Thursday, November 27, 2008

TAMRIN QUBRA - MENINGKATKAN DAYA JUANG AHLI DAN AKTIVIS PAS


Jawatankuasa Memperkasa PAS Kubang Pasu (PERKASA) akan menganjurkan program Tamrin Qubra pada bulan Disember depan.

Menurut jurucakap PERKASA, Hj. Taib Abdul Rahman bahawa, pihaknya akan menganjurkan program Tamrin Qubra Siri-1 pada 25 Disember depan yang melibatkan seluruh ahli dan aktivis PAS dalam kawasan Kubang Pasu.

Tamrin Qubra diadakan lanjutan daripada siri-siri Usrah Qubra yang telah diadakan sejak pertengahan tahun ini yang kini memasuki siri ke – 21. Di mana, ia turut dihadiri oleh ahli-ahli dan aktivis PAS dalam kawasan Kubang Pasu.

Memetik laporan tabloid Harakah awal bulan November, Timbalan Presiden PAS merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Organisasi PAS Pusat, YB. Ustaz Nasaruddin Mat Isa mengatakan bahawa hampir satu dekad (10 tahun) PAS sudah meninggalkan ataupun kurang memberi perhatian kepada program tarbiyyah.

Beliau juga mengatakan bahawa maklumat yang diperolehi terdapat kawasan-kawasan yang tidak ada langsung usrah samada di peringkat AJK PAS Kawasan maupun di peringkat cawangan. Ucapannya disampaikan ketika membentangkan kertas kerja di Konvensyen Tarbiyyah PAS Pahang dekat Jerantut baru-baru ini.

Hj. Taib berkata, “ Tamrin adalah merupakan proses taribyyah yang sangat penting dalam PAS. Ini kerana, ahli-ahli yang mengikuti program tarbiyyah PAS sahaja yang akan dapat memahami serta berdaya tahan dalam mengharungi perjuangan Islam melalui wadah PAS, sekaligus memiliki daya juang yang ikhlas”.

“Pelbagai kecelaruan yang timbul dalam Jemaah PAS sejak akhir-akhir ini, adalah berpunca dari sikap ahli-ahli dan aktivis PAS yang tidak pedulikan tentang tarbiyyah, khususnya tarbiyyah mengikut acuan PAS. Hanya tarbiiyah PAS sahaja yang dapat menyatukan fikrah dan amal dalam Jemaah ini”, katanya lagi.

Beliau menambah, "Di era 80an dulu, tarbiyyah menjadi agenda yang diberi penekanan oleh kepimpinan PAS di semua peringkat. Ikatan ukhwah Islamiyyah sesama ahli PAS di mana jua peringkat amat hebat sehingga menakutkan UMNO/BN ketika itu, walaupun PAS tidak menjadi kerajaan (memerintah)".

"PAS adalah Jemaah Islam maka tarbiyyah seperti usrah, tamrin, qiamuallail, liqa al-fikr', muqayyam semestinya dimasukkan di dalam kalender PAS semua peringkat untuk dilaksanakan sepanjang masa, bukannya bermusim. Jangan tunggu sehingga ahli-ahli PAS menjadi lemah ataupun ikatan ukhwah terputus baru nak buat usrah, tamrin dan sebagainya" katanya lagi.

Sehubungan itu, ahli-ahli dan aktivis PAS disarankan mengikuti program Tamrin Qubra yang akan diadakan tersebut. Pihaknya sedang menguruskan pimpinan tarbiyyah PAS di peringkat pusat dan negeri untuk hadir bagi mengisi program Tamrin Qubra, di samping akan turut mengundang Ketua Urusan Ulama PAS Kubang Pasu, Ustaz Mustaffa Abdullah di program tersebut.

Keterangan lanjut, bolehlah hubunginya (019-464 8929) atau Asri Baharom (012-544 5084).

No comments: