Monday, January 19, 2009

AKTIVIS AKAN PERKENAL PASUKAN KEPIMPINAN PAS KUBANG PASU

Gagasan Harapan Baru Kubang Pasu

Slogan ‘Harapan Baru Kubang Pasu’ yang dipelopori oleh aktivis PAS Kubang Pasu adalah suatu gagasan yang sarat dengan iltizam, visi dan misi ke arah mempertahankan kemenangan PAS/Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah serta suatu usaha untuk memenangi kerusi –kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRU 13 akan datang.

Bagi menjayakan gagasan yang dimaksudkan, para aktivis PAS Kubang Pasu sepakat dan bertekad membentuk ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ untuk memimpin PAS di Kubang Pasu. Dalam erti kata lain bahawa aktivis PAS akan menonjolkan calon-calon yang dinilai olehnya lebih releven, dinamik dan berwawasan.

Sesungguhnya, ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ PAS Kubang Pasu adalah merupakan sebuah ‘tawaran’ bukannya paksaan kepada seluruh ahli-ahli PAS untuk membuat keputusan. Maknanya, ahli-ahli PAS bebas untuk memilih dan menilai setiap calon-calon yang berada di dalam ‘Pasukan Kepimpinan Baru’. Peranan aktivis adalah memperkenalkan calon-calon tersebut berdasarkan fakta, di samping memberi penerangan tentang perancangan yang bakal dilakukan nanti. Tujuannya supaya ahli-ahli boleh mengenali secara dekat bakal pemimpin yang akan mereka lantik.

Ahli-ahli PAS perlu diberi hak untuk memilih pemimpin berdasarkan kepada fakta dan maklumat yang tepat bukannya melalui kempen-kempen yang tidak bermoral seperti mendedahkan keburukan seseorang, apatah lagi dalam perkara yang tidak benar ia akan menjadi suatu fitnah. Aktivis yang menjadi tulang belakang kepada ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ akan memainkan peranan mereka dalam ruanglingkup yangdibenarkan oleh syarak dan Perlembagaan PAS.

Perlu ditegaskan bahawa “matlamat tidak menghalal cara’ sentiasa menjadi pegangan aktivis PAS Kubang Pasu dalam menjalankan kempen memperkenalkan calon-calon ‘Pasukan Kepimpinan Baru’.

Konsep dan Pendekatan Mendapatkan Sokongan

Aktivis telah menggariskan beberapa kaedah yang akan digunapakai ketika menjalankan kempen memperkenalkan ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ kepada ahli-ahli dalam seluruh kawasa Kubang Pasu. Kaedah yang dugunapakai ialah Pertama, juru kempen tidak dibenarkan memburuk-buruk peribadi calon-calon yang bertanding, Kedua, calon-calon yang bertanding akan diperkenalkan dengan pelbagai cara iaitu melalui program perjumpaan, media online (blog) dan bahan cetak. Ketiga, calon-calon akan diaktifkan dalam masyrakat dan keempat, semua calon tidak dibenarkan merasuah ataupun menabur sebarang janji-janji samada berbentuk upah dan hadiah, jawatan dan kedudukan dalam parti dan lain-lain.

Inilah pendekatan yang dijalankan oleh aktivis dan ia adalah berbeza dari proses sebelumnya (tempoh kempen) untuk memilih para pemimpin PAS Kubang Pasu.

Jelasnya, aktivis PAS yang mahukan kepada ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ PAS Kubang Pasu secara terbuka, ikhlas dan jujur akan memperihalkan segala tindakan dan tujuannya kepada ahli-ahli dengan bertanggungjawab. Bagi memastikan matlamat itu tercapai para aktivis sedang giat membuat persiapan rapi untuk menampilkan ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ yang terdiri dari pelbagai latarbelakang individu.

Sekiranya tawaran ini di tolak ia bukan menjadi suatu perkara yang akan merosakkan perpaduan dalam PAS serta menjejaskan komitmen aktivis PAS untuk terus bekerja memelihara kemenangan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah.

Calon ‘Pasukan Kepimpinan Baru’

Sehingga artikel ini ditulis, aktivis PAS telah mengenalpasti beberapa orang AJK PAS Kubang Pasu yang akan dikekalkan sebagai kepimpinan dalam ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ dan selebihnya akan dicalon pengganti yang baru. Menukar kepimpinan yang sedia ada bukan bermakna mereka tidak memiliki akhlak yang baik, taraf pendidikan yang tinggi ataupun tidak memberi sumbangan dari segi tenaga, masa dan wang ringgit, sebaliknya ialah kerana untuk masa depan PAS Kubang Pasu.

PAS Kubang Pasu perlu dipimpin oleh ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ yang memiliki fikrah tulen PAS. Maksudnya dikalangan mereka yang telah diproses dalam sistem tarbiyyah PAS dan bersedia melalui liku-liku perjuangan. Ahli yang memiliki fikrah tulen PAS sahaja yang akan dapat memahami rentak dan tari perjuangan PAS.

Insya allah di Kubang Pasu ia memiliki ramai ahli-ahli yang memiliki fikrah tulen PAS yang boleh diangkat sebagai pemimpin PAS pada masa ini dan akan datang. Ia terletak kepada kehendak dan keputusan ahli-ahli PAS. Apapun keputusan, kita semua pasti akan menerima dan meredhainya.

No comments: