Wednesday, January 28, 2009

RENUNGAN UNTUK PIMPINAN KUBANG PASU

Gayung Bersambut : Asri Baharom

Terkesan dinaluri saya (Asri Baharom) untuk menghambur pendapat dan respon tentang surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha PAS Kawasan Kubang Pasu yang terlalu banyak maksud tersirat dalam alasan yang tersurat. Entah apa yang sedang menghantui pimpinan PAS Kubang Pasu sehingga meminggirkan pemikiran dan akal bestari sebagai pejuang dan da’ie sebuah jamaah yang berorientasikan pertubuhan dakwah terulung dan unggul di negara ini.

Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pemimpin Kubang Pasu persis seekor tikus yang takutkan kucing, ekoran usaha dan iltizam ahli dan aktivis PAS dalam Kubang Pasu yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kawasan, kerana berjaya mencetuskan evolusi dan lonjakkan baru dalam program-program berkaitan tarbiyyah yang sememangnya menjadi agenda utama PAS kepada ahlinya.

Entah ketakutan apa yang menghimpit pimpinan PAS Kubang Pasu sehingga kelihatan berfikiran sempit, sehingga rela mengeluarkan arahan yang tidak waras kepada cawangan-cawangan berhati-hati dengan program seperti usrah Kubra yang dijalankan sekian lama. Tentu sahaja, surat pekeliling berkenaan akan menimbulkan berbagai polemic, sekaligus mengelirukan ahli terbanyak yang semakin mengerti tentang kepentingan usrah Kubra tersebut.

Percayalah…. akan terpahat dalam ingatan ahli semua bahawa ketakutan sebenar yang sedang melanda pimpinan PAS kawasan Kubang Pasu ini ialah lahirnya golongan ahli dan aktivis yang iltizam dengan program tarbiyyah acuan PAS. Persoalan yang perlu di jawab ialah apakah jenis ketakutan yang dialami oleh pemimpin Kubang Pasu dari program usrah Kubra tersebut. Apalah ketakutan tersebut didorong oleh takut kehilangan kuasa dalam parti yang menjanjikan jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu ataupun GLC (Government Link Company)? Atau mungkin takut dicemuh oleh ahli-ahli PAS yang kini mula menyedari bahawa mereka tidak menjalankan amanah kepimpinan dengan berkesan? Mungkin juga kerana ketakutan akibat akan hilang glamour sebagai pimpinan yang berkuasa untuk memutuskan sebarang keputusan parti?

Apapun natijahnya.. surat pekeliling tersebut akan menimbulkan bahan fitnah yang berpanjangan dikalangan ahli terbanyak. Suka saya membawa peringatan dari sebuah hadis Nabi S.A.W yang membawa maksud " Fitnah itu sedang tidur...Allah melaknat siapa yang membangkitnya...".

Pemimpin PAS Kubang Pasu sepatutnya mempunyai fikrah dan pemikiran terbuka dalam kepimpinannya. Teladan oleh Panglima Khalid Ibnu Walid, Sahabat Rasulullah SAW yang pernah digugurkan dari mengepalai angkatan ketika di meda perang wajar dijadikan sebagai pengajaran. Ketahuilah bahawa tukar ganti kepimpinan adalah suatu proses yang menepati sunahtullah dan juga sesuai dengan fitrah, lebih-lebih lagi dalam kita beroganisasi. Kecualilah pimpinan PAS Kubang Pasu dasawarsa ini merasakan mereka adalah yang terbaik dari sekalian ahli yang ada serta berkeyakinan penuh telah melaksanakan amanah kepimpinan dengan berkesan dan gemilang.

Di sini saya ingin mempersoalkan, kiranya usroh Kubra yang dibimbangkan akan menghakis kepercayaan ahli terhadap pimpinan Kubang Pasu, mengapa tidak dianjurkan sahaja usroh yang lebih besar dan menampilkan naqib yang direstui oleh PAS Kubang Pasu ?

Umum ketahui bahawa sejak sekian lama, program tarbiyyah seperti usrah sudah tidak ada dan tidak dipedulikan.

Pepatah sering diungkapkan 'jika tak pandai menari, jangan dikata papan tidak rata'.

Saya juga ingin menasihatkan bahawa dalam tempoh masa berbaki ini, pimpinan PAS Kubang Pasu berusahalah menggarap idea dan tindakan memacu PAS supaya menjadi sebuah parti yang mantap dan diyakini oleh ahli dan masyarakat sekeliling. Jangan sampai apabila ahli tidak lagi menaruh keyakinan terhadap pimpinan, jangan pula nanti seperti 'Biduk Berlalu Kiambang Bertaut'.. ' Rumah Siap Pahat Berbunyi'.

Wasalam

No comments: