Monday, January 26, 2009
MESEJ UNTUK USTAZ YUSOF AL-MARHUM HJ AHMAD
PEMUDA MELAHIRKAN KEPIMPINAN PAS
Dewan Pemuda telah diwujudkan setiap organisasi PAS iaitu di peringkat Pusat, Negeri, Kawasan dan Cawangan. Ia adalah sayap kanan parti yang sangat penting. Pemuda adalah generasi pelapis kepimpinan pada masa depan. Dalam PAS, ramai kepimpinan utama PAS samada di peringkat pusat, negeri maupun kawasan adalah dari kepimpinan Pemuda masa lalu.
Sebagai contoh, dalam struktur kepimpinan PAS Pusat sekarang, Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nassaruddin Mati Isa adalah mantan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, dua Naib Presiden iaitu Hj Mohammad Sabu adalah mantan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat dan Datuk Paduka Husam Musa ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Jika di teliti lebih separuh AJK PAS Pusat yang memegang jawatan di peringkat pusat sekarang adalah dari kalangan kepimpinan Pemuda. Antaranya ialah Ustaz Idris Hj Ahmad, YB. Dr Mohd Hatta Ramli, Mazlan Aliman, Haniffa Maidin, Datuk Abu Bakar Chik, YB Dr Syed Azman Syed Nawawi dan ramai lagi yang perlu dihuraikan di sini. Termasuk juga Pengerusi Tetap PAS Pusat, Ustaz Abu Kasssim L. Abdullah adalah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah.
Begitu jugalah diperingkat PAS Negeri Kedah Darul Aman, ketiga-tiga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah iaitu YB Datuk Hj. Mahfuz Omar adalah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan Negeri Kedah, YB Datuk Hj Pharolrazi Zawawi, mantan Bendahari Dewan Pemuda PAS Kedah dan Hj. Hassan Abdul Razak, mantan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah serta YB Senator Hj Mohd Yusof Husin selaku Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah adalah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah.
Ertinya, pemuda adalah bakal ataupun kepimpinan masa depan yang perlu digilapkan dengan bersungguh-sungguh, di samping di beri dorongan supaya karisma yang dimiliki oleh mereka akan dapat diserlah ke tengah-tengah masyarakat dengan lebih berkesan. Kepimpinan mereka adalah melalui proses tarbiyyah haraki dan gerak kerja yang realiti dengan waqi’ perjuangan. Lebih utama lagi, mereka adalah pemimpin yang memiliki fikrah tulen PAS yang memahami rentak dan tari dalam mendepani cabaran perjuangan.
PEMUDA PAS KUBANG PASU : HARAPAN DAN REALITI
Dalam konteks PAS Kubang Pasu, Dewan Pemuda seharusnya menginsafi tentang peranan, tanggunjawab serta cabaran di masa depan yang lebih mencabar. Pemuda PAS Kubang Pasu mesti berani membawa arus perubahan dalaman dan luaran PAS yang boleh menguntungkan perjuangan PAS dalam jangka pendek maupun jangka panjang. Pemuda tidak sewajarnya menjadi menjadi ‘Pak Turut’ ataupun petugas yang hanya mampu menampal poster, menjaga parking di program-program ceramah PAS, petugas kutip derma dan menunggu arahan pucuk pimpinan PAS untuk melakukan tindakan.
Pemuda PAS Kubang Pasu disarankan bingkas dan bermotivasi dalam memikul amanah dan tanggungjawab. Mereka hendaklah berupaya merancang strategi dan gerak kerja dengan rapi dan teliti bersesuaian dengan persekitaran yang semakin kompleks. Pemuda mesti memiliki wawasan untuk melihat masa depan PAS samada dalam medan politik, dakwah dan tarbiyyah. Pemuda PAS Kubang Pasu kena yakin dan percaya bahawa masa depan politik di Kubang Pasu adalah milik PAS.
Kegagalan Pemuda melakukan tindakan yang menjadi tanggungjawab mereka akan menyebabkan PAS menjadi kaku, layu dan lesu. Kesannya, PAS akan hilang pengaruh dalam masyarakat khsususnya golongan muda, sekaligus menyukarkan PAS untuk memenangi mana-mana musim Pilihanraya yang akan disertainya pada masa akan datang. Pemuda dituntut muncul sebagai agen perubahan dalam masyarakat, bukannya menjadi anak manja yang sentiasa diberi belaian dan kasih sayang oleh pimpinan PAS Kawasan. Lebih memalukan jika Pemuda sering mengemukakan pelbagai alasan yang tidak syar’ie, apabila gagal melaksanakan tugas dan amanah.
Pemuda yang tangkas, perkasa dan berjiwa besar tidak mungkin memberi beribu alasan bersifat berkepentingan peribadi duniawi, apabila dituntut melaksanakan amanah. Tidak ada gunanya Pemuda Kubang Pasu berbangga dengan latarbelakang pendidikan, pengaruh, jawatan dan hubungan dengan kepimpinan politik kepartian PAS, sekiranya mereka tidak mampu untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Pemuda PAS Kubang Pasu wajar bermuhasabah dan menginsafi tentang kelemahan yang mereka miliki masa lalu. Sikap buat ‘acuh tak acuh’ dalam melaksanakan tanggungjawab
bukan sahaja boleh merugikan PAS, sebaliknya akan menambah dosa-dosa sahaja kerana mereka telah mengkhianati amanah dalam perjuangan Islam.
Pemuda wajar mengerti bahawa PAS adalah sebuah perjuangan Islam yang di ambil dari perjuangan Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabi dan tabi’in, para ulamak dan pejuang-pejuang Islam masa lampau demi untuk menegakkan agama Islam di atas muka bumi ini. Pemuda bukan sahaja perlu tahu, bahkan sewajarnya menghayati bahawa perjuangan Islam ini memerlukan kepada pengorbanan jiwa raga, harta benda, tenaga dan masa serta menolak tawaran dunia yang melalaikan. Pemuda jangan jadikan PAS sebagai platform mengisi masa lapang ataupun kelab bersosial semata-mata, sebaliknya mereka kena sedar bahawa tanggunjawab dan peranan yang perlu dimainkan adalah besar dan dituntut oleh agama Islam.
Jika Pemuda tidak sanggup memikul amanah ini, serahkan sahaja kepada Pemuda lain kerana ia adalah langkah terbaik untuk kepentingan perjuangan PAS. Memegang jawatan tanpa berpatisipasi secara bersungguh-sungguh dalam gerak kerja untuk memartabatkan Islam adalah sikap yang dikutuk dan tidak boleh dibiarkan. Mereka yang berkenaan perlu digugurkan, demi masa depan PAS.
MASA UNTUK MEMECUT
Sehubungan dengan sokongan para aktivis PAS terhadap kepimpinan Ustaz Yusof Al-Marhum Hj Ahmad untuk memimpin sepenggal lagi Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu (2009/2011) mesti di lihat dalam perspektif yang objektif dan optimistik. Sokongan yang ikhlas dan padu dari para aktivis PAS Kubang Pasu terhadap kepimpinannya adalah bersandarkan kepada latarbelakang keturunan, ilmu, komitmen serta usia, di samping fikrah tulen PAS yang dimiliki olehnya. Namun, Ustaz Yusof tidak perlu teruja dengan sokongan yang diberikan kerana yang dituntut oleh para aktivis adalah kesediaan, iltizam serta keberaniannya untuk menjadi agen perubahan dalam Kubang Pasu. Tanggungjawab besar yang menantinya di masa depan ialah kemampuan dan kesungguhannya untuk memimpin Pemuda, bukan sahaja dari kalangan ahli-ahli dan penyokong PAS bahkan seluruh Pemuda dalam Kubang Pasu.
Kegagalan, kelemahan dan kelesuan Pemuda PAS Kubang Pasu pada sesi lepas perlu direnungi dengan sedalam-dalamnya. Jadikan pengalaman masa lalu sebagai pengajaran serta untuk melakukan perubahan. Memang tidak adil jika kita mahu meletakkan segala kelemahan dan kesilapan masa lalu kepadanya semata-mata, tetapi harus diakui bahawa sebagai Ketua atau pemimpin yang berfikiran objektif dan berjiwa besar bahawa beliau mesti berani mengambil pertanggungjawaban tersebut. Lebih-lebih lagi sanggup memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan tersebut bukan kerana untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya untuk perjuangan Islam melalui wadah PAS ini.
Peluang yang diberikan kepada Ustaz Yusof pada kali ini mesti digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membangkitkan semula peranan Pemuda di Kubang Pasu. Perlu diingatkan lagi, penggal 2009/2011 bukan masa untuk Pemuda PAS Kubang Pasu menjaga hati dan perasaan mana-mana pihak yang tidak mendatangkan kebaikan kepada PAS. Penggal 2009/2011 adalah period kritikal dan memerlukan Ustaz Yusof memecut setangkasnya Pemuda PAS Kubang Pasu sehingga ke garisan kemenangan dalam PRU 13 akan datang. Penggal ini menuntut Ustaz Yusof merangka struktur organisasi dan kepimpinan Pemuda yang lebih dinamik, relevan dan memiliki fikrah tulen PAS. Sesungguhnya, kesediaan Ustaz Yusof menanggapi di sebalik sokongan padu para aktivis PAS akan meletakkan beliau sebagai pemimpin PAS Kubang Pasu di masa depan.
Wallahu alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment