Wednesday, January 14, 2009

HIMPUNAN ISU BOTAK TIADA PENGANJUR

Himpunan Mendesak Kerajaan PR Memecat Si Botak dan YDP Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) yang dirancangkan diadakan pada pagi ini (10.00 pagi) tidak berlaku seperti mana yang disiarkan di dalam poster bertajuk “Si Botak Kurang Ajar..”.

Dari pemantauan yang dijalankan oleh aktivis PAS dan PEMBELA sekitar tapak pasar malam Pekan Jitra 2 antara jam 10.55 pagi hingga 11.30 pagi, tidak ada tanda-tanda akan berlangsungnya himpunan tersebut. Namun begitu, kelihatan sekitar 20 orang para peniaga yang berkumpul termasuk beberapa wartawan arus perdana, di samping pasukan polis serta SB yang mungkin bersedia untuk bertindak jika perhimpunan itu diadakan.

Menurut, Shaari Khamis salah seorang peniaga yang hadir di tempat himpunan yang dirancang akan diadakan berkata, kehadirannya ke himpunan ini adalah nak bersama kawan-kawan lain bagi mendesak kerajaan memecat kakitangan penguatkuasa yang dianggap biadap dan samseng tersebut.

Kaman Jaapar, aktivis PAS Kubang Pasu yang turut hadir mengatakan bahawa kehadirannya untuk memantau himpunan yang akan diadakan tersebut, di samping ingin mengetahui dengan lebih tepat siapakah penganjur himpunan ini.

“Poster yang ditampal merata-rata tidak menulis siapa penganjur himpunan ini. Ia menimbulkan banyak persepsi, sehingga ada yang mengaitkan dengan persatuan peniaga pasar malam, PAS dan PEMBELA. Sesungguhnya, jika ia benar perbuatan PAS ataupun PEMBELA maka kita ingin memastikannya”, ujarnya lagi.

Di samping itu, ada juga cakap-cakap yang mengatakan ia perbuatan UMNO untuk melaga-lagakan para peniaga dengan pihak MDKP yang telah bertindak secara kasar dalam insiden kekecohan pasar malam Batu 13 antara pihak penguatkuasa MDKP dan para peniaga minggu lepas. Datuk Abu Hassan Sharif, ADUN Siputeh ataupun orang-orangnya juga dituduh terlibat kerana membalas dendam terhadap tindakan MDKP memberhentikan anaknya dari meneruskan khidmat di MDKP sejak kerajaan PR mengambil alih kerajaan Kedah pada 8 Mac lalu.

Namun kita patut rasa bersyukor kerana himpunan ini tidak diadakan. Sebab dan musabab ia tidak diadakan tidak kita ketahui dengan tepat. Jelasnya, penganjurpun tidak diketahui. Sebaliknya, apa yang perlu diberi perhatian oleh kita semua ahli-ahli PAS dan saf kepimpinan PAS, lebih-lebih lagi mereka yang telah dibrikan kuasa dan amanah untuk menguruskan hal-hal berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan ialah mengapakah perkara seperti ini boleh terjadi. Adakah ia merupakan tindakan berbaur politik untuk menjatuhkan kredebiliti kerajaan PR ataupun untuk menjatuhkan maruah Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu ataupun untuk melaga-lagakan para peniaga dengan pihak kerajaan atau kerana ia manifestasi rasa kemarahan para peniaga kepada seorang penguatkuasa yang kurang ajar dan biadap ataupun kerana budaya demontrasi telah menyerap masuk ke lubuk hati rakyat sebagai jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu isu yang berbangkit.

Bagi saya, apapun perkara yang dinyatakan semua perlu di lihat dan diberi perhatian. Jangan semata-mata nak mencari siapa dalang di sebalik himpunan, kemudian menuding jari kepada penganjur sebagai punca utama berlakunya himpunan tersebut. Tumpuan sepatutnya mencari sebab dan kelemahan sehingga mendorong pihak yang berkenaan membuat keputusan ataupun tindakan mengajak rakyat berhimpun dan berdemonstrasi.

Akhirnya kepada semua ahli-ahli dan aktivis PAS, saf kepimpinan PAS di mana jua peringkat, sedarlah bahawa rakyat menunggu-nunggu jelmaan slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua” menjadi kenyataan dalam konteks yang menyeluruh selari dengan dasar perjuangan PAS itu sendiri.

No comments: