Friday, September 26, 2008

PAS KG. BELUKAR ANJUR MAJLIS BERBUKA PUASA DAN TERIMA KEMASUKAN 152 AHLI KELAB PENYOKONG PAS

CHANGLON - Majlis berbuka puasa PAS Kg Belukar berjalan dengan meriah dengan jumlah kehadiran seramai 250 orang. Majlis berbuka puasa tersebut turut dihadiri pimpinan PAS Negeri Kedah iaitu YB. Hj. Amiruddin Hamzah selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB. Mohd Nasir Mustaffa, Adun Kubang Rotan merangkap Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kedah serta saf kepimpinan PAS Kubang Pasu.

Di majlis tersebut yang disertai oleh masyarakat berketurunan India turut menyerahkan borang menjadi ahli Kelab Penyokong PAS kepada Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kedah, YB. Mohd Nasir Mustaffa. Seramai 152 orang masyarakat berketurunan India telah menyertai ahli Kelab Penyokong PAS Kubang Pasu.

Majlis bermula jam 6 petang dengan ucapan oleh YB Hj. Amiruddin Hamzah, diikuti ucapan oleh wakil Kelab Penyokong PAS keturuanan India, di samping ucapan oleh Ketua Kelab Penyokong PAS Kubang Pasu. Majlis diakhiri dengan ucapan YB Mohd Nasir Mustaffa serta penyampaian sumbangan sempena Hari Raya Aidil Fitri kepada ibu tunggal dari kalangan ahli Kelab Penyokong PAS.

Mengulas program yang diadakan, Che Halim Ismail, Ketua Penerangan PAS Kubang Pasu berkata, program ini adalah anjuran bersama PAS Kg Belukar kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah, ekoran dari pertemuan yang diadakan kira-kira 2 bulan lalu oleh pihaknya dengan wakil kaum India berhubung usaha untuk mewujudkan Kelab Penyokong PAS berketurunan India di zon Changlon.

Che Halim menambah, ‘seramai 152 orang telah menyerahkan borang sebagai ahli Kelab Penyokong PAS yang kesemuanya berketurunan India, di mana mereka ini telah bekerja bersama PAS pada PRU 12 lalu bagi menjatuhkan kerajaan UMNO/BN khususnya di Kubang Pasu”.

“Kesediaan mereka menyertai Kelab Penyokong PAS dengan rela hati adalah tanda mereka yakin dan percaya kepada perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS, sekaligus menafikan dakwaan bahawa Islam yang di bawa oleh PAS adalah perjuangan sempit hanya untuk golongan Islam semata-mata dan membenci golongan bukan Islam, ujarnya lagi.

Sehubungan itu, “PAS Kubang Pasu melalui Lajnah Penerangan dan Dakwah akan meningkatkan lagi gerak kerja penerangan kepada golongan bukan Islam, khususnya ahli-ahli Kelab Penyokong PAS yang menyentuh isu-isu berkaitan dasar kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Kedah Darul Aman serta dasar-dasar perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS”.

Pihaknya sedang berusaha mengundang Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pahang berketuruan India untuk menyampaikan pidato kepada ahli-ahli Kelab Penyokong PAS di Kubang Pasu, khususnya yang berketurunan India selewat-lewat Disember depan” tambahnya lagi.

No comments: