Tuesday, November 25, 2008

ISU PENJUALAN ARAK DI MBSA DAN KUBANG PASU

Penulis mendapat tahu bahawa Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diwakili majoriti oleh wakil PAS telah mengambil pendirian tegas dalam isu penjualan arak secara terbuka di Bandaraya Shah Alam. Di mana, menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pertama di Selangor yang berada di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang akan membataskan jualan minuman keras berkuatkuasa Januari depan.

Tahniah dan syabas penulis serta rakan-rakan yang sememangnya mengharapkan seluruh Ahli Majlis PBT di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, bukan sahaja di negeri Selangor, bahkan di Kedah dan Perak bertindak tegas dalam hal ini.

Keputuasan untuk membataskan jualan minuman keras ini telah diluluskan dalam mesyuarat MBSA hujung bulan lepas.

Walaupun langkah ini dianggap sebagai kejayaan pertama yang kecil khususnya kepada PAS Selangor yang juga komponen parti Pakatan Rakyat, tetapi ia sekurang-kurangnya telah memulakan langkah menunaikan janji serta memperlihatkan komitmen untuk menerapkan peraturan-peraturan yang selari dengan tuntutan syarak. Sekaligus Ahli Majlis di MBSA telah menunjukkan kebijakan mereka di dalam menguruskan ‘kuasa’ untuk menuju kepada undang-undang yang diredhai oleh Allah SWT.

Walaupun hasrat Ahli Majlis (PAS) seolah-olah bertentangan dengan keputusan mesyuarat exco kerajaan Selangor yang telah menolak cadangan tersebut yang dikemukakan oleh pihak PAS.

Menurut sumber yang sahih bahawa pengeluaran lesen bagi tiga premis iaitu kedai runcit, restoran dan kedai serbaguna 24 jam akan disemak semula. Para peniaga berkenaan perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA, jika mahu menjual arak di premis masing-masing.

AHLI MAJLIS MDKP DISARAN CONTOHI MBSA

Sehubungan itu, penulis ingin menyarankan Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu dan PBT lain di Kedah mencontohi Ahli Majlis MBSA dalam usaha membenteras isu arak. Kini, rakyat termasuk ahli-ahli PAS sudah mula bercakap merata-rata bahawa tiada perubahan yang positif dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah berkaitan undang-undang ataupun kawalan penjualan arak di negeri ini.

Agenda membenteras isu arak lebih utama dari isu babi seperti yang digembar-gembur baru-baru ini. Ini kerana, sukar ataupun hamper tiada orang Melayu (Islam) yang makan daging babi. Tetapi, arak sudah menjadi kebiasaan kepada sebilangan orang Melayu kerana ia sudah menjadi budaya ekoran dari sikap pemerintah masa lalu yang tidak mengindahkan kesan buruk akibat meminum arak kepada orang Islam.
Sesungguhnya agenda membenteras penjualan arak adalah selari dengan penegasan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, YB Datuk Mohamed Daud Iraqi yang menyatakan iltizam dewan itu untuk membenteras penjualan arak secara terbuka di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata isu arak dan judi perlu diberi perhatian khususnya di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor selain Kelantan yang sememangnya serius menanggani isu ini.

“Kita perlu kawal penjualan arak dengan menghadkan permit-permit penjualan hanya kepada orang bukan Islam sahaja,” saranan tersebut disampaikan ketika majlis perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat di Ipoh pertengahan tahun ini.

Oleh itu, garis panduan khusus harus dikeluarkan terutamanya yang berkaitan dengan pembukaan premis-premis penjualan arak di kawasan penduduknya yang terdiri daripada masyarakat bukan Islam. Di Kelantan penjualan arak hanya dibenarkan kepada masyarakat bukan Islam tanpa berkompromi kepada penganut agama Islam kerana ia berkaitan soal hukum agama bahawa arak adalah haram, katanya lagi.

Di samping arak, isu judi juga mestilah diberi perhatian serius. Ini kerana di Kelantan secara terang mengharamkan amalan judi di negeri itu walaupun kepada masyarakat bukan Islam kerana amalan judi sememangnya tidak dibenarkan bagi semua penganut-penganut agama lain.

Ketua Dewan Ulama juga menegaskan bahawa, pandangan dan saranan golongan ulama harus dimanfaatkan sepenuhnya terutamanya yang berkaitan dengan isu agama Islam. Pendapat ulama tidak harus diketepikan dalam arus pentadbiran kerajaan.

Persoalannya ialah adakah Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu bersedia untuk memastikan penjualan arak di dalam Daerah Kubang Pasu dapat dikawal hanya untuk bukan Islam sahaja. Ahli PBT jangan hanya menjadi hero untuk meluluskan bayaran letak kereta berkupon semata-mata yang jelas ditolak oleh PAS Kawasan, ahli-ahli dan rakyat. Sebaliknya, mereka harus pro aktif dalam memperjuangkan dasar-dasar Islam kerana PAS adalah Jamaah Islam. Kerana PAS membawa cita-cita Islamlah, parti PAS di sokong oleh rakyat.

Kegagalan Ahli Majlis Kubang Pasu menunaikan tanggungjawab di atas bidang kuasa yang diamanahkan kepada mereka akan memburukkan imej PAS itu sendiri. Sekiranya Ahli Majlis tidak tahu tentang bagaimana untuk menggunakan kuasa yang berada di tangan mereka, eloklah mereka pergi belajar dengan kerajaan Kelantan ataupun Ahli Majlis MBSA, berbanding hasrat untuk melawat sambil belajar ke Sarawak.

Ingatlah bahawa, “PBT adalah kerajaan ke 3 dan Ahli Majlis berkuasa tentukan halatuju MDKP”, pertikan kata-kata dari sms YB Dato’ Mohd Taulan Mat Rasul, Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah Darul Aman.

No comments: