Sunday, February 1, 2009

MESYUARAT AGONG TAHUNAN MEDAN MUHASABAH DAN PERKASAKAN PAS

Oleh : Asri Baharom

Mesyuarat Agong Tahunan adalah medan rasmi untuk ahli-ahli PAS bermuhasabah, di samping merancang gerakkerja untuk tahun-tahun berikutnya. Di tahun 2009 ini, Mesyuarat Agong Tahunan menjadi lebih menarik kerana ahli-ahli berpeluang menilai saf kepimpinan parti yang telah diamanahkan menjalankan tugas mereka dalam tempoh satu penggal (2 Tahun) lalu. Di samping memilih saf kepimpinan samada mengekal yang lama (sekarang) ataupun memilih saf kepimpinan baru.

Sekalung ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh kepimpinan PAS, di mana jua peringkat mereka berada kerana telah memikul tugas dengan penuh dedikasi, iltizam, amanah dan jujur dalam tempoh 2 tahun berlalu. Segala jasa, pengorbanan dan komitmen yang disumbangkan dengan ikhlas dan jujur kepada perjuangan Islam yang suci ini, marilah sama-sama kita doakan semoga Allah SWT kurniakan ganjaran pahala atas segala kerja yang telah mereka lakukan.

Kemenangan PAS Kedah dalam PRU 12 dengan cemerlang telah menggerakkan kembali aktivis PAS bukan sahaja di Kubang Pasu, bahkan seluruh Kedah untuk turut sama memperkasakan PAS. Ahli dan aktivis PAS dipertanggungjawabkan secara langsung ataupun tidak langsung untuk berkerja keras mempertahankan kemenangan PAS pada PRU 13, di samping berusaha memenangkan kerusi-kerusi yang masih menjadi milik UMNO/BN sekarang ini.

Saranan pucuk pimpinan parti diperingkat negeri dan pusat supaya kita memperkasakan organisasi dan PAS mesti disambut dengan penuh rasa tanggungjawab serta serius. Beberapa garis panduan dan arahan gerak kerja memperkasakan PAS telahpun dikeluarkan.

Persoalannya, adakah ia dilaksanakan ataupun sebaliknya.Sama-samalah kita renung dan fikir sama-sama tentang hal ini, khususnya dalam konteks PAS Kubang Pasu. Di mana sekarang ini, PAS telah menjadi pemerintah di negeri Kedah. Sehubungan itu, di bawah adalah beberapa isu yang mesti ditanggapi dan dihalusi oleh PAS Kubang Pasu dalam Mesyuarat Agong Tahunan yang bermula sekarang.

(i) Memperkasa Program Tarbiyyah

Tarbiyyah adalah aktiviti wajip yang perlu dititikberatkan. PAS berdiri di atas tiga teras utama ialah pertama, tarbiyyah dan perkaderan, kedua dakwah dan ketiga, siasah (politik). Memperkasakan kembali program tarbiyyah seperti usrah, tamrin, mukhayyam, liqa’ fikr, qiamullail, kulliah, ijtimak dan sebagainya yang telah diabaikan lebih dari satu dekad antara gerak kerja yang ditekankan oleh PAS Pusat.

Penyepian PAS terhadap program tarbiyyah dibimbangi akan melenyapkan roh jihad, roh Islam dan roh amal Islami yang menjadi teras perjuangan Islam melalui wadah PAS. Teguran Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasaruddin Mat Isa terhadap PAS semua peringkat yang tidak lagi menitik berat program tarbiyyah yang menjadi faktor ataupun resipi PAS boleh bertahan sehingga hari ini perlu diinsafi dan dipandang serius oleh kepimpinan PAS di mana jua peringkat.

Persoalannya ialah dimanakah tahap program tarbiyyah dalam PAS Kubang Pasu. Apakah jenis tarbiyyah yang dijalankan dan berapa banyak program tarbiyyah yang melibatkan cawangan-cawangan seluruh Kubang Pasu telah dilaksanakan ?

(ii) Kempen Pendaftaran Keahlian PAS

Di samping tarbiyyah, YB Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS telah melancarkan kempen menambah keahlian PAS pada akhir tahun lalu di Stadium Melawati, Shah Alam. Sesungguhnya keahlian PAS ataupun merekrut ahli-ahli baru PAS merupakan perkara mustahak, sepatutnya di beri perhatian dan usaha yang bersungguh-sungguh samada di peringkat PAS Kawasan maupun Lajnah Politik dan Organisasi.

Kita harus akui bahawa keberadaan kita di dalam PAS masa kini adalah dari usaha gigih petugas, aktivis dan pemimpin PAS masa lampau yang tidak jemu-jemu berusaha berdakwah dan mengajak rakyat (umat Islam) di Negara ini menyertai PAS yang merupakan sebuah perjuangan Islam.

Persoalannya ialah berapa ramai ahli-ahli PAS yang telah didaftarkan dan apakah bentuk kempen menambahkan keahlian PAS yang telah dijalankan ?

Apalah mekanisme yang disiapkan bagi mendokung usaha menambah ahli PAS ini berjaya di Kubang Pasu ?

(iii) Kelab Penyokong PAS

Begitu juga dengan arahan supaya PAS semua peringkat iaitu kawasan dan negeri supaya menubuhkan dan mengaktifkan Kelab Penyokong PAS iaitu sebuah organ parti yang strategik untuk mengajak rakyat non-muslim di Negara ini secara rasminya duduk sebumbung dengan PAS.

Persoalannya ialah bagaimana kedudukan dan prestasi Kelab Penyokong PAS Kubang Pasu sebagai katalis mencorakkan sokongan dan momentum kebangkitan rakyat non-muslim dalam kawasan ini kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Sesungguhnya sikap menunggu musim pilihanraya baru nak mengaktifkan atau mendekatkan diri PAS dengan rakyat non-muslim adalah tindakan ketinggalan zaman. Ia perlu diperbaiki segera.

(iv) Pusat Khidmat Wakil Rakyat @ Pusat Komuniti Masyarakat

Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) ataupun Pusat Komuniti Masyarakat (PKM) adalah sebagai pusat tumpuan rakyat, juga sebagai mekanisme strategik mendekatkan rakyat dengan PAS. Secara jujur ahli PAS mendapati bahawa ianya tidak berfungsi serta kurang diberi perhatian oleh PAS Kubang Pasu. Sekadar mengwujudkan tanpa disediakan rancangan dan gerak kerja yang tersusun dan profesional ia ibarat umpama ‘melepaskan batuk di tepi tangga semata-mata”.

Jika PAS Kawasan lain seperi Kuala Kedah, Baling, Pendang dan Jerai boleh menggerakkan PKWR atau PKM, mengapa di Kubang Pasu ia tidak berbuat demikian.

Walaupun PKWR atau PKM tidak berstatus GLC seperti mana yang dibanggakan oleh beberapa ahli PAS yang telah dipilih menjadi B.O.D (Board of Director), namun sikap membiarkan PKWR atau PKM sepi dan tidak popular dikalangan ahli-ahli PAS dan rakyat perlu dinilai semula. Kelemahan dan kepincangan PKWR atau PKM sebagai mekanisme parti dan kerajaan mesti dipertanggungjawabkan kepada kepimpinan yang diamanahkan sekarang.

(v) Ketua Kampung

Perlantikan Ketua Kampung bertujuan untuk mereka memainkan peranan bukan sekadar menjadi mata – telinga parti dan kerajaan, bahkan menjadi pemangkin dalam komuniti masyarakat. Kelemahan dalam proses perlantikan Ketua Kampung sehingga menyebabkan ada cawangan yang merajuk dan tidak berpuas hati semestinya di lihat sebagai isu kritikal. Di samping, melantik Ketua Kampung yang tidak menghayati dan memiliki syaksiyyah Islamiyah yang boleh menjadi contoh dan ikutan juga adalah suatu kesilapan yang berpunca dari tindakan yang tidak cermat dan berwibawa.

Ketua Kampung adalah aset kepada kerajaan dan PAS, jika ia diuruskan dengan berhemah dan bijaksana dengan mengambil kira pandangan akar umbi (PAS Cawangan). Sebaliknya, ia akan menjadi liabiliti dan sekadar bahan mainan, di samping boleh mengikiskan tahap keyakinan dan sokongan rakyat terhadap PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat.

(vi) Ahli Majlis (PAS) Kubang Pasu

Umum telah mengetahui bahawa PAS Kubang Pasu telah melantik Ahli Majlis untuk mewakili parti dan kerajaan Pakatan Rakyat dalam Majlis Daerah Kubang. Tidak perlu disebut tentang nama dan jumlahnya mereka yang telibat kerana ramai yang dah tahu tentang itu. Kecuali ahli-ahli PAS yang tidak ambil peduli hal itu, apa lagi dengan tindakan dan sikap segelintir dari mereka yang di lihat tidak pro rakyat.

Sikap dan tindakan membelakangkan keputusan parti dan kehendak rakyat telah mengikis keyakinan ahli dan rakyat kepada mereka.Hakikatnya kedudukan Ahli Majlis mewakili PAS Kubang Pasu telah menjadi kontroversi hingga dipertikaikan oleh ahli-ahli PAS dan juga rakyat. Pertikaian ini bukan didorong oleh rasa iri hati ataupun cemburu pihak tertentu kerana tidak di lantik menjadi Ahli Majlis ataupun kerana ia berkaitan dengan agenda politik dalaman parti. Sebaliknya ia berkaitan perkara dasar dan tentang peranan, sikap dan hala tuju mereka dan Majlis Daerah Kubang Pasu.

Berikut beberapa isu yang perlu diberi perhatian.

(a) Isu Parking Pekan Jitra dan Sekitarnya

Isu penguatkuasaan bayaran letak kereta berkupon yang dilaksanakan di Pekan Jitra dan sekitarnya masih lagi tidak dilupakan oleh ahli-ahli dan aktivis PAS dalam Kubang Pasu. Hari ini pihak MDKP telah mengedarkan surat pekeliling berhubung dengan penguatkuasan bayaran parking tersebut yang akan dilaksanakan pada bulan Feb ataupun 15 Februari depan.

Semuanya berpunca dari sikap sekurang-kurang tiga orang Ahli Majlis yang membelakangkan keputusan PAS Kubang Pasu. Sesungguhnya, ahli dan aktivis masih menagih tindakan PAS kawasan Kubang Pasu ke atas tiga orang Ahli Majlis (Hj Abdul Aziz Jusoh, Masduki L.Abdullah dan Abd Rahman Da’i) yang secara langsung menyokong perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon di Pekan Jitra dan sekitarnya, yang secara terang-terang membelakangkan keputusan AJK PAS Kubang Pasu yang menolak perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon tersebut.

Kegagalan PAS Kubang Pasu memastikan Ahli Majlis bertindak mengikut kehendak PAS Kawasan amat dikesali dan akan terus dipersoalkan oleh ahli dan aktivis PAS. Jangan terkejut, sekiranya ada cawangan PAS yang akan menolak kehadiran Hj. Masduki L.Abdullah, Hj Abdul Aziz Jusoh dan Abdul Rahman Da’i untuk merasmi atau hadir sebagai perwakilan PAS kawasan di dalam mesyuarat Agong Tahunan PAS cawangan.

Sikap dan tindakan membelakangkan keputusan parti merupakan satu kesalahan fatal yang perlu dipertanggungjawabkan.

(b) Isu Pasar Malam Batu 13, Jitra

Peranan beberapa orang Ahli Majlis dari PAS Kubang Pasu iaitu Ustaz Yusof Hj Ahmad dan Dr Rohani Abdul Mutalib menanggani isu pasar malam Batu 13, Jitra patut diberi pujian dan sokongan sepenuhnya. Gerakan yang dimulakan dengan menghantar memorandum membantah penguatkuasaan memindah peniaga-peniaga pasar malam Batu 13 bersama dengan Ahli Majlis yang lain amat dialu-alukan.

Penglibatan mereka secara langsung dalam insiden peniaga pasar malam dengan penguatkuasa MDKP, adalah bukti mereka telah memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam menunaikan amanah yang diberikan oleh parti dan kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah.

Namun, kita masih bertanya apakah pendirian PAS kawasan dalam isu ini. Apakah PAS kawasan tidak dapat merasakan bahawa tindakan MDKP yang bersifat politicking serta serampang dua mata disebalik kuasa dan undang-undang untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian para peniaga kepada PAS dan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Matlamat untuk memindah para peniaga kerana alasan untuk tujuan kebaikan kepada para peniaga yang bertukar kepada reaksi dan persepesi kebencian, kemarahan serta hilangnya keyakinan golongan ini kepada PAS dan kerajaan perlu di lihat dalam konteks masa depan politik PAS Kubang Pasu.

Maklumat yang di terima dari Setiausaha Persatuan Peniaga Pasar Malam/Pasar Sehari Daerah Kubang Pasu berhubung dengan tindakan segelintir para peniaga mahu membakar bendera (lambang) PAS perlu di pandang serius, walaupun kejadian tersebut tidak berlaku. Sikap menunduh secara sembrono bahawa isu membakar bendera dilakukan oleh orang-orang tertentu yang tidak sebulu dengan PAS Kawasan sepatutnya tidak berlaku. Kebijaksanaan menyiasat dan mengambil maklumat tepat sepatutnya dilakukan oleh PAS kawasan tetapi bukannya secara mudah menuduh rakan-rakan PAS sendiri mencipta isu supaya ia membias natijah buruk kepada Ahli Majlis.

(c ) Karoeke dan Judi

Karoeke dan judi tidak berjaya di kawal di Kubang Pasu. Ia telah menjadi buah mulut masyarakat, khususnya orang Melayu dalam daerah ini. Sejak kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Kedah lebih banyak pusat hiburan karoeke dan judi di buka samada secara haram ataupun berlesen berbanding dengan zaman UMNO/BN memerintah.

Ketidakpekaan Ahli Majlis dalam hal berkaitan menyebabkan ahli-ahli dan rakyat tertanya-tanya, adakah kerajaan yang dipimpin oleh PAS ini lebih buruk dari UMNO/BN. Ataupun, Ahli Majlis tiadk tahu menggunakan kuasa yang mereka miliki untuk membawa kebaikan kepada rakyat dan masyarakat Kubang Pasu.

(d) Meroboh Gerai Peniaga

Isu MDKP Meroboh gerai peniaga juga telah memberi implikasi yang negative terhadap PAS dan Kerajaan Pakatan Rakyat. Apakah alasan rasional di sudut politik dan juga ekonomi yang telah di ambil kira oleh Ahli Majlis yang menyokong keputusan meroboh gerai-gerai peniaga Bumiputera dalam daerah ini.

Hal ini perlu di jawab oleh PAS Kubang Pasu.

Kesimpulan

Diharapkan kepimpinan PAS Kubang Pasu dapat menjelaskan perkara ini kepada seluruh ahli-ahli PAS dalam Mesyuarat Agong Tahunan yang akan berlangsung nanti. Semoaga penjelasan ini dapat membangkitkan kembali semangat dan keyakinan ahli-ahli PAS terhadap kewibawaan dan kesungguhan PAS mendokung slogan “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.

Terima kasih.

No comments: