Pada tanggal 24 November lalu genaplah 57 tahun usia Parti Islam Se Malaysia atau PAS.
Ditubuhkan pada tanggal berkenaan dalam tahun 1951 di Seberang Perai, parti itu yang diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955 dengan nombor pendaftaran 733 (Penang) telah melalui transformasi yang tersendiri, dari sebuah parti kecil yang dipandang lekeh oleh penjajah British, kepada sebuah parti yang mampu menang kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan yang pertama dalam tahun 1955 dan kemudiannya menawan dua buah negeri dalam pilihan raya umum pertama Malaya Merdeka pada tahun 1959, dan kini sebagai sebuah parti bertaraf nasional yang telah berjaya diangkat sebagai Menteri Besar di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak.
PAS telah melalui perubahan nama dalam tempoh lebih lima dekad usianya dari Persatuan Islam Se Malaya (awal penubuhan), ke Persatuan Islam Se Tanah Melayu (30 November 1963) dan kini Parti Islam Se Malaysia (sejak 21 Jun 1977).
Dalam meniti usia lebih setengah abad, PAS kini sudah berjaya bertapak dihati rakyat, dikenali dan diakui kehadirannya oleh setiap lapisan masyarakat dalam negara, Cina, Melayu, India dan lain-lain semuanya kenal dan mengetahui darihal PAS.
Sejarah politik dalam negara membuktikan tidak ada parti dibarisan pembangkang yang dapat bertahan dan kekal sebagaimana PAS. Parti Negara, Front Sosialis, IMP, MDU, NCP dan lain-lain semuanya berkubur, tetapi PAS terus benafas dan bergerak selari dengan arus perkembangan dan kemajuan rakyat dan negara.
Sumber ketahanan PAS yang memungkinkan ia terus bertahan dalam menghadapi serba kekangan, tekanan dan cabaran adalah kerana sentiasa berpaksikan kepada orbit Islam seperti mana yang ditegaskan oleh Almarhum Ustaz Fagdzil Mohd Noor.
Inilah asas yang membezakan PAS dengan parti siyasah lain dalam negara ini. Asas ini yang terus kekal membawa PAS selama 57 dalam perjuangan.
PAS pernah melihat Presidennya, Naib Presidennya, Setiausaha Agungnya dan pimpinan kanan lain diberbagai peringkat lari meninggalkan PAS, namun parti ini terus kekal digantikan dengan pemimpin yang baru.
Presiden atau ketika itu Yang Dipertua Agung PAS yang pertama adalah Tuan Hj Ahmad Puad Hassan (1951-54) yang kemudiannya meninggalkan PAS kerana mahu bersama Dato Onn. Kemudiannya digantikan Dr Hj Abbas Illias (1954-56).
Diikuti Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy (1956-66), Dato Asri Muda (1966-82) yang meninggalkan PAS untuk menubuhkan parti baru Hamim dan kemudiannya menyertai Umno, Tuan Hj Yusoff Rawa (1982-89), Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor (1989-2003), dan kini Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
PAS merupakan parti Islam yang meneruskan perjuangan parti Islam yang pertama di negara ini, iaitu Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948. PAS bukan hanya membawa dasar perjuangan parti ini malah menurut John Funston, pimpinan terkanan PAS pun ketika itu terdiri dari pimpinan Hizbul Muslimin belaka.
Demikianlah PAS jatuh bangun, menang dan kalah, bertahan menghadapi cabaran dan pancaroba sehinggakan terdapat usaha menggugurkan "Islam" yang ada pada namanya, namun PAS terus kekal, berkat doa dan pengorbanan para ulamak dan mereka yang ikhlas dalam perjuangan dan hari ini ia telah mencecah usia 57 tahun. Darah dan airmata mereka yang terdahulu telah ditumpahkan ke bumi bagi melahirkan PAS yang ada yang kita warisi pada hari ini.
Oleh itu berpijak pada bumi yang nyata, junjuglah dasar dan prinsip perjuangan yang sama-sama kita pertahankan ini. Sedarlah bahawa ada di antara kita yang bertarung awal atas gelanggang PAS ini sudah tiada bersama kita, malah ada yang ditemani oleh burung-burung hijau di syurga menunggu kita, janganlah kita persiakan apa yang telah dibina ini.
Bahawasanya dengan sesungguhnya adalah disiytiharkan demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA'RUF WAN NAHYU 'ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan "PARTI ISLAM SE MALAYSIA", demikianlah mukaddimah perlembagaan PAS, sama-samalah kita pertahan dan perjuangkannya.
Alfatihah kepada mereka yang telah mendahului kita, Alfatihah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment