang melalaikan. Pemuda jangan jadikan PAS sebagai platform mengisi masa lapang ataupun kelab bersosial semata-mata, sebaliknya mereka kena sedar bahawa tanggunjawab dan peranan yang perlu dimainkan adalah besar dan dituntut oleh agama Islam.

Jika Pemuda tidak sanggup memikul amanah ini, serahkan sahaja kepada Pemuda lain kerana ia adalah langkah terbaik untuk kepentingan perjuangan PAS. Memegang jawatan tanpa berpatisipasi secara bersungguh-sungguh dalam gerak kerja untuk memartabatkan Islam adalah sikap yang dikutuk dan tidak boleh dibiarkan. Mereka yang berkenaan perlu digugurkan, demi masa depan PAS.

MASA UNTUK MEMECUT


Sehubungan dengan sokongan para aktivis PAS terhadap kepimpinan Ustaz Yusof Al-Marhum Hj Ahmad untuk memimpin sepenggal lagi Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu (2009/2011) mesti di lihat dalam perspektif yang objektif dan optimistik. Sokongan yang ikhlas dan padu dari para aktivis PAS Kubang Pasu terhadap kepimpinannya adalah bersandarkan kepada latarbelakang keturunan, ilmu, komitmen serta usia, di samping fikrah tulen PAS yang dimiliki olehnya. Namun, Ustaz Yusof tidak perlu teruja dengan sokongan yang diberikan kerana yang dituntut oleh para aktivis adalah kesediaan, iltizam serta keberaniannya untuk menjadi agen perubahan dalam Kubang Pasu. Tanggungjawab besar yang menantinya di masa depan ialah kemampuan dan kesungguhannya untuk memimpin Pemuda, bukan sahaja dari kalangan ahli-ahli dan penyokong PAS bahkan seluruh Pemuda dalam Kubang Pasu.

Kegagalan, kelemahan dan kelesuan Pemuda PAS Kubang Pasu pada sesi lepas perlu direnungi dengan sedalam-dalamnya. Jadikan pengalaman masa lalu sebagai pengajaran serta untuk melakukan perubahan. Memang tidak adil jika kita mahu meletakkan segala kelemahan dan kesilapan masa lalu kepadanya semata-mata, tetapi harus diakui bahawa sebagai Ketua atau pemimpin yang berfikiran objektif dan berjiwa besar bahawa beliau mesti berani mengambil pertanggungjawaban tersebut. Lebih-lebih lagi sanggup memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan tersebut bukan kerana untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya untuk perjuangan Islam melalui wadah PAS ini.

Peluang yang diberikan kepada Ustaz Yusof pada kali ini mesti digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membangkitkan semula peranan Pemuda di Kubang Pasu. Perlu diingatkan lagi, penggal 2009/2011 bukan masa untuk Pemuda PAS Kubang Pasu menjaga hati dan perasaan mana-mana pihak yang tidak mendatangkan kebaikan kepada PAS. Penggal 2009/2011 adalah period kritikal dan memerlukan Ustaz Yusof memecut setangkasnya Pemuda PAS Kubang Pasu sehingga ke garisan kemenangan dalam PRU 13 akan datang. Penggal ini menuntut Ustaz Yusof merangka struktur organisasi dan kepimpinan Pemuda yang lebih dinamik, relevan dan memiliki fikrah tulen PAS. Sesungguhnya, kesediaan Ustaz Yusof menanggapi di sebalik sokongan padu para aktivis PAS akan meletakkan beliau sebagai pemimpin PAS Kubang Pasu di masa depan.

Wallahu alam

Sunday, January 25, 2009

Aktivis PAS Kubang Pasu Bantu Baiki Rumah Ibu Tunggal dan Warga Emas

Aktivis PAS Kubang Pasu menggorak langkah secara pro aktif mengumpul dana untuk menjayakan program membaiki rumah warga emas, ibu tunggal dan kurang upaya yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Membantu Rakyat Miskin (JEMARI) yang ditubuhkan oleh Badan Bertindak Memperkasa PAS Kubang Pasu.

Pengerusi Jawatankuasa Membantu Rakyat Miskin, Hj Hashim Abu yang ditubuhkan akhir tahun lalu berkata, mesyuarat JEMARI yang diadakan Khamis (malam) lalu telah membuat keputusan membaiki kerosakan 10 unit rumah warga emas dan ibu tunggal dalam Dun Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.

Hj Hashim merupakan seorang tenaga pengajar di Akedemi Binaan Malaysia (ABM), Cawangan Sintok yang sebelum ini berkhidmat dengan Institut Kemahiran Mara di Kedah, Perak dan Sarawak. Mendapat kelulusan di peringkat High National Diploma (HND) di University of Wale, England. Beliau adalah seorang aktivis PAS yang banyak membantu menjayakan kelas PASTI pada awal penubuhan di negeri Kedah di era 80an serta menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk PAS Kedah. Setelah berpindah ke Kubang Pasu ia telah bergiat cergas dalam kerja-kerja kebaikan dalam kawasan dan negeri Kedah.

“Di peringkat permulaan ini, kita akan memberi bantuan membaiki rumah-rumah golongan sasaran dalam Dun Bukit Kayu Hitam seramai 10 orang dan diikuti 10 buah rumah dari Dun Jitra. Progarm ini akan bermual pada pertengahan Februari depan”, ujarnya.

Nama-nama yang terpilih di kalangan ibu tunggal dan warga emas tersebut ialah Bedah Hashim, Manis Idris dan Tiwa Abdullah dan Khamis Ishak, Yahya Salleh, Mehat Hashim, Saad Abdullah, Mokhtar Saad, Ahmad Awang dan Ibrahim Hussain di kalangan golongan susah dari Kg Kubang Betong dan Kg Kubang Pasu. Kedua – dua kampong tersebut terletak di dalam Mukim Hosba, Dun Bukit Kayu Hitam.

Beliau menambah, “dana untuk membaiki rumah golongan sasaran tersebut diperolehi dari rakan-rakan ahli perniagaan di seluruh Negara yang rapat dengan aktivis PAS Kubang Pasu, di samping disumbang oleh Tabung Kebajikan PEMBELA”.

Tujuan kita melakukan program membantu membaiki rumah-rumah golongan terpilih tersebut adalah sebagai menunaikan tanggungjawab PAS sebagai sebuah Jamaah Islam dan parti yang diberi mandat oleh rakyat menerajui kerajaan Kedah Darul Aman pada PRU 12 lalu, di samping mendekatkan mereka berkenaan kepada PAS.

Hj Hashim menambah, ‘rakyat sememangnya menunggu-nunggu apakah bentuk bantuan dan kebajikan yang bakal mereka perolehi setelah PAS memerintah. Bagi menjaga nama baik dan raputasi kerajaan Pakatan Rakyat yang sama-sama kita dokongi ini, maka JEMARI yang ditubuhkan oleh aktivis PAS Kubang Pasu mengambil tindakan pro aktif menjayakan program ini mengikut kadar kemampuan yang ada”.

Walaupun kita sudah menjadi kerajaan, gerak kerja memasyarakatkan PAS tidak boleh berhenti, sebaliknya ia perlu dirancakkan lagi. Rakyat masih tidak faham antara peranan PAS dan kerajaan, kecuali mereka yang mendapat pendedahan tentang politik. Oleh itu, komitmen aktivis PAS Kubang Pasu menjayakan program membaiki rumah golongan sasaran tersebut mesti disokong oleh semua pihak kerana ia adalah sebahagian dari proses mempertahankan kemenangan PAS dalam PRU 13 akan datang, kata Hj. Hashim lagi.

Mengulas tentang kos membaik-pulih rumah yang dijalankan, Hj Hashim berkata, anggaran yang ditetapkan oleh JEMARI tidak melebihi RM 7 ribu untuk setiap unit rumah yang diperbaiki termasuk kos upah atau saguhati kepada pekerja yang ditetapkan. Keutamaan JEMARI ialah dilakukan secara gotong royong memlibatkan aktivis PAS dan ahli-ahli PAS dalam cawangan berkenaan. Secara puratanya kos membaiki pulih bagi peringkat pertama ini ialah RM 2,000 seunit, kecuali dua unit yang memerlukan biaya sebanyak RM 4,5000 setiap satu.

Sehingga kini, JEMARI telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM 16 ribu untuk membaiki kerosakan rumah golongan ibu tunggal, warga emas dan kurang upaya yang akan dilaksanakan pada pertengahan Februari depan. Dana kutipan akan diteruskan oleh pihaknya sepanjang masa. Dijangkakan jemari akan mengumpul sekurang-kurangnya RM 150 ribu menjelang akhir tahun ini bagi menjayakan aktiviti yang telah dirancang.

AKTIVIS PAS SOKONG USTAS YUSOF AL-MARHUM HJ AHMAD DAN DR ROHANI ABDUL MUTALIB, PIMPIN DEWAN PEMUDA DAN MUSLIMAT KUBANG PASU


Para aktivis PAS Kubang Pasu mengambil ketetapan menyokong kepimpinan Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Kubang Pasu dikekalkan di bawah kepimpinan Ustaz Yusof Al-Marhum Hj. Ahmad dan Dr. Rohani Abdul Mutalib pada sesi 2009/2011.

Menurut Asri Baharom, Koodinator calon-calon Kepimpinan Baru PAS Kubang Pasu bahawa, kaji selidik pendapat yang dijalankan mendapati majoriti ahli-ahli dan aktivis PAS Kubang Pasu masih menyokong dan mahu Dewan Pemuda dan Muslimat di pimpin oleh kedua-dua tokoh berkenaan.

Walaupun terdapat sedikit perbezaan pendapat di atas sokongan tersebut, Asri berkata ia merupakan perkara biasa dalam mana-mana organisasi, khususnya parti politik. Majoriti masih mahu mengekalkan kedua-dua tokoh tersebut kerana yakin mereka mampu memainkan peranan dengan berkesan kepada PAS Kubang Pasu.

Asri menambah, sokongan padu aktivis PAS kepada kepimpinan kedua-dua dewan tersebut sangat penting dalam usaha memperkasakan gerak kerja PAS dalam kawasan. Di samping memastikan kedua-dua dewan sebagai sayap parti dalam gerak kerja berkaitan tarbiyyah, dakwah dan politik yang menjadi teras kepada perjuangan PAS di negara ini.

“Dalam konteks pilihanraya, dewan pemuda dan muslimat adalah organ penting parti yang sangat signifikan mendekati golongan pengundi wanita dan pemuda untuk memberi sokongan kepada PAS. Kedua-dua golongan (wanita dan pemuda) ini telah menyumbangkan kepada perubahan lanskap politik dalam negara pada PRU 12 lalu serta Pilahanraya Kecil yang berlaku iaitu di Permatang Pauh dan Kuala Trengganu baru-baru ini”, ujarnya.

Berdasarkan kepada perkembangan yang berlaku, aktivis PAS optimis bahawa sekurang-kurangnya sebuah kerusi di peringkat DUN dalam Kubang Pasu akan menjadi milik PAS pada PRU 13 akan datang. Namun tidak dinafikan bahawa ketiga-tiga kerusi yang akan dipertandingkan akan menjadi fokus dalam gerak kerja pilhanraya pada masa depan.

Oleh itu, gerak kerja di peringkat dewan pemuda dan muslimat mesti di susun serta menjurus kepada menarik sokongan pengundi dalam kawasan ini. Dewan Pemuda dan Muslimat perlu diperkasakan dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan supaya ia memberi impak politik yang menguntung PAS di tahun mendatang , kata Asri lagi.

Sehubungan itu, sokongan aktivis PAS ke atas kepimpinan dewan pemuda dan dewan muslimat adalah amatlah tepat dan wajar sekaligus memperlihatkan sikap mereka yang mengutamakan kepentingan PAS dalam Kubang Pasu. Aktivis komited untuk memberi sokongan dan kerjasama dengan kedua-dua dewan tersebut supaya semua perancangan yang di buat dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Dewan Pemuda dan Muslimat disarankan supaya mengwujudkan suatu mekanisme dalam gerak kerja yang melibatkan aktivis PAS dalam semua peringkat dalam Kubang Pasu supaya mereka tidak bergerak bersendirian dan tidak terikut-ikut dengan rentak ‘berpolitiking’ yang boleh merugikan PAS” katanya lagi.

UMAT ISLAM KUBANG PASU BANTAH KEZALIMAN ISRAEL

Kelihatan Mokhtar Hamid, Ahli Majlis Eksekutif PEMBELA memegang bendera Israel yang dibakar oleh Hj. Mohammad Sabu

Program himpunan membantah kezaliman zionis Israel yang diadakan di dataran Darulaman, Jitra, Ahad (petang) dihadiri oleh 1,500 umat Islam termasuk kanak-kanak. Program tersebut anjuran lima Dewan Pemuda PAS iaitu Kubang Pasu, Jerlun, Pokok Sena, Alor Setar dan Padang Terap serta mendapat kerjasama sebuah badan bukan kerajaan iaitu Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA).

Menurut Zabedi Usop, Ahli Jawatankusa PAS Kubang Pasu merangkap Naib Presiden 2, PEMBELA bahawa, himpunan yang diadakan tersebut bertujuan untuk menyatakan bantahan dan kutukan umat Islam terhadap rejim zionis Israel yang telah menceroboh secara ketenteraan dengan rakus dan tidak berperi kemanusiaan ke atas bumi Palestin selama 22 hari”.

Dalam tempoh pencerobohan tersebut lebih 1300 orang terbunuh termasuk kanak-kanak, warga emas dan orang awam, 6000 orang mendapat cedera parah, 4000 buah bangunan runtuh termasuk masjid, sekolah, universiti, pejabat pentadbiran kerajaan, hospital dan bangunan logistic PBB dan melumpuhkan Bandar Gaza.

Zabebi menambah, “Sesungguhnya umat Islam di mana jua berada adalah bersaudara. Persaudaraan di atas ikatan akidah Islamiyyah, lebih-lebih lagi umat Islam di Palestin yang mendiami bumi anbiya yang merupakan tanah suci ketiga umat Islam yang perlu dipertahankan. Perhimpunan ini juga bagi menyatakan sokongan umat Islam terhadap perjuangan umat Islam Palestin yang dipimpin oleh Hamas”, ujarnya.

“Sesungguhnya kehadiran umat Islam dalam program himpunan ini adalah lambang solidiriti ke atas kesengsaraan yang menimpa umat Islam di Palestin yang telah diceroboh dan diserang selama 22 hari oleh regim zionis Israel”, ujarnya lagi.

Program tersebut turut dihadiri Hj. Mohammad Sabu, Naib Presiden PAS, YB. Datuk Hj. Mahfuz Omar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Rohani Abdul Mutalib, Ketua Dewan Muslimat PAS Kubang Pasu, Ustaz Yusoh Ahmad Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu dan AJK Dewan Pemuda PAS lima kawasan serta Ahli Majlis Eksekutif PEMBELA.

Di program tersebut, sumbangan kutipan dana rakyat Palestin telah diserahkan kepada wakil PAS iaitu Hj Mohammad Sabu, Naib Presiden PAS sebanyak RM 9,377.00 yang disumbangkan oleh Dewan Pemuda PAS Jerlun (RM 1300.00), Persatuan Peniaga Pasar Malam/Pasar Sehari Daerah Kubang Pasu (RM 1,576.00) dan Aktivis PAS kerjasama PEMBELA (RM 6,857.00).

Di akhir program para demonsteran telah membakar bendera Israel dan patung Penjenayah Perang Bush, bekas Presiden Amerika Syarikat yang dilakukan oleh Hj. Mohammad Sabu dan di sambut dengan laungan ‘Allahu Akbar’ dengan penuh semangat oleh para demonstran.

Saturday, January 24, 2009

RAKYAT DI AJAK BANTAH KEZALIMAN ISRAEL

Himpunan Membantah Kezaliman Regim Zionis Israel yang akan diadakan petang (25 Jan) bertempat di Dataran Darulaman, Jitra yang turut disertai oleh Hj Mohammad Sabu, Naib Presiden PAS merupakan manifestasi solidiriti rakyat dalam kawasan ini terhadap kesengsaraan rakyat dan umat Islam Palestin.

Menurut Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu bahawa rakyat semua peringkat dalam daerah ini di jemput hadir bagi menyatakan rasa bantahan serta lambang solidiriti ke atas kesengsaraan yang menimpa umat Islam di Palestin yang telah diceroboh dan diserang selama 22 hari oleh regim zionis Israel”.

“Sehingga hari ini lebih 1300 orang rakyat Palestin terbunuh dan gugur sebagai syuhada serta 6000 orang cedera parah. Beribu-ribu bangunan termasuk rumah kediaman, hospital, masjid, sekolah dan bangunan logistic PBB rosak, akibat di bom secara membabi buta oleh golongan yang dilaknat oleh Allah SWT”, ujarnya.

Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International turut mengesahkan bahawa terdapat bukti tentera rejim Zionis Israel menggunakan fosforus putih semasa menyerang Genting Gaza. Pertubuhan itu mendakwa kesan terbakar pada siling bangunan, serpihan bom yang ditinggalkan dan bahan itu yang terbakar apabila disentuh merupakan bukti tentera rejim Zionis itu menggunakan bom mengandungi bahan fosforus putih.

Fosforus putih merupakan bom pembakar yang diharamkan penggunaannya di kawasan penempatan awam di bawah konvensyen antarabangsa.

Mohd Jamal berkata, PAS sebagai sebuah Jamaah Islam yang tulen di Negara ini sentiasa menyokong serta mendukong perjuangan umat Islam Palestin yang di pimpin oleh Hamas. Kita merasai apa yang mereka rasai. Insya allah kita akan menggerakkan seluruh tenaga yang ada untuk membantu rakyat dan perjuangan Hamas di Palestin sampai mereka di beri kemenangan oleh Allah SWT”.

Oleh itu, Mohd Jamal mengharapkan supaya perjumpaan yang akan diadakan tersebut mendapat sambutan dari seluruh lapisan rakyat di Kubang Pasu, khususnya.

Thursday, January 22, 2009

PASUKAN KEPIMPINAN BARU PAS KUBANG PASU

Program perjumpaan aktivis PAS Kubang Pasu yang diadakan malam tadi (Khamis) telah mencapai keputusan muktamad tentang calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kubang Pasu Kali Ke-33 tidak berapa lagi.

Menurut Koodinator Calon Pasukan Kepimpinan Baru PAS Kubang Pasu, saudara Asri Baharom berkata, perjumpaan yang diadakan malam tadi termasuk aktivis PAS, beberapa AJK PAS Kawasan dan AJK Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu, Ketua – Ketua PAS cawangan telah bersetuju menerima calon-calon Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kubang Pasu sesi 2009/20011 yang telah dikemukakan.

Asri menambah bahawa, perjumpaan malam tadi telah memutuskan untuk mencalonkan semua jawatan yang telah ditetapkan. Tuan Hj. Noh bin Abdullah telah dicalonkan bertanding jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap pula ialah saudara Zakaria Bin Hj Ahmad telah dicalonkan untuk bertanding. Kedua-dua calon tersebut adalah merupakan aktivis PAS yang telah bergiat sejak tahun 80an lagi.

Bagi jawatan penting dalam parti iaitu Yang Dipertua, Timbalan Yang DiPertua, Naib Yang DiPertua dan Ketua Urusan Ulamak, perjumpaan malam tadi sebulat suara mencalonkan gandingan orang baru dan lama mengisi jawatan tersebut.

Mohd Jamal Nasir telah dipilih sebagai calon utama untuk bertanding jawatan Yang DiPertua PAS Kubang Pasu. Mohd Nasir merupakan seorang jurutera perunding merupakan aktivis PAS sejak di menara gading dan juga telah dilantik sebagai AJK PAS Kubang Pasu pada pertengahan tahun lalu. Sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa jawatan strategik parti di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Kedah.

Jawatan Timbalan Yang DiPertua akan ditandingi oleh Hj Taib Ahmad, mantan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Negeri, juga pernah memegang jawatan Ketua Penerangan di era kepimpinan Ustaz Abu Kassim L. Abdullah (YDP Kubang Pasu) suatu ketika lalu. Hj Taib adalah di antara kumpulan gerakan pelajar Universiti terdiri seramai 80 orang yang telah berbai’ah dengan Al-Marhum Tuan Guru Hj. Yusof Ar-Rawa Yang DiPertua PAS Pusat dan Al-Marhum Dato Hj Fadzil Mohd Noor (Timablan Yang DiPertua PAS Pusat) Yang DiPertua PAS Pusat di era kepimpinan ulamak untuk menolak tawaran berkhidmat dengan kerajaan UMNO/BN dan memilih bertugas sepenuh masa dengan PAS. Antara rakan-rakan seangkatan yang rapat dengannya ialah Datuk Paduka Husam Musa dan Dato’ Takiyuddin Hassan yang kini dilantik sebagai Exco kerajaan Kelantan. Di samping beberapa Ahli Parlimen termasuklah YB Ustaz Mohammad Husin (Pasir Puteh), YB Saifuddin Nasution (Machang) dan Ustaz Idris Hj Ahmad, AJK PAS Pusat.

Bagi jawatan Naib Yang DiPertua, Cikgu Mohd Noor Hanapi telah dipilih sebagai calon bagi sesi 2009/2011. Beliau merupakan seorang aktivis yang memiliki fikrah tulen PAS. Memegang pelbagai jawatan parti diperingkat kawasan dan negeri (sebelum ini). Jawatan tertinggi yang disandang olehnya ialah sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah Darulaman. Sekarang aktif memimpin usrah di beberapa kawasan dalam negeri Kedah Darul Aman, juga sebagai Setiausaha Masjid At-Muttaqim, Bandar Darulaman.

Tokoh ulama dalam PAS Kubang Pasu, Tuan Hj Taib Hj. Hassan telah dicalonkan sebagai Ketua Urusan Ulamak. Beliau seorang yang istiqomah dalam program tarbiyyah dalam dan luar kawasan Kubang Pasu sejak 20 tahun lalu hingga ke hari ini.

Bagi 12 Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu yang dicalonkan untuk bertanding ialah Abdul Hamid Mat Akhir, Azizan @ Mahammad Wahab, Abdul Rahman Ahmad, Basir Hj Ismail, Hashim Abdul Rashid, Hashim Abu, Kaman Jaapar, Mohd Dzohir Hamid, Rosli Omar, Taib Abdul Rahman, Saadon Hashim dan Zabedi Usop.

Pemeriksa kira-kira pula, aktivis PAS telah mencalonkan muka baru iaitu Mokhtar Hamid dan Abdul Ghani Shafie.

Asri menambah, “kesemua calon-calon yang dipilih untuk bertanding memiliki kelebihan dan kekutan masing-masing. Namun keutamaan pemilihan mereka ialah kerana telah dikenalpasti memiliki fikrah tulen PAS, di samping pengalaman dalam gerak kerja dalam parti PAS samada berkaitan tarbiyyah dan politik”.

Sehubungan itu, Asri mengharapkan semoga calon-calon yang dicadangkan oleh aktivis PAS di terima oleh seluruh ahli dan PAS cawangan seluruh Kubang Pasu demi memastikan gerak kerja parti di masa depan berjalan lancar.

Wednesday, January 21, 2009

KUBANG PASU | REALITI DAN PERSOALAN MASA KINI


KUBANG PASU : KEPIMPINAN HARAPAN BARU

PAS Kubang Pasu telah menjangkau usia 33 tahun (baca : 33 Kali Mesyuarat Agong Tahunan) sejak ia ditubuhkan. Dalam tempoh tersebut pelbagai liku-liku perjuangan telah dilalui, ada ketikanya pahit dan manis. Kesinambungan perjuangan dan kepimpinan PAS di Kubang Pasu bertukar ganti di antara yang lama dan baru. Kemuncak dan kerancakkan gerakkerja PAS Kubang Pasu amat dirasai di era 80an hinggalah dipenghujung tahun 90an. Tiada siapa yang boleh menafikan.Di era itulah saya mula menyertai PAS (1985), hasil dari kesedaran sendiri dan terus mengikuti PAS dengan lebih dekat melalui program tarbiyyah haraki yang dianjurkan oleh PAS Kawasan.

Dalam tahun 80an, PAS kawasan Kubang Pasu telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah kepada program Ijtimak Musthad’ affin (Markaz PAS Tok Kesop), Himpunan Pemuda Islam Malaysia (Asun), Ijtimak Pemuda PAS Kedah (Padang Limau) dan banyak lagi program dalaman PAS yang dianjurkan oleh PAS itu sendiri.

Era 80an dikatakan sebagai era pengukuhan akidah perjuangan ahli-ahli PAS. Pengisian difokuskan ke atas perkara berkaitan iman dan kufur. Pemahaman terhadap tassawur perjuangan Islam melalui wadah PAS menjadi topik dalam setiap ucapan para pemimpin. Di tahun 80an, berlakunya ujian getir kepada PAS, apabila pasukan kepimpinan ulamak mengambil-alih tampuk kepimpinan di peringkat pusat dan ikuti diperingkat negeri, diikuti dengan perletakan jawatan beramai –ramai oleh pemimpin PAS pro Datuk Mohd Asri (Yang DiPertua) PAS ketika itu.

Kegawatan dalam PAS dapat ditanggani dengan bijaksana dan berhemah oleh gandingan Trio-Ulamak Haraki yang memimpin PAS iaitu Al-Marhum Tuan Guru Yosof Ar-Rawa (Yang DiPertua PAS Pusat), Al-Marhum Dato Ustaz Hj Fadzil Mohd Noor (Presiden PAS) dan YB Dato Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang (Presiden PAS sekarang).

Dalam konteks PAS Kubang Pasu pula, kepimpinan PAS di era 80an telah diamanahkan kepada Al-Marhum Ustaz Ahmad Yusof sebagai Yang DiPertua PAS Kawasan dengan aktivis-aktivis yang istiqomah dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

KUBANG PASU DI ERA 80AN

Al-Marhum Ustaz Ahmad Yusof (bapa Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu – Ustaz Yusof Hj Ahmad) adalah merupakan kepimpinan Ulamak PAS Kedah yang sangat dihormati. Di samping sebagai Yang DiPertua PAS Kubang Pasu, beliau juga dilantik sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah.

Antara AJK PAS kawasan yang masih segar diingatan berada di dalam saf kepimpinan PAS Kubang Pasu ketika itu ialah Allahyarham Rahman Mahadi (bekas pemangku Setiausaha Agung PAS di zaman Dr Abas) dilantik sebagai Penolong Setiausaha PAS kawasan, Allahyarham Cikgu Mohd Zain Yunus selaku Timbalan YDP Kawasan, Allhayarham Pak Lah Changlon, Allahyarham Pak Ak Wang Tepus, Allhayarhamah Ustazah Fathahiah (Ketua Dewan Muslimat), Ustaz Hj Abu Kassim, Setiausaha PAS Kubang Pasu, Cikgu Wahab Abdul Rahman, AJK PAS Kawasan dan ramai lagi.

Dewan Pemuda pula dipimpin oleh saudara Mohd Kamal Ismail (sedang uzur) selaku ketua, Allahyarham Dr Azizan Hj Ismail (Timbalan Ketua Pemuda), Saad Hashim (Setiausaha), Ahmad Hj Din (Bendahari), Basir Ismail (Ketua Penerangan), Allahyarham Sidek Abdullah, Ismail Abdullah, Mokhtar Bidin, Ariffin Kassim dan ramai lagi.
Kesemua mereka adalah kepimpinan yang memiliki fikrah tulen PAS. Tassawur dan aqidah perjuangan Islam dibina melalui Madrasah Tarbiyyah PAS. Aktiviti tarbiyyah seperti usrah, tamrin, liqa’ fikr, mukhayyam dan ijtimak hidup subur dan melata di seluruh cawangan-cawangan.

Kini, semua nama-nama kepimpinan masa lampau yang dicatatkan sebahagiannya tidak dikenali oleh generasi sekarang. Sehingga ada yang merasakan mereka di sisih, apa tah lagi tidak hormati. Ada yang terus difitnah dengan cerita –cerita yang berasal-usul dari pergeseran peribadi yang tiada kaitan langsung dengan PAS. Gejala menfitnah dan memburuk-buruk keperibadian seseorang ahli-ahli maupun aktivis PAS yang di bawa masuk ke dalam Jamaah PAS adalah berpunca antaranya kerana, tiadanya ikatan ukhwah fillah sesama ahli-ahli, kesan dari ketiadaan aktiviti tarbiyyah haraki.

MEMPERTAHANKAN KEMENANGAN PAS

Tanggungjawab dan peranan ahli-ahli dan aktivis PAS semua peringkat dalam kawasan Kubang Pasu ketika ini ialah bersatu padu serta bersedia memainkan peranan mereka masing-masing untuk mempertahankan kemenangan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang dipimpin oleh YAB Dato Seri Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak juga sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah. Ia perlu dilakukan oleh seluruh ahli dan aktivis PAS dalam kerangka yang dibenarkan, termasuk dalam keadaan susah ataupun senang, berjawatan ataupun tidak, bergaji ataupun tidak, dipuji ataupun dikeji, dipinta ataupun dihalang, disanjung ataupun disingkirkan.

Sesungguhnya seluruh ahli PAS secara sedar ataupun tidak sebenarnya telah berbai’ah dengan Jemaah Islam ini. Berbai’ah untuk meneruskan perjuangan Islam melalui wadah PAS. Kebaradaan kita dalam PAS adalah suatu kewajiban yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja..

Namun, tanggungjawab secara rasmi dalam konteks organisasi parti PAS ia terletak kepada kepimpinan PAS yang diamanahkan. Samada bersetuju ataupun tidak, tanggungjawab dan peranan terletak di atas bahu mereka (saf Kepimpinan). Ia segalanya mesti bermula dari mereka. Jika mereka peka, beriltizam dan beristiqomah dalam perjuangan Islam ini, sudah pasti mereka bersedia memikul tanggungjawab dan menjalankan tugas ini secara serius dan bersungguh-sungguh.

Dalam erti kata lain, bukan sekadar dasar, cita-cita dan matlamat perjuangan dipertahankan, bahkan ia akan perlu dilaksanakan apabila kita (PAS) telah diberi mandat oleh rakyat menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah. Membiarkan segala-galanya dilaksanakan oleh kepimpinan di peringkat negeri sahaja ia adalah sikap yang melemahkan perjuangan, sekaligus menjatuhkan motivasi ahli-ahli itu sendiri.

Perlu disedari bahawa seluruh ahli dan aktivis PAS Kubang Pasu telah sekian lama menunggu sentuhan kepimpinan Kubang Pasu mengisi makna kemenangan, di samping menggorak langkah mempertahankan kemenangan PAS pada PRU 13 akan datang. Namun penantian dalam tempoh masa yang berlalu, ia masih tidak kunjung tiba. Tidak memperdulikan rungutan dan rasa kurang senang ahli-ahli dan aktivis PAS dalam hal ini sebenarnya adalah jelmaan kelemahan saf kepimpinan Kubang Pasu yang perlu diinsafi oleh mereka yang berkenaan.