Sunday, September 28, 2008

PEKERJA RENDAH AWAM SAMBILAN MDKP TUBUH BADAN BERTINDAK

BANDAR DARULAMAN - Golongan Pekerja Rendah Awam Sambilan, Majlis Daerah Kubang Pasu yang berjumlah 139 orang telah bertindak menubuhkan sebuah Badan Bertindak Menjaga Kebajikan Pekerja-Pekerja Rendah Awam Sambilan Peringkat Kubang Pasu dalam satu perjumpaan yang diadakan malam tadi di ibu pejabat PEMBELA di Bandar Darulaman.

Majlis tersebut telah dihadiri lebih 70 orang pekerja-pekerja berkenaan, di samping Presiden PEMBELA, Mohd Jamal Nasir, Setiausaha Agung PEMBELA, Basir Hj. Ismail dan 8 orang Ahli Majlis Eksekutif PEMBELA serta wakil Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu iaitu Ustaz Yusof Hj. Ahmad merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Pasu.

Perjumpaan tersebut diadakan bertujuan untuk meminta pihak kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dapat campur tangan dalam hal pengagihan imbuhan atau bonus tahunan yang dibayar oleh Majlis Daerah Kubang Pasu kepada golongan Pekerja Rendah Awam sambilan sempena Hari Raya Aidil Fitri yang dianggap tidak munasabah, tidak telus serta mendikriminasi golongan ini.

Menurut Ketua Badan Bertindak Menjaga Kebajikan Pekerja Awam Sambilan Peringkat Daerah Kubang Pasu, saudara Zakaria Omar yang telah berkhidmat selama 6 tahun dengan pihak Majlis Daerah Kubang Pasu bahawa, pihak pentadbiran Majlis Daerah Kubang Pasu seolah-olah menganak-tirikan serta mendikriminasi kami yang menjadi pekerja rendah awam sambilan sejak dulu lagi”.

“Kami dinafikan hak untuk bersuara samada untuk memberi pandangan ataupun mempersoalkan apa-apa perkara yang difikirkan wajar serta mendapatkan penjelasan berkaitan kami kepada pihak pentadbiran, sehingga kami rasa berada dalam keadaan "di telan mati emak, di luah mati bapak” ujarnya lagi.

“Sebaliknya golongan pekerja kontrak ataupun tetap di Majlis Daerah Kubang Pasu, mereka kelihatan mendapat layanan yang lebih baik dalam banyak hal berbanding kami”, keluhnya.

Zakaria menambah lagi, "kewujudan Badan Bertindak Menjaga Kebajikan Pekerja Awam Sambilan Peringkat Daerah Kubang Pasu menjadi titik tolak sebagai tapak dan ruang kepada golongan pekerja seperti kami meluahkan perasaan, di samping memberi pandangan berhubung hal-hal berkaitan pekerjaan, kebajikan kepada Majlis Daerah Kubang Pasu dengan lebih sistematik dan bersatu hati".

Oleh itu, keutamaan Badan Bertindak pada masa sekarang ialah mahu menyerahkan satu memorandum berhubung isu pembayaran imbuhan atau bonus yang telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kubang Pasu kepada kami pada 26 September lalu, katanya.

“Para Pekerja Rendah Awam Sambilan ingin menuntut supaya cara dan mekanisme pembayaran imbuhan tersebut dikaji semula serta diberi penjelasan secara bertulis dan boleh difahami oleh pekerja, tegasnya.

Di samping, kami ingin menuntut supaya pembayaran imbuhan tahun 2008 yang telah dikeluarkan kepada golongan perkerja dapat di selaraskan dengan kaedah pembayaran imbuhan atau bonus seperti yang dinikmati oleh pekerja kontrak dan tetap. Ia merujuk kepada jumlah pembaran imbuhan kepada pekerja kontrak dan tetap adalah dilakukan secara sekaligus, sebaliknya kepada kami di buat dua kali iaitu pada bulan September dan Disember depan” tegasnya.

Memorandum ini akan diserah oleh wakil perkerja kerjasama PEMBELA kepada Exco Kerajaan Negeri Kedah dan salinan kepada pihak-pihak yang berkaitan dalam masa yang terdekat.

No comments: