Friday, October 3, 2008

"JANGAN SUDAH PANJAT, BUANG TANGGA"

MALAU - Program 'Tautan Kasih, Eratkan Perpaduan' bermula pada hari ini oleh para Sukarelawan PAS Kubang Pasu dengan mengunjungi seorang ahli veteran PAS di Cawangan Malau, sebelum ini PAS Cawangan Padang Panjang, Mukim Malau.

Tepat jam 12.00 tengahari para Sukarelawan PAS yang terdiri Tuan Hj. Taib Abdul Rahman, Kaman Jaapar, Muslim Daud, Saadon Hashim, Azizan Abd Wahab, Basir Hj. ismail serta ahli-ahli PAS dalam cawangan Malau dan Kg. Bukit Wang telah turun ke padang berjumpa dengan ahli veteran PAS iaitu Tuan Hj. Mahmud Saad @ Imbram atau panggilan teman-teman seperjuangan Pak Mud.

Tuan Hj. Mahmud Saad @ Imbram, kini telah menjangkau usia 86 tahun, tidak lagi sekuat zaman mudanya yang merupakan seorang aktivis PAS dalam kawasan Kubang Pasu sejak era 60an lagi.

Kunjungan para Sukarelawan PAS ke rumahnya di sambut dengan penuh mesra dan gembira sekali, apatah lagi di saat ini beliau telah hilang keupayaan (lumpuh sebelah badan) akibat serangan angin ahmar sejak 6 tahun lalu.

Alhamdulillah dan terima kasih pada anta dan anak-anak semua yang sudi menziarahi pak cik, walaupun pak cik bukan dari kalangan orang ternama ataupun kaya, kata-kata pertama yang keluar dari mulutnya setelah kami semua duduk di depannya.

Apabila di minta bercerita tentang pengalaman lampau berjuang di dalam Jamaah Islam melalui wadah PAS ini, beliau dengan penuh bersemangat cuba menerangkan kepada kami semua tentang liku-liku yang terpaksa di tempuh ketika itu.

Menurut Pak Mud, dulu nak ajak orang jadi ahli PAS amat susah kerana Parti Perikatan (UMNO/BN Sekarang) mereka menggunakan pelbagai cara termasuk kuasa, duit dan undang-undang untuk menakut-nakutkan orang ramai supaya jangan menyertai PAS".

Walau bagaimanapun, saya dan beberapa sahabat lain iaitu Tok Nayan dan Hj. Don dapat juga menubuhkan ranting (Cawangan) PAS di Kg. Padang Panjang dalam Mukim Malau dengan menubuhkan Jawatankuasa Penaja" ujarnya.

Beliau menambah, "Peliknya, ketika itu di Mukim Malau belum ada bekalan elektrik termasuk Kg. Padang Panjang, tetapi setelah kami tubuh ranting PAS Kg. Padang Panjang, Kerajaan Perikatan cuba mengalihkan sokongan penduduk kepada PAS dengan menyalurkan bekalan elektrik ke kampung kami. Inilah hikmah yang tersirat yang perlu kita yakini bahawa perjuangan Islam itu akan mendapat pertolongan dari Allah SWT secara langsung atau tidak langsung".

Menarik perahtian kami semua apabila Pak Mud cuba mengingatkan kepada kami sebagai generasi baru PAS di mana jua peringkat bahawa "Jangan sudah panjat, kita buang tangga pula".

Inilah perkara yang diperhatikan olehnya kepada generasi baru PAS, khususnya yang telah diamanahkan memegang jawatan dalam Jamaah, di mana seolah-olah melupakan ahli-ahli PAS yang dulu (veteran) kerana merasakan kami adalah golongan kolot', katanya dengan sinis.

Beberapa contoh yang disebut olehnya ialah tanggungjawab mengunjungi atau menziarahi ahli-ahli PAS yang telah meninggal dunia ataupun yang terlantar sakit. Boleh dikatakan pemimpin yang ada sekarang tidak mementingkan soal mengutamakan kerja ziarah ahli-ahli yang telah meninggal dunia.

Mengunjungi atau menyembahyangkan jenazah adalah Fardhu Khifayah, ia penting sebagai tanda kita bersatu hati serta dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan kaum keluarga ahli yang meninggal tersebut terutama anak-anak mereka yang akan mewarisi perjuangan Islam masa depan, katanya dengan tegas.

Pak Mud mengingatkan bahawa seluruh ahli-ahli dalam PAS adalah anggota perjuangan Islam yang menjadi mata rantai kepada perjuangan para anbiya, Nabi-Nabi dan rasul-rasul yang diamanahkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan perintahNya seperti yang terkandung di dalam Kitab Suci Al-Quran, Sunnah Rasul dan Ijma dan Qias.

Oleh itu, soal prinsip dan matlamat perjuangan mestilah dipetahankan, walau dengan apa cara sekalipun tanpa meletakkan kepentingan peribadi lebih dari Agama Islam, tambahnay lagi.

1 comment:

Anonymous said...

salam buat penulis..
saya rasa penulis harus membuat penyelidikan latarbelakang dan sejarah vateran PAS sebelum melulis..siapa HJ.DON?..kemana HJ.LATEH? seorang vateran PAS..bagi saya HJ.DON dahulunya seorang AHLI UMNO..dan baru dalam PAS...harap dapat selidik dengan lebih mendalam sebelum menulis dalam blog.