Tuesday, November 11, 2008

ANALISA - SEBAB PENGUATKUASAAN BAYARAN LETAK KERETA BERKUPON

Penguatkuasan bayaran letak kereta berkupon telah menjadi isu kontroversi dalaman PAS kerana ia berpunca dari sikap beberapa Ahli Majlis PAS + PKR yang telah memberi sokongan (undi) supaya ia dilaksanakan.

Sokongan oleh beberapa Ahli Majlis terhadap perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon ini hanyalah berpandukan kepada suatu kertas kerja No.1 MDKP (PH) 107/2-2 yang menjelaskan secara ringkas tujuan, perlaksanaan, masalah dan cadangan tanpa disertakan sebarang penilaian ataupun kajian secara sistematik oleh mana-mana pihak berotoriti untuk menyokong kertas kerja berkenaan.

Sebelum ini, AJK PAS kawasan Kubang Pasu dan ahli-ahli PAS telah dimaklumkan bahawa penguatkusaan bayaran letak kereta berkupon ini perlu dilkasanakan kerana:

Pertama : Perintah ini telah diwartakan pada 20 Disember 2007 iaitu di zaman rejim UMNO/BN yang memerintah kerajaan Kedah Darul Aman.

Kedua : Ia menjadi sumber pendapatan (kewangan) Majlis Daerah Kubang Pasu yang mengalami akaun defisit.

Ketiga : Perlaksanaannya untuk menyelesaikan beberapa isu seperti penggunaan letak kereta tidak mencukupi, penyalahgunaan tempat-tempat letak kereta, vandalisme dan pertambahan bilangan kereta yang banyak.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan di atas yang menyebabkan beberapa orang Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu begitu terasa ke lubuk hati, sehingga sanggup menjadi pengkhianat kepada Jamaah PAS dengan membelakangkan keputusan Mesyuarat AJK PAS Kubang Pasu yang mahu supaya perlaksaan bayaran letak kereta ini dibatalkan.

Berikut adalah butir-butir kerta kerja yang menjadi ‘dalil aqli’ ketiga-tiga Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu tidak mahu membatalkan perlaksanaan bayaran letak kereta berkupon tersebut.

2.0 Tujuan.

Tujuan perintah ini digubal ialah untuk mengatasi masalah-masalah berkaitan kesesakan lalulintas di jalan-jalan perbandaran Daerah Kubang Pasu. Antara sebab yang dikenalpasti menjadi punca kepada masalah ini ialah :-

Penggunaan tempat letak kereta yang tidak sistematik

Kereta didapati diletakkan sesuak hati secara tidak tersusun dan menjadi halangan kepada kenderaan lain terutama bas dan kenderaan besar lain.

Ulasan :

Punca kepada kesesakan lalulintas yang dimaksudkan di atas bukanlan berpunca dari pengguna kenderaan yang tidak perlu membayar tiket, kupon atau resit parking seperti yang dimaksudkan.

Sebenarnya, tanpa perlu kepada pengutakuasaan bayaran letak kereta berkupon pun, mana-mana kenderaan yang meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan boleh dikena kompaun oleh pihak POLIS. Oleh itu, dengan adanya bayaran letak kereta berkupon sebagai suatu cara mengatasi pengguna kereta letak kereta di tempat yang salah adalah tidak tepat dan alasan tidak kukuh.

Penyalahgunaan Tempat-Tempat Letak Kereta

Tempat letak kereta digunakan sebagai tempat pameran dan perniagaan seperti pameran kereta dan motorsikal. Ada juga peniaga yang menghalang penggunaan tempat letak kereta dengan meletakkan kerusi dan lain-lain barang., di samping digunakan bagi maksud perniagaan terutama kedai membaiki kereta dan alat hawa dingin kereta.

Tempat letak kereta juga digunakan sebagai tapak penjajaan di mana aktiviti ini menyumbang kepada masalah kekotoran.

Pertambahan kereta yang begitu banyak manakala jumlah petak-petak letak kereta adalah terhad.

Ulasan :

Tinjaun yang di buat sebenarnya, contoh yang diberikan di atas adalah tidak tepat dan lebih kepada sentimen untuk mempengaruhi psikologi Ahli Majlis sahaja. Ada jaminankah jika bayaran kupon dikenakan perkara di atas tidak akan berlaku. Contohnya, Restoren Nashmir, PJ2 yang menyusun kerusi atas kotak letak kereta adalah kerana pentadbiran dulu yang ‘meluluskan’ dengan mendapat imbuhan. Begitu juga, peniaga kereta di Bandar Darulaman Jaya memasang khemah sebagai tempat pameran kerena ia telah mendapat kebenaran dari orang dalam MDKP.

Jika peniaga kecil yang menumpang mencari rezeki di bahu-bahu jalan di waktu petang dan malam di sekitar Pekan Jitra dan lain-lain menjadi punca kepada kesesakan lalulintas, bagaimana pula ‘ projek bazaar ramadhan’ oleh Badan Kebajikan MDKP yang diadakan setiap tahun yang jelas menggunakan tapak letak kereta pengguna sehingga pengguna terpaksa meletakkan kenderaan di jalan-jalan utama. Pada hal, makklumat yang kita perolehi pihak POLIS sendiri tidak bersetuju bazaar ramnadhan diadakan di tempat-tempat tertentu, tetapi Ahli Majlis dan Majlis Daerah Kubang Pasu tidakpun membuat sebarang tindakan. Lebih mendukacitakan ialah, tersibar cerita bahawa orang dalam Majlis Daerah Kubang Pasu mengaut keuntungan berpuluh ribu setiap kali projek bazaar ramadhan diadakan. Adalah perkara ini boleh dikecualikan kerana ia projek MDKP.

Petak Letak Kereta Tidak mencukupi

Didapati tempat letak kereta tidak mencukupi di Bandar Darulaman Jaya kerana wujudnya pertambahan kakitangan dan penuntut di Kolej Komuniti.

Ulasan :

Kelulusan untuk kegunaan premis di Bandar Darulaman Jaya di bawah kuasa siapa ? Adakah pengelola Kolej Komuniti boleh mengwujudkan lesen sendiri ataupun tidak perlu mendapatkan sebarang kelulusan dari PBT Kubang Pasu. Alasan ini jelas tidak munasabah, seolah-olah PBT Kubang Pasu membaling batu, sembunyikan tangan.

Apakah dengan adanya bayaran letak kereta berkupon ini, para penuntut yang menggunakan motorsikal terpaksa meletakkan motorsikal mereka di sebuah padang atau tinggal di tempat-tempat lain. Oleh itu, punca kesesakan adalah berpunca dari kelemahan dalam PBT Kubang Pasu sendiri dan Ahli Majlis mesti pro aktif memberi cadangan baru yang lebih mesra rakyat.

Vandalisma

Iron Grating/besi penutup parit di tepi jalan masuk ke tapak letak kereta di Kompleks SIM seringkali hilang dan menghalang kenderaan masuk ke kawasan letak kereta.

Ulasan :

Adakah dengan terlaksananya bayaran letak kereta berkupon, besi penutup parit tidak akan hilang. Sebenarnya isu ini tidak ada kaitan langsung dengan tujuan melaksana bayaran letak kereta berkupon. Banyak lagi cara untuk mengatasi kehilangan besi penutup parit tersebut. Soalnya, Ahli Majlis dan MDKP tidak mahu berfikir, itu saja.

Pertambahan Kereta Yang Banyak

Ulasan :

Mengapa isu ini dijadikan alasan untuk menguatkuasa bayaran letak kereta berkupon. Umum telah mengetahui bahawa puncanya adalah kerana kelemahan dalam bahagian ‘town planning’ ketika meluluskan premis-premis di sekitar Jitra dan Darulaman Jaya. Mengapa pengguna kereta dikenakan hukuman akibat dari kelemahan pihak pentadbiran PBT Kubang Pasu masa lalu.
Kesimpulan

Apapun hujah dan ulasan yang mungkin dikemukakan, ia tidak boleh mengubah persepsi rakyat, pengguna jalanraya, ahli-ahli PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bahawa Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu yang mewakili PAS dan PKR adalah kalangan orang yang tidak tahu menggunakan kuasa yang ada di tangan. Lebih mendukacitakan lagi, rakyat umum menilai kerajaan Pakatan Rakyat lebih zalim, lebih buruk dalam mengubal dasar-dasar serta penguatkuasaan undang-undang yang menekan rakyat terutama orang-orang Melayu dalam daerah Kubang Pasu.

Natijahnya ialah kerana nila setitik, susu sebelangga menjadi biru. Kerana tiga orang Ahli Majlis menjadi pengkhianat kepada Jamaah PAS, PAS di lihat sebagai kerajaan yang buruk dan lebih buruk dari UMNO/BN masa lalu.

Oleh itu, ketiga-tiga Ahli Majlis akan dituntut di akhirat kelak oleh ahli-ahli PAS kerana telah menjadi pengkhianat kepada Jamaah ini.

No comments: