Tuesday, December 2, 2008

RETREAT AKTIVIS PAS KUBANG PASU DI PULAU PINANG

BINCANG HALATUJU PAS KUBANG PASU

Aktivis PAS Kubang Pasu akan menganjurkan program “Pemukiman Aktivis PAS Kubang Pasu” pada 27, 28 dan 29 Disember depan bertempat di Batu Feringgi, Pulau Pinang. Sehubungan itu, sebuah sekretariat telah ditubuhkan untuk menjayakan program tersebut yang dipengerusikan oleh saudara Basir Hj. Ismail dan Saadon Hashim dilantik sebagai Setiausaha.

Penubuhan sekretariat tersebut telah diputuskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Memperkasa PAS Kubang Pasu yang telah diadakan pada Ahad (malam) lepas.

Menurut Basir Hj. Ismail bahawa, program pemukiman aktivis PAS Kubang Pasu ini diadakan bertujuan untuk membincangkan hal-hal berkaitan ‘pemerkasaan PAS Kubang Pasu’ pada tahun 2009 akan datang sehinggalah PRU 13 akan datang.

Program ini diilhamkan dari ‘retreat PAS Pusat’ di Langkawi awal bulan November lalu di Langkawi yang melibatkan seluruh saf kepimpinan termasuk Ahli Majlis Syura dan AJK PAS Pusat.

Antara objektif program ini ialah untuk merumus strategi memperkasa PAS Kubang Pasu dari pelbagai sudut termasuk berkaitan kepimpinan dan organisasi, hala tuju PAS Kubang Pasu serta penjelasan isu-isu berkaitan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan YAB Dato Seri Ustaz Hj Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Basir menambah, “program pemukiman aktivis PAS Kubang Pasu akan turut dihadiri oleh pimpinan PAS pusat dan dua buah negeri iaitu Kelantan serta Kedah untuk memberi garispanduan tentang kaedah perbincangan yang dijalankan, di mana aktivis PAS Kubang Pasu adalah sebagai anggota yang terlibat secara langsung dalam program tersebut”.

Dijangka seramai 45 orang aktivis PAS Kubang Pasu telah dikenalpasti akan menyertai program ini yang terdiri dari pelbagai latarbelakang termasuk AJK PAS Kubang Pasu, DPP Kubang Pasu, AJK PAS cawangan-cawangan serta aktivis PAS yang tidak memegang sebarang jawatan dalam parti, maupun kerajaan. Program ini di buat secara tertutup akan diadakan selama 3 hari/2 malam di sebuah banglow mewah di kawasan Batu Feringgi, Pulau Pinang yang menjadi tempat program pemukiman tersebut.

Sebanyak dua kertas kerja dan dua pelan tindakan akan dibentang dalam pertemuan tersebut. Kertas kerja tersebut adalah berkaitan Pemerkasaan Kepimpinan dan Organisasi PAS Kubang Pasu sesi 2009/2011 dan Halatuju dan Strategi PAS Kubang Pasu Menghadapi PRU 13 serta Pelan Tindakan Pemerkasaan Jentera Pilihanraya PAS Kubang Pasu dan Pelan Tindakan Kewangan PAS Kubang Pasu. Di samping penjelasan tentang polisi dan dasar kerajaan Kedah.

Hasil program tersebut akan dikemukakan kepada PAS Kawasan pada bulan Januari depan untuk di ambil tindakan.

No comments: