Sunday, March 1, 2009

ISU HINA SULTAN | SOKONG CADANGAN MB KEDAH

Aktivis PAS Kubang Pasu dan Pembela meminta Pemuda Umno Kedah supaya berhenti dalam dalam tindakan politik mereka yang bersifat provokasi dan fitnah berhubung isu bahawa Exco Kerajaan Negeri Kedah menghina Tuanku Sultan Kedah seperti mana heboh dalam media sekarang ini. Di samping, melabelkan Pemuda Umno Kedah bermain sandiwara politik ‘kelas rendah’ serta memualkan rakyat.

Setiausaha Agong Pembela, Basir Hj Ismail ,43 berkata, “isu yang mengaitkan Exco Kerajaan Negeri Kedah menghina Tuanku Sultan hanya semata-mata berpandukan kepada surat layang adalah suatu tindakan yang tidak berasas serta memperlihatkan ketandusan mereka dalam mencari kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah yang semakin disenangi oleh rakyat Kedah ”.

“Bagi saya, Pemuda Umno seolah-olah sudah kehilangan modal politik untuk menarik sokongan rakyat kepada mereka akibat tindakan masa lampau yang terpalit denagn pelbagi isu seperti rasuah, penyelewengan, kezaliman dan bermacam-macam lagi, di samping cuba mengalihkan perhatian umum kepada isu sebenar yang berlaku sekarang ini seperti rampasan kuasa di negeri Perak, pendedahan oleh Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini yang mengatakan bahawa Ketua Umno Kedah, Datuk Mahdzir Khalid terlibat dalam proses pembelian Wakil Rakyat PR Kedah, rasuah politik dalam Umno dan banyak lagi yang tidak lagi boleh dirahsiakan kepada rakyat”, katanya kepada Harian Sinar.

Katanya, tindakan Pemuda Umno membuat laporan polis serta menyerahkan memorandum bantah hina Sultan seperti yang dilaporkan oleh Harian Sinar (2 Mac) hanyalah gimik politik semata-mata, kerana sebelum ini banyak peristiwa yang melibatkan penghinaan ke atas Raja-Raja Melayu dikaitkan dengan pemimpin Umno, mereka tidakpun bertindak sedemikian.Kita lihat waktu itu Pemuda Umno menjadi menjadi bisu, pekak dan buta mata”.

Basir menambah, “Pemuda Umno sepatutnya menumpukan kerja lain yang lebih penting seperti membersihkan imej mereka dari kacamata rakyat, memastikan setiap Wakil Rakyat Umno yang dipilih dalam PRU 12 lalu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat serta membuat laporan kepada pihak berwajib ke atas ketua mereka yang didedahkan terlibat dalam kes rasuah dan sogokan wang untuk pembelian Wakil Rakyat PR”.

Sehubungan itu, Pembela amat menyokong cabaran oleh Menteri Besar, YAB Dato Seri Ustaz Azizan Abdul Razak supaya Pemuda Umno berkenaan untuk mengemukakan bukti dan sekiranya gagal mereka akan berhadapan dengan saman yang akan dikemukakan.

No comments: