Saturday, January 17, 2009

KEMENANGAN PAS DI PRK KUALA TRENGGANU BUKTI HUDUD DI TERIMA RAKYAT

Keputusan Pilihanraya Kecil Kuala Trengganu yang diumumkan pada malam ini oleh pegawai pengurus pilihanraya, Wan Mustapha Wan Hassan yang dimenangi oleh PAS adalah bukti hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS semakin di terima oleh rakyat. Isu hudud yang cuba dimainkan oleh UMNO/BN telah memakan diri mereka sendiri.

Calon PAS, YB Abdul Wahid Endut telah memenangi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 2,631 undi dengan mendapat 32,883 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi.

UMNO DAN HUKUM HUDUD

Mungkin ramai yang menyangka bahawa isu hudud yang dicanang oleh UMNO/BN akan mempengaruhi undi dikalangan pengundi Cina dalam DUN Bandar dan juga Dun-Dun lain dalam Parlimen Kuala Trengganu ternyata meleset. Sebenarnya yang ragu-ragu untuk menerima perlaksanaan hokum hudud bukannya rakyat, sebaliknya adalah UMNO itu sendiri.

Jika kita merujuk agensi berita yang melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PAS mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini
Ahmad Zahid berkata, "Kalau PAS berhajat untuk melaksanakan hudud, saya doakan supaya hajat mereka itu tercapai tetapi hakikat politik tidak begitu,".

Perkara ini disampaikan kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini.

Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata kenyataan Husam itu adalah "satu cerita politik" semata-mata kerana jika PAS benar benar mahu melaksanakan, ia pasti sudah lama dikuatkuasa di Kelantan.

Mereka berdua adalah pemimpin UMNO yang diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang berpendirian bahawa PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.
Jika dianalisa pandangan kedua-dua pemimpin UMNO ini secara jelas terdapat percanggahan pendapat tentang hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS oleh kedua-dua pemimpin UMNO ini. Terdapat kontradiksi kenyataan antara satu sama lain. Di mana Mahadzir Khalid kata hudud boleh dilaksanakan di Kelantan dan Zahid Hamidi pula mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa pindaan Perlembagaan.

Sesungguhnya kenyataan kedua-dua pemimpin Umno di atas adalah refleksi wajah sebenar Umno ketika berpolitik dan menanggapi isu hudud yang diperjuangkan oleh PAS. Bagi pemimpin Umno peribadi seorang ahli politik dan peribadi seorang Islam adalah berbeza. Sebagai seorang Islam, ia boleh menerima hudud sebagai hukum Allah tetapi sebagai ahli politik ia sukar atau tidak boleh menerima bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan. Inilah pegangan UMNO yang boleh berbeza sikap antara orang Islam dan orang politik yang telah mengelirukan dan menyesatkan umat Islam di Negara ini.

Mesej Kemenangan PAS Dalam PRK Kuala Trengganu

Hudud adalah perintah Allah. Setiap orang Islam wajib beriman dengan perintah Allah SWT tersebut dan mesti berusaha melaksanakan hukum tersebut dalam pemerintahannya. Perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif orang-orang PAS sahaja ataupun bukan sahaja menjadi bebanan kepada PAS. Sebaliknya ia wajip dilaksanakan oleh pemimpin yang beragama Islam.

UMNO mesti memahami bahawa hudud adalah perintah Allah maka tidak wajar ia menuduh PAS cuba memainkan isu hudud untuk kepentingan politiknya sepertimana yang dikatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid tersebut.
PAS sejak dulu tidak pernah memisahkan antara orang Islam dan orang politik. Apabila pemimpin PAS bercakap tentang politik ia bercakap sebagai seorang pemimpin Islam dan apabila ia bercakap tentang Islam ia juga bercakap sebagai pemimpin politik. Ia dilakukan kerana diajarkan oleh Rasulullah SAW iaitu Rasul bagi seluruh umat manusia.

Perlu ditegaskan bahawa sama ada PAS berjuang secara solo atau bergabung dalam Pakatan Rakyat , PAS tidak akan sama sekali meninggalkan matlamat dan cita-cita perjuangannya untuk menegakkkan Islam ajaran Islam yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk hukum hudud.

Tetapi dalam masa yang sama PAS juga amat maklum di atas kejahilan majoriti rakyat negara ini tentang hukum hudud tersebut dan batasan serta halangan perundangan, perlaksanaan hukum hudud mungkin tidak dapat disegerakan perlaksanaannya meskipun diandaikan Pakatan Rakyat dapat memerintah negara ini. Atas dasar itu hasrat melaksanakan hudud tidak pernah menjadi penghalang kepada Pas untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menuntut keadilan dan menentang kezaliman.

Oleh itu, kemenangan PAS dalam PRK Kuala Trengganu memberi mesej yang jelas bahawa mempertahankan dasar perjuangan Islam yang menjadi teras kepada PAS termasuk melaksanakan hukum hudud jika diizinkan memerintah Malaysia bukan suatu perkara yang mustahil. Para pengundi yang terdiri dari pelbagai agama, bangsa dan budaya di era sekarang sudah mula memahami apa itu hukum hudud dalam konteks undang-undang Islam yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah yang beragama Islam. Segala keraguan atau kebimbangan dalam memperkatakan tentang hudud boleh menyebabkan PAS kalah dalam pilihanraya adalah suatu illusi yang perlu dibuang jauh.

Syabas dan tahniah kepada seluruh petugas PAS yang beristiqamah dalam melaksanakan arahan pucuk pemimpin parti. Tidak dilupakan juga kepada seluruh saf kepimpinan PAS semua peringkat yang telah bertungkus lumus berjuang memenangkan calon PAS. Sesungguhnya kemenangan PAS di PRK Kuala Trengganu adalah kemenangan maruah dan roh hudud yang diperjuangkan oleh PAS dari dulu, sekarang dan masa akan datang.
Allahu Akbar !

No comments: