Wednesday, December 17, 2008

TARBIYYAH MEKANISME MANTAPKAN KEFAHAMAN AHLI

TARBIYYAH : PEMIMPIN PAS DI PERINGKAT PARTI MAUPUN KERAJAAN BERSAMA TURUN PADANG

PAS adalah satu-satunya Jemaah Islam yang paling utama dan lengkap dalam negara ini. PAS adalah wadah perjuangan Islam. PAS mengariskan cita-cita perjuangannya untuk memerintah negara dengan sistem Islam. PAS akan memastikan hukum-hukum Allah SWT akan ditegakkan dalam sistem pemerintahan, jika ia diberi kuasa oleh rakyat mentadbir dan mengurus kerajaan. .

Itulah keunikan dan perbezaan PAS dengan Jemaah Islam lain ataupun parti-parti politik lain yang wujud di negara ini.

Sebagai sebuah Jemaah Islam yang sempurna, PAS bergerak dalam tiga medan utamanya iaitu pertama, Tarbiyyah dan Pengkaderan (pembinaan dan pembentukan), kedua Dakwah (penerangan) dan ketiga, Siasah (politik).

Kini PAS telah diberi mandat oleh rakyat memerintah di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak selepas PRU 12 lalu. Sebagai kerajaan dan parti yang memerintah, PAS akan diperhatikan oleh semua pihak samada dari dalam ataupun luar. Apa yang berlaku ataupun dilakukan oleh PAS akan memberi kesan baik ataupun buruk kepada Jemaah Islam. Yang mencorak dan mewarnai PAS adalah saf kepimpinan dan ahli-ahli PAS itu sendiri. Lebih penting lagi PAS mesti membuktikan serta tampil menjadi role model bukan sahaja sebagai pemerintah yang baik (Islamik, progresif, adil dan bijaksana), bahkan mampu menjadi penyelesaian kepada permasalahan masyarakat yang dipimpinnya.

Oleh itu, PAS mesti menggerakkan seluruh saf kepimpinannya samada yang memegang jawatan kerajaan maupun parti di mana jua peringkat untuk memperkasakan kembali program dan sistem tarbiyyah dalam parti. Ini penting kerana tarbiyyahlah yang telah memainkan peranan besar dalam memastikan umor PAS bertahan ke hari ini.

Kerancakan program taribyyah di era 80an perlu dikembalikan supaya ia dapat melahirkan ahli-ahli PAS yang berkualiti dalam semua aspek penglibatan mereka dalam jemaah Islam ini. Kemanisan tarbiyyah zaman awal 80an hingga kehujung 80an dirasakan sudah sangat pudar. Ungkapan Usrah, Tamrin, Mukhayyam tarbawi, ijtima dan Qiamullail jamaei sudah jarang kedengaran. Lebih memilukan ada dikalangan ahli-ahli PAS yang tidak tahu apa itu usrah, tamrin, mukhayyam tarbawi yang berkaitan dengan sistem tarbiyyah PAS.

Ketiadaan tarbiyyah oleh PAS menyebabkan ahli-ahli akan mengambil atau mencari ilmu Islam dari sumber lain (bukan acuan PAS). Kesan yang dirasai apabila acuan tarbiyyah bukan datangnya dari PAS, maka usaha untuk memupuk kesatuan fikrah dan kesatuan amal di antara ahli-ahli PAS akan menemui jalan kegagalan.

Perlu diakui bahawa hikmah di sebalik tarbiyyah PAS terlalu banyak dan baik sekali. Antaranya ialah membuahkan ikatan ukhwah Islamiyyah yang tulen, melahirkan petugas dan pengikut yang berdisplin, meningkatkan kefahaman tentang tasawwur Islam dan perjuangan Islam itu sendiri, mengukuh pegangan akidah Islamiyyah, melahirkan ketaatan (wala) dan keyakinan (siqah) ahli kepada pemimpin dan banyak lagi.

Alasan untuk meringgankan program tarbiyyah kerana PAS sudah menjadi kerajaan ataupun sibuk dengan urusan sebagai pemerintah mesti dikikis dan dibuang jauh dari dalam hati mereka yang berkenaan. Kesibukan menguruskan kerajaan bukan alasan dan tidak sepatutnya diungkapkan oleh mereka yang berada dalam perjuangan Islam.
Oleh itu, para pemimpin PAS, khususnya yang telah diamanahkan menerajui kerajaan di mana jua peringkat organiasasi ataupun jabatan mesti tampil ke hadapan menjadi contoh kepada ahli-ahli PAS dalam usaha memperkasakan program tarbiyyah sekarang ini.

Bayangkan…., Jika Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Ustaz Azizan Hj Abdul Razak menjadi antara pemimpin PAS yang turun padang memimpin tarbiyyah kepada ahli-ahli PAS. Begitu juga para Exco PAS turut sama memimpin program tarbiyyah bersama-sama ulama PAS di Kedah. Sudah pasti mereka akan lebih rapat dengan ahli-ahli PAS, sekaligus akan dapat membenihkan ikatan kasih sayang antara pemimpin dan ahli serta rakyat. Inilah rahsia serta faktor kejayaan dan umor panjang kerajaan Kelantan yang di pimpin oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Segala kelemahan dan kekurangan dalam menguruskan kerajaan akan mudah di terima oleh rakyat kerana mereka tahu hati budi dan sikap pemimpin mereka secara dekat. Maksudnya ahli dan rakyat sentiasa mendapat maklumat lebih cepat dan langsung dari pemimpin, sekaligus segala maklumat yang tidak benar tersebut dapat diperbetulkan dengan segera.

Hakikatnya, tarbiyyahlah yang akan mendedahkan ahli PAS kepada Taswwur Islam yang syumul, memberikan mereka kekuatan hujjah sehingga mereka iltizam dengan jamaah, mendidik rohani mereka agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, sumber kemenangan perjuangan. Tarbiyyahlah yang akan melonjak mereka untuk berani kehadapan dan berjihad mempertahankan Islam.

Sungguh indahnya…. Setelah PAS menjadi peneraju kerajaan Kedah, tarbiyyah menjadi agenda yang disegerakan untuk dinikmati oleh ahli-ahli PAS dan rakyat. Saya kira, melaksanakan program tarbiyyah lebih mudah dari menguatkuasa jualan arak dan judi kerana ia tidak memerlukan kepada pengkajian dari aspek undang-undang dan sebagainya. Cukup sekadar pemimpin PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan ataupun parti mahu komited menjalankannya.

Semoga kita sama-sama memperkasakan program tarbiyyah dalam PAS, khususnya di negeri Kedah ini.

No comments: