Tuesday, December 16, 2008

BERSANGKA BAIK KEPADA PEMIMPIN


AHLI PAS KEDAH WAJAR BERSABAR

Tahun 2008 akan menutup tirai tidak beberapa hari lagi. Ertinya umur kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, Pulalu Pinang, Perak dan Selangor sudah mencecah 9 bulan. Kalau wanita yang mengandung, sudah hampir melahirkan anak. Nikmat berumahtangga sudah dirasai oleh pasangan tersebut. Kemuncak perkongsian kehidupan itu akan bermula apabila menunggu kelahiran anak yang pertama. Di saat penantian tersebut, mengundang pelbagai perasaan. Gembira ada, takutpun ada. Apupun yang dipohon kepada Yang Maha Esa ialah supaya ia berjalan dengan sempurna dan melahirkan zuriat yang sempurna.

Berbalik kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat mengundi parti-parti yang terlibat (PAS + PKR + DAP), dalam tempoh yang dilalui pelbagai peristiwa pahit - manis, suka – duka dan pro – kontra telah mewarnai sistem pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Dari pengamatan secara rambang, Kedah menjadi negeri Pakatan Rakyat yang banyak diberi tumpuan dan perhatian oleh ahli-ahli PAS. Kerana apa ?

Jawapannya ialah Kedah diterajui oleh seorang Menteri Besar yang berkedudukan sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah. Lebih mudah difahami bahawa Kedah diterajui oleh PAS dengan kerjasama PKR. Segala bentuk, corak dan warna dalam sistem pentadbiran, pengurusan ataupun pemerintahan negeri Kedah ia akan mencerminkan PAS.

Apa sangat yang menarik memperkatakan tentang pemerintahan oleh PAS ini. Jawapannya juga mudah… Iaitu PAS adalah sebuah Jemaah Islam yang mendasarkan cita-cita menegakkan sebuah pemerintahan Islam yang didalamnya berjalan hukum-hukum Islam. Kerana cita-cita Islam inilah, ahli-ahli PAS sentiasa melihat, memantau dan juga ikhlas menegur, mencadang ataupun mengkritik kerajaan Kedah yang dipimpin oleh YAB Dato Seri Ustaz Hj Azizan Abdul Razak.

Di antara kelompok ataupun golongan yang sering menegur, mengkritik ataupun vokal terhadap kepimpinan Ustaz Azizan ialah Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat, PAS Kawasan, ahli-ahli dan aktivis PAS, tidak keterlaluan jika dikatakan dari seluruh negara.

Mengapa mereka begitu….itupun mudah dijawab.

Pertama, kerana mereka mahu Kedah menjalankan pemerintahan yang mengamalkan prinsip-prinsip yang bukan sekadar memiliki roh Islam tetapi lebih objektif terhadap perkara berkaitan hukum Islam yang melibatkan kehidupan rakyat dan masyarakat yang pelbagai kaum, ugama dan budaya di negeri ini. Kerana itulah isu judi, arak, karaoke, kelab malam, cyber café, pesta dan hiburan menjadi topik hangat diperkatakan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud Iraqi ketika menyampaikan ucapan di Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat di Ipoh beberapa bulan lalu telah memberi suatu keyakinan kepada ahli-ahli PAS bahawa misi membanteras penjualan arak secara terbuka dan judi menjadi teras utama Dewan Ulama PAS Pusat dalam usaha membendung gejala tidak sihat itu di seluruh negara terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Beliau menegaskan “Kita perlu kawal penjualan arak dengan menghadkan permit-permit penjualan hanya kepada orang bukan Islam sahaja. Garis panduan khusus harus dikeluarkan terutamanya yang berkaitan dengan pembukaan premis-premis penjualan arak di kawasan penduduknya yang terdiri daripada masyarakat bukan Islam,”

Memahami kenyataan Ketua Dewan Ulamak, antara penyebab yang mendorong ahli-ahli PAS di mana jua peringkat mahu kerajaan Kedah menyegerakan penguatkuasa dan kawalan jualan arak (alkohol), maupun judi di negeri ini. Apatah lagi, gejala ketagihan arak dan budaya judi (judisme) yang semakin menjadi-jadi seperti tiadanya sebarang usaha ataupun iltizam pihak kerajaan negeri untuk mengatasi gejala buruk yang haram di sisi Islam ini. Sehingga berlaku penjualan arak di kedai 24 jam (7-Eleven) yang begitu mudah didapati pada bila-bila masa oleh pelajar-pelajar sekolah berketurunan Melayu/Islam dalam negeri ini.

Isu arak menjadi polimek politik dan mainan oleh UMNO/BN, sehingga ahli-ahli PAS rasa terpukul dek kerana sikap kerajaan negeri berhubung perkara ini. Hakikatnya, ahli-ahli PAS yang lebih rapat berdamping dengan rakyat menjadi mangsa mainan politik, sekaligus boleh mengoyahkan tahap sokongan mereka kepada kepimpinan dan kerajaan Pakatan Rakyat. Soal kefahaman tentang hukum arak seperti mana ajaran Islam dikalangan ahli-ahli PAS tidak perlu dipertikaikan lagi.

Oleh itu, persoalan arak, judi, hiburan yang merosakkan akhlak umat Islam di negeri Kedah akan terus diperkatakan oleh ahli-ahli PAS, selagi mana tiada penguatkusaan, kawalan ataupun garispanduan yang boleh menyenangkan hati mereka.

Kedua, Kelantan telah membuktikan bahawa kerajaan PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar telah berjaya menjalankan ‘reformasi dalam pentadbiran Kelantan’ yang selaras dengan kehendak ajaran Islam. Berikut disenaraikan sehagian dari pencapaian kerajaan PAS Kelantan mempertingkat syariat Islam di negeri tersebut.

Pengharaman judi dikuatkuasa pada 1hb. Januari 1992,
Menutup kelab-kelab malam,
Menghapus kegiatan pelacuran,
Menggalakkan dan menguatkuasa etika pakaian Islam (menutup aurat) dan menjadi syarat pengeluaran lesen premis oleh pihak berkuasa tempatan,
Pengawalan kedai gunting - elak wanita bergunting lelaki,
Menyusun penjualan arak mulai 1hb. Julai 1993 semua jenis arak tidak dibenarkan lagi diminum di tempat awam, termasuk hotel-hotel, restoran-restoran ataupun kedai-kedai makan. Orang bukan Islam boleh minum di rumah-rumah kediaman mereka ataupun tempat-tempat yang bukan tempat awam,
Pengasingan Kaunter bayaran untuk lelaki dan wanita di semua pusat membeli belah, Menutup pusat hiburan, permainan snooker dan billiard,
Membanyakkan papan tanda berunsur dakwah, berpandukan ayat al-Quran dan doa, Melarang papan tanda (iklan) yang memperagakan wanita dan yang bercanggah dengan Islam,
Meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993),
Meluluskan Dasar Kebudayaan Negeri berteraskan prinsip Islam 1998,
Meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri.1998 yang mengutamakan nilai-nilai keIslaman
Meluluskan Dasar Pelancongan Negeri 1998 yang berprinsipkan Islam.


Oleh kerana, kerajaan Kelantan dipimpin oleh PAS, maka ahli-ahli PAS Kedah beranggapan bahawa sewajarnya kerajaan Kedah mencontohi apa yang telah dilaksanakan di sana. Bagi ahli-ahli PAS ialah mengambil contoh, metod dan garispanduan yang di buat di Kelantan sudah memadai.

Pandangan itu ada asasnya. Ini kerana, kerajaan Kelantan adalah kerajaan PAS tulen. Dulu pencermah PAS menwar-warkan tentang program-program Islam yang telah berjaya diterapkan di negeri tersebut supaya pengundi ataupun rakyat dapat melihat kesungguhan PAS melaksanakan cita-cita Islam dalam pemerintahan.

Meniru apa yang dilaksanakan oleh Kelantan adalah jalan pintas untuk memudahkan perlaksanaan, kawalan maupun penguatkusaan perkara yang dibangkit. Namun tidak dinafikan sedikit sebanyak ada perbezaan rakyat, masyarakat, pengundi antara Kedah dan Kelantan yang mungkin terpaksa dipertimbangkan dalam perlaksanaan tersebut. Tetapi langkah kea rah tersebut mesti dimulakan dan ketahui oleh ahli-ahli PAS.

Hanya memberi jawapan atau meminta ahli-ahli PAS harus bersabar dan memberi perbandingan tempoh masa pemerintahan antara Kedah dan Kelantan serta canangkan tempoh umur kerajaan Kedah yang baru 100 hari, 6 bulan, 9 bulan, 2 tahun atau sepenggal tidak boleh di terima bulat-bulat. Sebab dalam perkara lain, umpamanya cadangan untuk membeli kereta baru bagi kegunaan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri boleh di buat, walaupun akan dilakukan apabila kedudukan kewangan ataupun ekonomi kerajaan negeri baik.

Jadi, tidak salah jika kerajaan negeri Kedah boleh mengumumkan langkah-langkah berkaitan isu arak, judi, hiburan dan lain-oain yang berkaitan hukum Islam supaya ahli-ahli PAS dapat merasakan ia sedang diusahakan, walaupun terpaksa menunggu 6 bulna, setahun ataupun sepenggal pemerintahannya. Mudahlah ahli-ahli PAS untuk berdepan dan menjawap kepada rakyat bawahan yang pro PAS atau yang mengundi PAS kerana yakin dengan janji-janji mahu mentadbir kerajaan secara Islam.

Ketiga, berkemungkinan juga ahli-ahli PAS tiada maklumat tepat dan terkini tentang apa yang sedang dan akan di buat oleh kerajaan. Setakah paparan melalui Warta Darulaman dan Harakah tidak memadai. Nak harapkan Metro ataupun media arus perdana banyak yang mengelirukan. Kalau adapun liputan Sinar. Itupun cerita-cerita ataupun berita bersifat social semata-mata.

Hakikat yang perlu disedari oleh pucuk pimpinan parti dan kerajaan negeri ialah sudah menjadi stigma yang melekat dipemikiran ahli-ahli PAS bahawa konsep pemerintahan yang ingin dijalankan ialah ‘Parti Menjaga Kerajaan’. Maksudnya, parti berperanan untuk turut terlibat dalam menentukan polisi, garis panduan ataupun dasar dalam pemeritahan kerajaan negeri. Kelantan di awal pemerintahannya diwujudkan Jawatankuasa Pemandu dan umum tahu siapa yang terlibat. Tujuannya nak memberi keyakinan bahawa perjalanan kerajaan negeri adalah dipertanggunjwabkan secara langsung oleh parti PAS.

Namun, sikap dan prasangka kepada ahli-ahli PAS yang tidak paham tentang pentadbiran dan sistem pemgurusan kerajaan menjadi punca terjadinya suk-sik-suk-sik….sana-sini.
Dalam reaksi ahli-ahli PAS berhubung penguatkuasaan, kawalan serta sistem pentadbiran Islam di negeri Kedah, Menteri Besar Kedah sewaktu berceramah di Kompleks PAS Kedah bersama Menteri Besar Perak telah menjelaskan bahawa berikan masa dan ruang kepadanya untuk merealisasikan akan permintaan ahli-ahli PAS dan beliau amat sedar apa yang hangat diperkatakan sekarang ini serta memohon supaya ahli bersabar dan bertenang.

Sambil Dato Seri Ustaz Azizan turut mengakui yang KELANTAN telah melaksanakan akan undang-undang berkaitan ini. Perbezaan Kelantan dan Kedah adalah dari segi masa, di mana beliau berkata.. Kelantan sudah 18 tahun memerintah dan Kedah hanya baru 9 bulan. Banyak perkara dan undang-undang yang perlu diteliti dan dikaji terlebih dahulu. Harus di ingat perbezaan 9 bulan dengan 18 tahun dan bandingkan pula dengan 51 tahun dibawah BN. Jika 51tahun boleh bersabar..jadi bersabarlah..

Insya'allah perkara ini akan selesai juga suatu hari nanti, ujarnya untuk meredakan keresahan ahli-ahli PAS di Kedah dan seluruh Negara.

Sebagai ahli PAS saya lebih selesa mengambil pendirian sentiasa menyokong dan bersama kepimpinan PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Jika saya diberi peluang untuk menentukan sikap terhadap perkara perkara yang sedang berbangkit di atas, saya akan memilih kaedah iaitu bersangka baik kepada pucuk pimpinan parti dan kerajaan Kedah. Anggaplah apa yang sedang dilakukan oleh mereka adalah di atas dasar usul – Fiquh Aulawiyyat yang mereka lebih mengetahui dan kita berada di pihak yang ketinggalan dan naif dalam ilmu ini.

Wallahu allam

No comments: