Friday, September 26, 2008

TAHNIAH ! BAYARAN LETAK KERETA BERKUPON PEKAN JITRA DAN BANDAR DARULAMAN DIMANSUHKAN

KUBANG PASU – Mesyuarat Penuh Majlis Daerah Kubang Pasu yang bersidang pada 24 September kelmarin, jam 10.00 pagi, bertempat di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Kubang Pasu telah membuat keputusan membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon di Pekan Jitra dan Bandar Darulaman berkuatkuasa serta-merta setelah mendapat bantahan dari pelbagai pihak.

Maklumat kepada blog – harapankubangpasu.blogspot.com oleh beberapa orang Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu dan Ex-Officeo yang hadir di dalam mesyuarat tersebut bahawa keputusan membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon yang telah dilaksanakan sejak 15 September lalu adalah hasil dari undian yang dijalankan.

Di mana keputusan undian memihak kepada kehendak rakyat dan aktivitis parti dengan mendapat majoriti tipis iaitu kelebihan 2 undi sahaja, berbandimg jumlah Ahli Majlis seramai 15 orang mewakili PAS dan PKR.

Kemenangan 2 undi tersebut adalah dari 6 undian oleh Ahli Majlis dan 1 undian telah diberikan oleh Yang DiPertua Majlis, Datin Barni Mohd Noor yang berjumlah 7 undian kesemuanya, berbanding 9 undian lagi Ahli Majlis mahukan supaya perlaksanaan bayaran letak kereta diadakan pada masa depan atau sekarang.

Di mana, keputusan 9 undian Ahli Majlis adalah seperti berikut iaitu 5 undi memilih untuk menangguhkan perlaksaan bayaran letak kereta berkupon sehingga Januari tahun depan, 3 undi bersetuju melaksanakan bayaran letak kereta berkupon serta-merta dan 1 undi rosak.

Berdasarkan keputusan tersebut, jelas kelihatan Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu yang dilantik oleh parti PAS dan PKR tidak mempunyai pendapat yang sama, khususnya
dalam membuat keputusan yang melibatkan dasar dan kepentingan rakyat seperti isu bayaran letak kereta berkupon ini.

Ia juga memberi gambaran bahawa sebahagian Ahli Majlis yang dilantik oleh PAS dan PKR tidak memahami hasrat dan aspirasi rakyat yang menolak UMNO/BN, sebaliknya memilih kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah Darul Aman yang melaungkan slogan “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua” dalam PRU 12 lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu, Mohd Jamal Nasir memberi reaksi terhadap isu pembatalan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon, bahawa, “keputusan pembatalan bayaran letak kereta berkupon oleh Majlis Daerah Kubang Pasu, bolehlah dianggap sebagai hadiah Hari Raya Aidil Fitri kepada rakyat dan pengguna kereta yang berkunjung ke Pekan Jitra dan Bandar Darulaman dan ia memperlihatkan kematangan Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu menggunakan kuasa yang mereka miliki”.

Mohd Jamal menambah, sejak awal lagi beliau tidak bersetuju dengan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon oleh Majlis Daerah Kubang Pasu kerana ia menambahkan bebanan rakyat kerana kenaikan kos sara hidup ekoran kenaikan harga bahan api iaitu petrol dan diesel sejak Julai lalu.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada 6 orang Ahli Majlis yang telah berani mengambil keputusan membatalkan perlaksanaan bayar letak kereta berkupon tersebut, walaupun ia merupakan tindakan yang mungkin dianggap merugikan pihak Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Daerah Kubang Pasu”, ujarnya lagi.

No comments: