Thursday, December 18, 2008

ISU RASUAH | SYABAS MB KEDAH….


Dalam program Himpunan Pelajar Dan Mahasiswa Kedah di Dewan Seri Mentaloon kelmarin YAB Dato Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Mentari Besar Kedah ada menyentuh tentang hal rasuah. Ia ditujukan kepada dirinya dan rakan-rakan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini.

KENYATAAN MB KEDAH

Kira-kira katanya begini,

"Banyak usaha-usaha nak rasuah saya dan rakan-rakan saya. Tapi saya tak
makan rasuah, takat la ni la. Takat RM10,000, RM100,000 tak makan lagi la.
Tak taula kot RM1 juta mana nak tentu. Nak masuk neraka biar berbaloi, betul
tak? Ni masuk neraka kadang RM50 apa cerita?" ujarnya sinis menyebabkan
dewan gamat dengan gelak ketawa.

Katanya lagi, banyak 'komisyen' disyaratkan kepada pihak-pihak
tertentu berurusan untuk di Kedah sebelum (merujuk zaman UMNO/BN) ini berbeza dengan kerajaan (Pakatan Rakyat) kini yang tidak mengamalkan 'urusan di bawah meja'.

Syabas ! MB Kedah. Semoga usaha memerangi rasuah ataupun mengamalkan budaya ‘rasuah sifar’ di bawah pentadbiran keraajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah akan menjadi kenyataan.

TENTANG RASUAH

Mungkin dalam tempoh 9 bulan ini, ujian rasuah telah berjaya diatasi. Rakyat dan ahli-ahli PAS saya kira begitu yakin bahawa MB Kedah tak akan melakukan rasuah berdasarkan latarbelakang dirinya yang memahami ajaran Islam serta menjadi pemimpin sebuah Jamaah Islam (PAS) di kedah dan juga Malaysia. Namun jangan dilupakan bahawa, budaya rasuah bukan sahaja difokuskan kepada pemimpin utama atau kanan kerajaan semata-mata, sebaliknya kepada seluruh jentera kerajaan yang berada di bawahnya termasuk kakitangan yang berkhidmat di peringkat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Ahli Majlis Daerah, Ahli Lembaga Pengarah GLC, Pnghulu dan Ketua Kampungs serta ‘driver’ kepada MB, Speaker dan Exco kerajaan negeri. Dan juga jangan dilupakan para pemimpin kanan PAS yang menjadi tulang belakang kepada kewujudan keraaan Pakatan Rakyat ini.

Seluruh manusia atas muka bumi tahu dan faham tentang makna rasuah. Manusia yang berakal juga tahu tentang hukum (bagi beragama Islam) dan undang-undang (rakyat awam) tentang rasuah. Bagi yang beragama Islam mereka tahu bahawa rasuah adalah berdosa. Bagi yang bukan bergama Islam juga tahu bahawa rasuah salah di sisi undang-undang. Maksudnya rasuah ini semua orang bahawa ia suatu amalan ataupun budaya buruk menjijikan, membusukkan serta merosakkan semua sistem dalam masyarakat.

BILA NAK ISYITIHAR HARTA WAKIL RAKYAT PAS + PKR

Persoalannya ialah sejauh manakah komiten kerajaan pimpinan YAB Ustaz Azizan Abdul Razak berusaha untuk memastikan seluruh jentera kerajaan Pakatan Rakyat dan Parti PAS dan PKR yang menjadi parti yang memerintah hari ini tidak melakukan rasuah. Rasuah bukan sahaja berlaku transaksi wang antara pemberi dan penerima, bahkan dalam soal pemberian hadiah, saguhati, janji-janji yang bertujuan kepentingan diri sendiri serta memberi jawatan kepada orang menyokongnya, memberi projek tidak mengikut peraturan, tidak telus sekaligus mengenepikan orang lain yang lebih layak, pergi melancong dan banyak lagi perbuatan lain yang boleh disabitkan sengan rasuah.

Rakyat umum melihat rasuah ini dalam beberapa konteks. Pertama tentang perlakuan ataupun perbuatan yang menyebabkan berlakunya rasuah. Kedua, tindakan, hukuman ataupun pembalasan kepada orang yang melakukan rasuah. Ketiga, kaedah pencegahan dan kawalan rasuah. Keempat, siapa pelaku rasuah tersebut. Dan kelima bentuk dan jenis perbuatan rasuah tersebut.

Dalam konteks ini, Pakatan Rakyat kena lebih telus, bertanggunjawab, terbuka dan berani untuk melakukan tindakan ‘Mengisyitiharkan Harta’ seluruh pemimpin kerajaan yang sekarang ini, di samping individu-indivdu yang terlibat dengan GLC kerajaan Kedah. Tindakan mengisyitiharkan harta milik pemimpin kerajaan adalah langkah yang baik dan disukai oleh rakyat. Di mana nanti rakyat boleh mengetahui, harta dan kekayaan dimiliki oleh pemimpin kerajaan diperolehi dari sumber mana. Sekaligus boleh mengatasi fitnah besar yang akan dimainkan oleh musuh politik Pakatan Rakyat.

Jikapun, ada yang berpendapat bahawa pengisyitiharan harta kepada umum boleh membahaya orang yang terlibat, ia merupakan alasan yang dangkal dan tidak masuk akal. Bukan soal angka ataupun pengisyitiharan harta secara spesefik yang perlu diketahui oleh masayarkat umum, tetapi adanya pengakuana secara jujur oleh pihak kerajan kepada rakyat bahawa pentadbiran kerajaan negeri telah menyimpan data-data ataupun rekod tentang harta kepunyaan mereka. Lebih elok jika pihak parti yang menyimpan data-data tersebut.

RASUAH BANYAK BERLAKU DI PERINGKAT PBT

Maaf…. jika artikel ini menyebutkan bahawa gejala rasuah oleh jentera kerajaan banyak berlaku di peringkat PBT. Orang yang paling berkuasa di PBT ialah Pegawai Daerah (DO) merangkap Yang DiPertua Majlis Daerah serta Setiusaha Majlis serta Ahli-Ahli Majlis yang mewakili Pakatan Rakyat. Banyak kes, samada disedari ataupun tidak sememangnya rasuah yang sudah menjadi darah daging mereka yang pernah berkerja di bawah regim UMNO/BN sejak dulu lagi tetap berlaku di peringkat PBT.

Rasuah boleh berlaku dalam banyak hal dan urusan. Samada berkaitan perlaksanaan projek, pemberian dan kelulusan lessen serta di peringkat penguatkuasaan. Baru-baru ini saya diberitahu oleh seorang jurujual kereta mewah yang berpengakalan di Sungai Petani bahawa ada seorang Pegawai Kanan dari Sik, Kedah telah menempah sebiah kereta Mercedez Benz C200 baru yang berharga melebihi RM 200 ribu. Dan kereta itu didaftarkan di atas nama orang lain (proksinya). Hahahahahah…cuba lihat.

Satu lagi kes, seorang Setiausaha Majlis di sebuah daerah (rahsia) secara terang-terangan telah meminta komisen dari kontraktor yang telah mendapat projek dalam daerah tersebut.

Ironinya, kedua-dua kes tersebut telah memberi persepsi negatif kepada kerajaan Pakatan Rakyat, lebih malang kepada PAS yang mereka mempercayai sebuah Jemaah Islam yang akan menguatkuasa, melaksanakan dan mengamalkan sistem pentadbiran Islam. Itulah rasuah yang sememangnya telah membarah dalam masyarakat kita.

1HB JANUARI PALING SESUAI

Oleh itu, selari dengan iltizam MB Kedah untuk tegas di atas rasuah di Kedah adalah wajar sama sekali, pada 1 Januari 2009 akan datang seluruh pemimpin kerajaan Kedah mengisyitiharkan harta mereka kepada rakyat. Pengisyitaharan tersebut dimulakan oleh MB, dikuti oleh Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kanan Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah dan Setiausaha Majlis Daerah.

Jika perkara ini dapat dilakukan, sekurang-kurang kerajaan Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa mereka bukan dikalangan pemimpin yang akan menerima rasuah, kalaupun bukan pada hari ini, esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan dan sampai hari kiamat.

No comments: