Monday, December 8, 2008

ISU ARAK DI KEDAH

MB JAWAP TENTANG PENGUATKUASAAN PENJUALAN ARAK DI KEDAH

Arak menjadi isu hangat yang sedang diperkatakan oleh ahli-ahli dan aktivis PAS di peringkat cawangan dan kawasan, apabila digambarkan semacam tidak ada sebarang tindakan ataupun iltizam oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin YAB Dato Seri Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak, selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah untuk menguatkuasakan penjualan minuman arak (alkohol) di negeri ini.

Isu arak menjadi semakin hangat diperbincangkan apabila mendapati PAS Selangor ataupun ahli majlis PBT (MBSA dan Kelang) yang diwakili oleh PAS telah berusaha mencadangkan polisi atau dasar mengawal ataupun penguatkuasaan penjualan minuman yang diharamkan ke atas orang Islam ini. Penguatkuasaan tersebut melibatkan beberapa jenis premis perniagaan termasuk kedai 24 jam, restoren, kedai ubat, kedai runcit dan pusat jualan bahan api (kedai minyak) di negeri itu.

Walaupun usaha murni ahli majlis PBT (MBSA dan Kelang) tersebut tidak dapat dijalankan kerana masalah teknikal ataupun bertentangan dengan polisi kerajaan negeri, namun ramai pihak berkeyakinan penuh bahawa perlaksanaan penguatkuasaan penjualan arak ini dapat dijalankan di Kedah tanpa sebarang gangguan kerana kerajaan negeri di pimpin oleh PAS. Sekaligus mengikut jejak langkah kerajaan PAS di negeri Kelantan Darul Naim yang diterajui oleh YAB Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun keresahan berhubung isu ini akhirnya terjawap apabila Menteri Besar Kedah memberi jawapan ke atas soalan yang dibangkit wartawan pada Sabtu lepas ketika di majlis penyerahan lembu korban di perkarangan Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar baru-baru ini.

Menjawab pertanyaan media berhubung tindakan Kerajaan Negeri Kedah berkaitan penguatkuasaan jualan arak, Menteri Besar menegaskan bahawa arak hanya diharamkan kepada orang Islam tetapi tidak kepada bukan Islam.

"Alkohol ini tidak haram pada orang bukan Islam. Yang ada enakmen ini larang bagi orang Islam minum. Kalau dia minum kita perlu ada satu pasukan penguatkuasaan, kekurangan pentadbiran itu akan ambil masa. Lesen-lesen untuk orang bukan Islam hendak minum kita kena berilah, kecuali kalau dia minum arak hingga merosakkan masyarakat, bila dia mabuk di langgar sana sini, itu tidak baik untuk kepentingan awam.

"Sesiapa pun tidak akan benarkan, ada undang-undangnya. Tapi kalau orang bukan Islam hendak minum arak, dia minumlah. Itu hak dia, tetapi hormatlah 'public order'. Orang Islam agamanya melarang, kenapa mesti kita benarkan," ujarnya menerangkan.

Memberi penjelasan lanjut, beliau berkata, umum menuntut untuk melaksanakan banyak perkara tetapi tindakan kerajaan perlu dilaksanakan secara berperingkat-petingkat.

1 comment:

Kedahlanie said...

saya ambil artikal ini masuk kedahlanie..ok