Sunday, February 1, 2009

AKTIVIS PAS KUBANG PASU LAKUKAN KUNJUNGAN KE PERTUBUHAN BUDDHIST TZU- CHI MERIT MALAYSIA


Kunjungan rombongan aktivis PAS Kubang Pasu bersama PEMBELA ke Pertubuhan Buddhist Tzu-Chi Merit Malaysia di Pekan Jitra 2 telah membuka lembaran baru di dalam hubungan antara badan bukan kerajaan dengan PAS Kubang Pasu.


Kehadiran aktivis PAS dan PEMBELA telah mendapat layanan mesra dan penuh harmoni. Rombongan tersebut disertai oleh Che Halim Ismail, Ketua Penerangan PAS Kubang Pasu, Mohd Jamal Nasir dan Abdul Hamid Mat Akhir, AJK PAS Kubang Pasu serta Basir Hj Ismail, Ooi Jin Taik dan Muslim Daud mewakili PEMBELA.


Pertubuhan Buddhist Tzu-Chi adalah sebuah badan bukan kerajaan bertaraf internasional yang diasaskan oleh Master Dharma Cheng Yen pada tahun 1966 yang berpengakalan di Taiwan telah terlibat dalam menjalankan kerja-kerja berkaitan kebajikan, perubatan, pendidikan dan kemanusia.


Menurut encik Low Keong Koon, Sukarelawan Tzu-Chi di Jitra bahawa, “pertubuhan ini melakukan kerja amal yang menitik-beratkan soal kasih-sayang sesama manusia tanpa mengira fahaman agama, bangsa dan budaya. Kerja amal yang dilakukan adalah untuk membantu golongan susah dan di timpa musibah mengikut kadar kemampuan yang ada tanpa mengira fahaman agama, bangsa dan budaya”.


Sehingga kini difahamkan, sekitar Kedah/Perlis pertubuhan Tzu-Chi telah berjaya membantu sejumlah 300 keluarga yang bermasalah.


Mohd Jamal Nasir, Ketua rombongan aktivis PAS Kubang Pasu berkata, “pertemuan ini telah memberi perspektif baru kepada ahli rombongan tentang pertubuhan Tzu-Chi, sekaligus tertarik dengan usaha dan kerja amal yang mereka lakukan. Kita mahu mengenali mereka dengan lebih dekat, di samping menimba ilmu dalam gerak kerja kemasyarakatan yang mereka lakukan.


“Bagi saya pertemuan ini sungguh menarik dan mengkagumkan apabila kehadiran rombongan aktivis PAS di beri layanan baik dan mesra oleh Sukarelawan yang bertugas di pusat tersebut. Di samping kami telah di beri taklimat berhubung dengan falsafah dan dasar mereka serta melihat tayang video tentang aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan di beberapa buah negara termasuk Malaysia dan Indonesia”, ujarnya.


Mohd Jamal menambah lagi, “pertemuan ini cukup besar maknanya kepada PAS Kubang Pasu kerana sejak ia ditubuhkan pada tahun 1998 di Jitra , kedua belah pihak tidak pernah menjalinkan sebarang bentuk hubungan dan kerjasama khususnya dalam menjalankan kerja-kerja amal dalam daerah ini. Kunjungan kami ini telah berjaya merapatkan hubungan antara kedua belah pihak”.


Diharapakan pada masa depan kedua belah pihak dapat menjalinkan kerjasama dalam hal-hal berkiatan kemasyarakatan dalam daerah ini, Mohd Jamal menambah.


Abdul Hamid Mat Akhir, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kubang Pasu pula berkata, “kehadirannya bersama rombongan ke pertubuhan Tzu-Chi Jitra adalah untuk mengenali lebih rapat lagi tentang peranan mereka dalam masyarakat. Sebelum ini, nama pertubuhan ini heboh diperkatakan oleh penduduk apabila mereka turun menghulurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang berlalu di sekitar Jitra beberapa tahun lalu”.


“Peranan Tzu-Chi kepada golongan susah amat dihargai dan perlu mendapat sokongan masyarakat" katanya.


Di samping mereka menghulurkan sumbangan kepada golongan susah dan ditimpa musibah, pusat perkhidmatannya di Jitra juga menyediakan pusat khidmat homodylisis untuk pesakit buah pinggang secara percuma. Saya nak mencadangkan pada masa depan PAS Kubang Pasu melalui Pusat Khidmat Komuniti yang ditubuhkan dapat menyediakan kemudahan yang sama bagi menampung pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan tersebut”.


Di akhir pertemuan tersebut seluruh ahli rombongan telah mengambil kesempatan bergambar dengan encik Encik Low Keong Koon dan Madan Low Poh Luan selaku pengurusan Pertubuhan Buddhist Tzu-Chi Merit Malaysia, Jitra.

No comments: