Wednesday, January 28, 2009

DR. ROHANI ABDUL MUTALIB, PEMIMPIN DINAMIK DAN BERKARISME

SEJARAH | DEWAN MUSLIMAT SAYAP PAS

Dewan Muslimat ditubuhkan secara rasmi pada 3 Januari 1953 serentak dengan penubuhan Dewan Ulama', Dewan Pemuda dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Kepala Batas Seberang Perai. Penubuhannya telah dicadangkan oleh Al-Marhum Ustaz Zabidi Hj Ali, Ahli Jawatankuasa Agung PAS yang di buat dalam Mesyuarat Agung PAS pada 3 April 1952.

Ketua Dewan Muslimat yang pertama ialah Puan Sharifah Rahmah bersama sebuah Jawatankuasa Dewan Muslimat seramai tujuh orang. Bagi membolehkan Dewan Muslimat bergiat secara sah dan teratur, satu peruntukan di bawah "Aturan dan Peraturan Kecil Dewan Muslimat PAS" dirangka dan disahkan oleh Jawatankuasa Agung PAS. Pindaan Perlembagaan PAS pada tahun 1973 telah menyaksikan bagaimana segala urusan Dewan Muslimat telah disatukan dalam Perlembagaan PAS.

Justeru itu, objektif kewujudan Dewan Muslimat turut dipinda menjadi tugas-tugas am yang disebutkan dalam Fasal 28 ceraian 3, pecahan ke (7). Fasal tersebut menyatakan secara jelas bahawa tujuan Dewan Muslimat ialah “untuk menyatukan tenaga Muslimat-Muslimat dalam negara ini bagi meluaskan pengaruh PAS di kalangan wanita-wanita Islam melalui kegiatan-kegiatan Muslimat sambil membentuk keperibadian mereka supaya menjadi muslimat yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta meyakinkan mereka kepada cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS."

Visi Dewan Muslimat ialah "Tertegaknya Daulah Islamiyyah di Malaysia Menerusi Tenaga Muslimat". Pencapaian visi tersebut disertai dengan misi membina masyarakat berakhlak dalam semua bidang kehidupan manusia dan pendokong kepada ajaran Islam sebenar; dan melahirkan muslimat mujahidah berilmu, beriman, beramal, bertaqwa berperanan sebagai da'ei kepada masyarakat.

Tujuan penubuhan Dewan Muslimat adalah untuk (i) Menyatupadukan wanita-wanita Islam ke arah pembentukan perjuangan yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya; (ii) Menanam dan menghidupkan jiwa dan semangat keIslaman sebenar agar segenap ajaran dan petunjuk Islam menjadi amalan dalam penghidupan wanita seharian; (iii) Berusaha memperbaiki nasib dan darjat penghidupan wanita-wanita Islam; dan (iv) Bekerjasama dengan ahli-ahli PAS lain untuk melaksanakan segala cita-cita dan tujuan PAS.

DR ROHANI | KEPIMPINAN MUSLIMAT YANG DINAMIK

Dr. Rohani Abdul Mutalib merupakan tokoh politik muslimat yang tidak asing lagi bukan sahaja di Kubang Pasu malah di negeri Kedah Darul Aman. Penglibatan awalnya dalam saf kepimpinan PAS Kubang Pasu bermula pada tahun 2001 iaitu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa tambahan PAS Kubang Pasu di era kepimpinan Ustaz Yusof Abdullah (YDP Kubang Pasu). Kini peranan dan sumbangannya memacu perkembangan dan kemajuan muslimat dan Dewan Muslimat PAS Kubang Pasu tidak boleh dipertikaikan lagi.

Di atas komitmen dan iltizamnya yang tinggi memperjuang cita-cita Islam melalui wadah PAS ini, maka beliau telah diberi kepercayaan oleh parti menjadi calon bertanding dalam Pilihanraya Umum sebanyak dua kali iaitu pada PRU 11 dan 12 lalu. Dr Rohani merupakan calon pilihanraya dari kalangan muslimat yang pertama dalam sejarah politik PAS Kubang Pasu. Sekaligus telah melenyapkan dakwaan kolot dan jumud UMNO bahawa PAS menolak wanita sebagai calonnya.

Kepimpinan Dr Rohani sebagai Ketua Dewan Muslimat Kubang Pasu bermula tahun 2003, apabila di pilih oleh perwakilan muslimat Kubang Pasu dalam Mesyuarat Agong Tahunan Muslimat pada masa itu. Kepimpinannya kekal sehinggalah ke hari ini. Perlu diakui bahawa kepimpinannya telah banyak membawa kemajuan yang baik kepada PAS Kubang Pasu, khususnya dikalangan muslimat serta pengundi wanita. Ia sekaligus telah meletakkan Dewan Muslimat sebagai tenaga penting dan berkesan dalam gerak kerja pilihanraya, di samping dakwah dan tarbiyyah.

Suatu yang perlu dikongsi bersama tentang Dr Rohani ialah sikap ramah, dedikasi dan prihatin terhadap ahli dan rakyat telah menyebabkan ada dikalangan ahli dan aktivis PAS mahu mencalonkannya sebagai Yang DiPertua PAS Kubang Pasu pada sesi 2009/2011 akan datang. Walaupun mungkin hal ini sukar dilaksanakan kerana persepsi dan isu fundemantal yang masih menebal dikalangan ahli-ahli yang berfikiran konservatif, namun sekurang-kurangnya ia telah membuka ruang wacana dan pemikiran baru dalam PAS Kubang Pasu.

Hakikatnya kita harus mengakui bahawa Dr Rohani adalah di antara kepimpinan muslimat Kubang Pasu yang dinamik dan memiliki karisma yang tersendiri perlu dimanfaatkan untuk perjuangan Islam di masa kini. Sokongan padu dan bersungguh-sungguh kepadanya menjayakan visi dan misi Dewan Muslimat PAS Kubang Pasu perlu digarap kembali oleh seluruh ahli, aktivis dan penyokong PAS serta saf kepimpinan PAS, supaya ia akan melahirkan natijah yang baik kepada PAS di masa depan.

MUSLIMAT | POLITIK DAN PILIHANRAYA

Umum telah ketahui bahawa PAS berjaya meraih kemenangan di beberapa negeri, atas dasar ”tahaluf siasi ” iaitu kerjasama politik. Kini PAS telah mengwujudkan kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di Kedah, Perak dan Selangor, di samping mengekalkan kekuasaannya di Kelantan dan berkerjasama di Pulau Pinang.

Kemenangan PAS di Kedah telah meletakkan peranan dan tanggungjawab muslimat lebih mencabar dan kompleks. Tuntutan dan harapan mengisi kemenangan ini sudah tentulah di tagih oleh rakyat, khususnya ahli-ahli PAS dan seluruh penyokong Pakatan Rakyat, di samping juga masyarakat awam.

Oleh itu, Dewan Muslimat Kubang Pasu perlu menoleh dan mendonggakkan muka mereka melihat sekelilingnya tentang peranan yang sepatut dimainkan. Sebagai salah satu sayap kepada PAS, Muslimat PAS mesti mampu melepasi kepungan pemencilan dan kekangan yang membatas peranan dan sumbangan yang wajar dilaksanakan. Muslimat mesti kehadapan menjadi tenaga penting dalam semua bidang kemasyarakatan khususnya dalam menaikkan martabat wanita, meletakkan hak-hak wanita kembali ke tempat asalnya serta membela masyarakat wanita yang ditindas serta golongan remaja dalam Kubang Pasu.

Ini kerana, PAS adalah perjuangan suci dan berbeza dengan perjuangan feminisme barat yang menjadi ikutan wanita UMNO yang sering dilihat bersaing hebat dengan kaum lelaki di segenap ruang kehidupan yang beroreantasikan keduniaan semata-mata. Menghidupkan peranan Dewan Muslimat Kubang Pasu sebagai pendokong dan pelengkap terhadap agenda PAS sebagai sebuah Jamaah Islam untuk mengangkat tamadun dan martabat manusia selari dengan ajaran Islam adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringgan oleh muslimat itu sendiri.

Sokongan terbuka ahli dan aktivis PAS terhadap kepimpinan Dr Rohani menerajui Dewan Muslimat pada penggal 2009/2011 akan datang mesti dilihat sebagai sesuatu harapan yang cukup tinggi dan ditanggapi dengan keinsafan. Jawatan bukanlah menjadi sandaran mutlak untuk melakukan kerja untuk Islam. Tetapi, tanpa jawatan adalah sukar untuknya melakukan kerja kerana ia merupakan hukum beroganisasi yang telah diterima pakai oleh sekalian manusia.

Oleh itu, sokongan yang diberikan kepadanya hendaklah dilihat sebagai jelmaan manifestasi kepercayaan, keyakinan serta pengiktirafan oleh ahli dan aktivis kepadanya untuk memacu muslimat Kubang Pasu melayari bahtera perjuangan di Kubang Pasu ini. Semoga Dr Rohani lebih gigih dan bertenaga serta mampu memberi sentuhan yang lebih bermakna kepada PAS Kubang Pasu, khususnya muslimat dan golongan wanita serta remaja. Sesungguhnya, ‘tangan yang menghayun buaian, mampu untuk mengoyang dunia’ seperti yang selalu diungkapkan olehnya akan menjadi kenyataan.

Selamat berjuang dengan gigih kepada Dr. Rohani.

No comments: