Friday, November 14, 2008

KONSEP DAN TANGGUJAWAB KEPIMPINAN PAS

Petikan kertas kerja oleh Al- Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS

Menurut Islam, kepimpinan atau imamah wajib dibentuk bagi melaksanakan dua tanggungjawab yang besar iaitu untuk memelihara agama dan menguruskan siasah dunia.

Memelihara agama bermaksud menjaga, mengembang, mempertahan dan melaksanakan syariat agama dalam semua bidang hidup sama ada yang mengenai peribadi, keluarga, masyarakat dan negara bahkan dunia seluruhnya.

Sementara menguruskan siasah dunia bererti mengendalikan urusan pentadbiran, pemerintahan dan pembangunan yang melibatkan soal-soal kehidupan, pembangunan material, kemajuan dan peradaban berasaskan kepada nilai-nilai agama dan prinsip-prinsip syariat.

Dasar-dasar ini adalah dasar-dasar yang berkaitan kepimpinan negara dan ummah.
Lantaran penting dan besarnya tanggungjawab kepimpinan ini iaitu kepimpinan yang mengabungkan tanggungjawab keagamaan dan keduniaan yang tidak boleh dipisahkan maka Islam meletakkan syarat-syarat tertentu agar amanah kepimpinan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menepati matlamatnya, kerana seorang pemimpin dalam Islam bukan sahaja bertanggungjawab kepada umat bahkan bertanggungjawab kepada Allah SWT.

“Mereka yang apabila kami kukuhkan mereka di bumi mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat dan mereka menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mereka mencegah dari berbuat yang mungkar dan kepada Allah jualah akibat dari segala urusan”
(al Hajj : 41)

Antara syarat-syarat kepimpinan dalam Islam ialah;

1) berilmu,
2) memahami hukum-hukum ke tahap yang dapat berijtihad dalam menangani isu-isu yang
berlaku,
3) seorang yang adil dalam pengertian dan syarat-syarat keadilan,
4) mempunyai kepintaran di dalam menjalani siasah syariah dan pentadbiran,
5) mempunyai keberanian di dalam mempertahankan hak-hak dalam kebenaran Islam
6) serta mampu menghadapi tentangan musuh selain dari mempunyai pengaruh yang besar
yang dilambangkan di dalam pengertian ianya hendaklah seorang yang berketurunan
Quraish.

Syarat-syarat yang penuh seperti ini tentulah sukar ditemui di dalam setiap generasi kepimpinan tetapi ianya dapat dipenuhi di zaman kepimpinan para sahabat Nabi Muhamad SAW dan juga dalam beberapa khalifah yang kemudian selain dari kepimpinan Rasulullah SAW sendiri yang merupakan kemuncak kepimpinan kemanusiaan yang sempurna.

Kepimpinan Islam bertanggungjawab melaksanakan tuntutan syariat, meletakkan manusia dalam suasana pengabdian sepenuhnya kepada Allah SWT dalam semua bidang samada aqidah, ibadah, muamalah, kekeluargaan, pmerintahan, pembangunan dan perundangan dan sebagainya.

Maksudnya “Dan tiadalah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka memperhambakan diri kepadaKu”. (ad-Dzariyyat : 56)

Membebaskan mereka dari segala ikatan pengabdian kepada yang lain dari Allah SWT, melaksanakan kebaikan di tengah-tengah masyarakat serta mencegah segala bentuk kemungkaran.

Jika kita mendalami matlamat dari risalah agama yang sebenarnya, akan kita dapati antara matlamatnya ialah untuk membentuk suatu system kepimpinan yang soleh dan mempunyai pengarahan menuju kebenaran dan hidayah iaitu kepimpinan yang dapat memandu manusia bagi menghayati konsep pengabdian dan ketaatan yang padu kepada Allah SWT dan perintah-perintahNya.

Kepimpinan yang dapat menegakkan keadilan dan membasmi kemungkaran serta kefasadan dari muka bumi. Antara hikmah dan tujuan kebangkitan para Nabi dan Rasul-rasul adalah untuk melaksanakan peranan tersebut.

Peranan kepimpinan untuk membawa manusia ke jalan hidayah dan pengabdian kepada Allah diteruskan oleh para ulama’ selepas wafatnya nabi-nabi dan rasul-rasul. Kerana Ulama’ adalah pewaris dan penanggung amanah mereka.

Dalam sejarah Islam kita dapat melihat mereka yang memegang kepimpinan umat dan negara umumnya terdiri daripada ulama’.

Khalifah-khalifah Al Rashidin RA adalah ulama-ulama yang agung, mereka sebagai bintang-bintang yang menyinari alam ini. Begitu juga sebahagian daripada mereka yang kemudian.
Meskipun ada di antara yang kemudian itu bukan terdiri dari ulama’ yang tinggi kewibawaan tetapi mereka sentiasa mendampingi ulama’ dan di satu pihak yang lain pula para ulama’ sentiasa memberi nasihat, teguran dan kritikan yang sungguh berani dan tegas.

Selepas kejatuhan khalifah Islam yang terakhir di Turki dan syariah Islam digugurkan, diganti dengan undang-undang secular dari barat, wilayah-wilayah Islam jatuh satu demi satu ke tangan penjajahan.

Sebelum dan selepas kejatuhan khalifah, pimpinan umat Islam dipegang oleh golongan sekular yang tidak lagi menghirau syariat apatah lagi pandangan ulama’.

Menyedari tentang kewajipan melaksanakan dakwah, syariat serta mengembalikan khalifah yang telah kehilangan kuasa itu maka para ulama’ telah mempelopori pembentukan jamaah harakiah, gerakan-gerakan Islam dan menyeru umat supaya menyertai jemaah memperjuangkan kembali kesatuan umat, menghayati dan melaksanakan syariat serta membebaskan diri dari segala bentuk penjajahan dan penindasan sama ada dalam politik ataupun pemikiran.

Gerakan-gerakan Islam yang lahir di Turki, Mesir dan wilayah-wilayah Arab yang lain, Iran, India, Indonesia dan Malaysia dipelopori oleh para ulama’. Gerakan yang dipelopori mereka mendapat dukungan dari kalangan umat yang masih setia dan cinta kepada Islam dan syariahnya.

No comments: