Saturday, December 6, 2008

TAQARRUB MELALUI IBADAT KORBAN

Sesuatu cara atau jalan dalam segala rupanya untuk mendekatkan atau mendampingkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sama ada berbentuk benda, amal perbuatan atau niat maka ia dikatakan sebagai qurbah.

Pengertian di atas adalah disandarkan kepada ayat Al- Qur’an yang tafsirnya:

“Dan sebahagian dari orang-orang A‘raab itu ada yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka). Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.
(Surah At-Taubah : 99)

Bahawasanya manusia itu pada dasarnya hampir dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan syarat sebagaimana tersebut di dalam Al-Qur’an dan ayat- ayat lain yang berkaitan dengan kesempurnaan iman yang tafsirnya :


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(Surah Al-Baqarah : 186)

Sebenarnya manusia pada mulanya adalah suci. Akan tetapi disebabkan mereka melakukan dosa dan maksiat maka mereka jauh dengan Allah. Oleh kerana itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala memberi kesempatan kepada manusia untuk kembali semula menjadi dekat dan berdamping denganNya melalui qurbah. Dengan hal yang demikian manusia dapat mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sehubungan dengan ini, di antara perkara yang boleh mendampingkan atau mendekatkan diri seorang hamba dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla ialah dengan melakukan ibadat korban.

Di dalam istilah ilmu fiqh, ibadat korban dikatakan sebagai al-udhhiyah, yang memberi maksud apa yang disembelih sebagai taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala) pada hari- hari nahr dengan syarat-syarat tertentu.


Pandangan Islam Terhadap Ibadat Korban


Islam mensyariatkan ibadat korban itu sebagai salah satu ciri mendekatkan diri kepada Allah. Justeru itu Islam telah menyusun dan mengatur tatacara berkorban itu dengan kemas dan sempurna.

Hikmat dari pensyariatan ibadat ini di antaranya ialah:

i) Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail ‘Alaihimassalam dengan menyembelihnya, akan tetapi Allah menggantikannya dengan kibasy. Fakta ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sebuah hadits:

Maksudnya: “Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: “Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?” Jawab Rasulullah: “Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.”

Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)

ii) Memupuk sikap pemedulian dan keprihatinan terhadap masyarakat iaitu dengan memberi dagingnya sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya, meskipun pada asalnya ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada penduduk Makkah dan orang yang datang ke sana untuk mengerjakan haji. Firman Allah yang tafsirnya :

“Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”
( surah Al-Hajj ayat 34)

iii) Melahirkan kesyukuran kepada Allah terhadap nikmat hidup yang telah diberikanNya.

iv) Menyemai dan menanamkan sifat dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘Alaihimassalam dan sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah mengatasi rasa cinta kepada diri sendiri dan kepada anak.

Adapun dalil-dalil yang menunjukkan pensyariatan ibadat korban di dalam Islam adalah dari Al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘ yang tafsirnya :

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
(Surah Al-Kautsar)

Sementara dalil daripada sunnah yang menunjukkan korban ini sebagai sesuatu yang disyariatkan ialah hadits yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, dia berkata yang maksudnya :

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkorban dengan dua ekor kibasy (biri-biri) putih yang bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri sambil membaca Basmalah dan bertakbir dan Baginda meletakkan (menginjakkan) kakinya di pangkal leher biri-biri itu.”

(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Apakah hubungan di antara mengalirkan darah dengan menyembelih binatang sebagai korban dengan mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah dan menjadi taqarrub kepadaNya?

Perkara ini boleh dijelaskan melalui dua aspek seperti berikut:

1. Mengalirkan darah melalui menyembelih binatang korban pada Hari Raya ‘Idul Adhha dan pada tiga hari Tasyriq merupakan sebagai jalan atau cara untuk melebihkan sedikit pemberian kepada diri sendiri dan ahli keluarga. Sebagaimana juga ianya dapat berfungsi sebagai cara untuk memuliakan para tetamu dan jiran- jiran, serta untuk memberi kelapangan kepada fakir miskin. Semua ini merupakan penzahiran keriangan dan kegembiraan kerana bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.”
(Surah Adh-Dhuha : 11)

2. Untuk membenarkan atau mengakui apa yang dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa Allah menjadikan binatang-binatang ternak untuk diambil manfaat atau dimanfaatkan oleh manusia, dan diizinkan kepada mereka untuk menyembelihnya sebagai makanan.

Kalau ada orang mengatakan bahawa menyembelih binatang itu merupakan penganiayaan dan penzaliman terhadap jiwa-jiwa yang sepatutnya mendapat belas kasihan dan keadilan, maka di sini dapat dijelaskan bahawa Allah Ta‘ala yang mencipta manusia dan mencipta segala binatang dan makhluk- makhluk lain, dan Dia memerintahkan kepada kita untuk berlaku ihsan dan rahmat terhadap binatang- binatang. Di samping itu juga diharuskanNya manusia untuk menyembelih binatang tersebut, lebih-lebih lagi pada setengah keadaan sembelihan itu merupakan taqarrub kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh yang demikian ianya dapatlah dijadikan sebagai pengukuhan atau sandaran bahawa menyembelih binatang itu bukanlah dikatakan sebagai penganiayaan atau penzaliman.

Hukum Ibadat Korban

Mengenai dengan hukum korban, sebilangan besar ulama fiqh mengatakan bahawa ibadat korban itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat-sangat dituntut). Akan tetapi mereka berbeza pendapat adakah ibadat korban itu wajib bagi orang yang berkemampuan?
Jumhur ulama mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang berkemampuan. Jika ditinggalkannya walau tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak mesti dia mengqadhanya. Di antara mereka yang berpendapat begini ialah Abu Mas‘ud Al-Badri, Sa‘id bin Al- Musayyab, ‘Alqamah, Al-Aswad, ‘Atha, Imam Malik, Imam Ahmad dan lain-lain.

Dalil bagi mereka yang mengatakan sunat berkorban, di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Jabir, dia mengatakan yang maksudnya :

“Aku bersembahyang ‘Idul Adhha bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila telah selesai, Baginda membawa seekor kibasy (biri-biri) lalu Baginda menyembelihnya dan membaca: (dengan nama Allah dan Allah Maha Besar, wahai Tuhan kami, inilah korban daripadaku dan daripada orang-orang yang belum berkorban daripada kalangan umatku).”
(Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi)

Di antaranya juga ialah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma secara marfû yang maksudnya :

“Aku diperintahkan (diwajibkan) untuk mendirikan sembahyang dua rakaat (Hari Raya) Adhha sedangkan kamu tidak diperintahkan (diwajibkan) untuk mendirikannya, dan aku diperintahkan (diwajibkan) untuk menyembelih korban akan tetapi ia tidak diwajibkan ke atas kamu.

(Hadits dikeluarkan oleh Ahmad)

Hukum sunat ibadat korban itu adalah sunat mu’akkadah yang berupa sunat kifâyah jika ahli keluarga orang yang menyembelih korban itu ramai bilangannya. Jadi jika salah seorang daripada mereka menyembelih korban maka adalah memadai untuk mewakili semua ahli keluarga. Sebaliknya jika dia tidak mempunyai ahli keluarga melainkan hanya dirinya seorang sahaja, maka hukumnya adalah sunat ‘ain.

Ibadat korban itu lebih afdhal dari bersedekah sunat. Berkata Imam Syafi‘e: “Tidak ada kelonggaran untuk meninggalkannya bagi orang yang mampu, jika ditinggalkannya juga maka hukumnya makruh.” Adakalanya ibadat korban itu menjadi wajib jika dinazarkan, sebagaimana hadis yang maksudnya :

“Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya.”
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Umpamanya seorang itu berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti” ataupun dia berkata: “Kerana Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”. Kata-kata seperti ini adalah menjadi nazar
yang sebenar.

Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban” ataupun dia berkata: “Ini adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar sebenar (nazar hakikat). Sebutan seperti ini menjadikan korban sesuatu yang wajib ditunaikan, sekalipun seorang yang melafazkan itu tidak mengetahui yang sebutan seumpama itu menjadi wajib ke atasnya korban.

Asy-Syeikh Daud Fathani menyebutkan bahawa apabila seseorang membeli dan membawa seekor kambing atau lembu bertujuan untuk korban, tiba-tiba ditanya orang: “Hendak buat apa kambing atau lembu ini?”, lalu dijawab dengan katanya: “Ini adalah korban”, atau katanya: “Aku jadikan untuk korban”, maka dengan jawapan itu tidak dinamakan nazar sebenar, tetapi dihukumkan sama seperti hukum nazar sebenar, di mana wajib baginya menyembelih binatang tersebut dan wajib disedekahkan kesemua dagingnya kepada fakir miskin, serta haram bagi yang berkorban memakan daging tersebut.
Tetapi jika dia menjawab dengan berkata: “Inilah korban sunatku”, atau dia berkata: “Kambing ini hendakku sembelih sebagai korban sunat”, maka ulama sepakat mengatakan tidak menjadi nazar dan tidak juga menjadi seperti hukum nazar.

Ataupun boleh juga dijawab pertanyaan seperti di atas, sebagaimana tersebut di dalam kitab Hasyiah Al-Baijuri: “(Lembu atau kambing) ini akan kami sembelih pada Hari Raya Haji nanti”. Maka dengan jawapan seperti ini tidaklah dia menjadi korban wajib.

Waktu Menyembelih Korban

Waktu menyembelih korban ialah dari terbit matahari dan kadar berlalu sembahyang sunat Hari Raya dan dua khutbahnya, sebagaimana perkara itu dijelaskan oleh hadits berikut maksudnya: “Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang pada Hari Raya Korban, kemudian Baginda menyembelih (korban) lalu bersabda: “Barangsiapa yang menyembelihnya sebelum dia bersembahyang (Hari Raya), maka hendaklah dia menyembelih yang lain sebagai gantinya, dan barangsiapa yang belum menyembelihnya, maka hendaklah dia menyembelihnya dengan menyebut nama Allah.”
(Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Berkata Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarh Shahîh Muslim: “Adapun waktu mengerjakan ibadat korban itu adalah selepas dia mendirikan sembahyang Hari Raya bersama imam, dalam keadaan ini dia mendapat pahala sebagaimana yang disepakati oleh para ulama.”

Ibnu Al-Mundzir pula berkata: “Para ulama sepakat bahawa ibadat korban itu tidak harus dilakukan sebelum terbit fajar pada Hari Raya korban, akan tetapi mereka bersalahan pendapat pada menentukan hukum berkorban yang dilakukan selepas waktu tersebut.”

Imam Syafi‘e, Daud, Ibnu Al-Mundzir dan lain- lainnya berkata: “Bermula waktu untuk berkorban itu dari terbit matahari dan kadar berlalu sembahyang Hari Raya dan dua khutbahnya. Jika disembelih binatang korban itu selepas kadar waktu ini, diterima korbannya, sama ada imam sudah mendirikan sembahyang Hari Raya ataupun belum, sama ada dia mengerjakan sembahyang Dhuha ataupun tidak, sama ada dia orang kota ataupun orang kampung atau orang musafir, sama ada imam menyembelih korbannya atau tidak.”

Oleh itu adalah wajar kepada orang-orang yang berkemampuan agar tidak melepaskan peluang untuk berkorban, kerana ibadat ini amatlah dituntut dan tinggi nilainya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, lebih-lebih lagi ada kalangan ulama yang mengatakannya wajib, dan masa melakukannya pula adalah terhad, berbanding dengan sedekah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan waktu.

No comments: