Friday, January 16, 2009

TAHUN 2009 : TAHUN AHLI MENILAI KEPIMPINAN PAS

Tahun 2009 Masehi bersamaan 1430 Hijrah merupakan tahun sangat penting buat Parti Islam SeMalaysia (PAS). Ini kerana ia adalah tahun pemilihan kepimpinan PAS di semua peringkat iaitu cawangan, kawasan dan pusat termasuk juga dewan-dewan iaitu Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat. Proses pemilihan kepimpinan PAS samada di peringkat Pusat dan kawasan-kawasan, sudah nampak riak-riak kecil akan berlaku perubahan di peringkat kepimpinan. Sebaliknya di peringkat cawangan dijangka tidak berlaku banyak perubahan kerana faktor-faktor fundemantal yang mungkin mempengaruhi pola pemikiran, sikap dan juga tindakan ahli-ahli PAS berkenaan dalam menanggapi hal berkaitan proses pemilihan kepimpinan parti.

Sebab terjadi angin perubahan kepimpinan sukar dijelaskan. Membuat andaian kerana yang ingin menawarkan diri menjadi pemimpin ataupun menerima pencalonan dari organ-organ parti suoaya menjadi pemimpin adalah kerana berkepentingan diri ataupun kerana nafsu dendam kesumat, hasad dengki ataupun cemburu ia bukanlah telahan yang rasional dan boleh di terima oleh kita yang berfikiran waras. Ataupun berpersepsi bahawa ahli-ahli PAS yang bersedia menerima tawaran pencalonan sebagai kepimpinan adalah tidak layak ataupun menjadi alat melaksanakan agenda musuh PAS adalah sesuatu yang trajis dan perlu diinsafi.

Sesungguhnya proses pemilihan kepimpinan PAS bukanlah berita buruk kepada kepada mana-mana individu yang sedang menjawat sebagai kepimpinan sekarang. Ataupun kerana berlakunya perpecahan di peringkat organisasi parti. Sebaliknya ia mesti ditanggapi sebagai suatu proses ke arah memantapkan organisasi dan usaha melahirkan pasukan kepimpinan yang lebih releven dan berketrampilan dalam menangani cabaran semasa yang semakin rencam dan ‘complicated’ yang berlaku dalam parti, maupun luar parti.

Apatah lagi, PAS kini menjadi sebuah parti yang disebut sebagai ‘King Maker’ dalam penentuan kuasa membentuk sebuah kerajaan yang memerintah samada di peringkat kerajaan negeri maupun pusat pada masa kini ataupun masa akan datang. Di samping, memastikan diamanahkan rakyat kepada PAS menerajui pemerintah di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Kedah dan Perak, di samping Selangor yang beberapa pemimpin PAS telah diamanahkan berada dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Perlembagaan PAS

Jika kita menghayati roh dan semangat serta arahan dalam Perlembagaan PAS, secara jelas kepimpinan PAS masa lampau yang terlibat menggubal Perlembagaan PAS telah dapat melihat jauh kehadapan tentang soal kepimpinan dan hak-hak ahli.

Di mana, secara ringkasnya boleh difahami bahawa PAS setiap dua (2) tahun sekali akan menilai kepimpinan yang telah diamanahkan untuk mengurus dan memimpin PAS (perlu dibaca : organisasi, keahlian, gerak kerja kerja berkaitan tarbiyyah, dakwah dan politik) berada di tahap mana. Dalam erti kata, adakah saf kepimpinan yang telah diamanahkan telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya ataupun sebaliknya. Ahli-ahli PAS telah diberi ruang dalam Perlembagaan PAS untuk menilai kepimpinan mereka masing-masing. Itulah kehebatan PAS dalam menentukan saf kepimpinannya. Dua tahun sedah cukup bagi satu sesi kepimpinan untuk menzahirkan idelaisme kepimpinannya, walaupun kadangkala tempoh dua tahun di kira singkat berbanding tiga, empat, lima atupun sepuluh tahun.

Setiap dua (2) tahun, ahli-ahli PAS diberi peluang untuk menggunakan hak-hak mereka yang telah dipelihara dalam Perlembagaan PAS untuk menilai prestasi kepimpinan PAS di mana jua peringkat. Di samping boleh memanfaatkan hak-hak mereka dalam peruntukan perlembagaan PAS, Fasal 14 ceraian 1 (a) dan (b) secara jelas menyebut bahawa ahli berhak untuk memilih dan dipilih.

Kebiasaannya penilaian ahli-ahli PAS kepada saf kepimpinan berkisar kepada gerak kerja tarbiyyah (usrah, tamrim, mukhayyam, liqa’ fikr, qiamullail, ijtimak, kulliah, dsb) yang menjadi mekanisme terpenting dalam PAS untuk menguwujudkan kesatuan fikrah dan kesatuan amal. Di samping, pemimpin juga akan dinilai dari segi hubungan antara mereka dengan ahli-ahli di peringkat cawangan (perjumpaan cawangan), peranan pemimpin dalam masyarakat khususnya meletakkan dirinya sebagai ‘orang penting’ kepada masyarakat dalam menyelesaikan sesuatu isu, aktiviti-aktiviti yang mampu merancakkan tempo perjuangan PAS samada program bersifat dalaman ataupun luaran, prestasi organisasi di peringkat kawasan, dewan-dewan dan cawangan juga akan dipertanggungjawapkan kepada kepimpinan dan pelbagai lagi penilaian yang akan diukur oleh ahli-ahli PAS.

Umumnya, ahli-ahli PAS yang menjadi lebih aktif dan bertenaga sekiranya kepimpinan yang diamanahkan memimpin lebih aktif dan bertenaga. Inilah hal fundamental yang perlu disedari oleh semua. Keaktifan ataupun kelesuan ahli dan organisasi dicorakkan oleh kepimpinan yang diamanahkan. Oleh itu, kepimpinan PAS di mana jua peringkat wajar menerima hakikat bahawa ahli-ahli PAS kebiasaannya menanti sentuhan kepimpinan untuk mereka bergerak cergas dan pro aktif. Kepimpinan yang membiarkan ahli-ahli ataupun cawangan hidup di atas kapasiti yang terhad dalam segenap segi dalam persikataran mereka akan dipersalahkan dan wajar bersedia memperbaikinya dengan segera.

Kubang Pasu : Kepimpinan Masa Depan PAS

Sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951 sehinggalah hari ini, proses pemilihan dan pertukaran kepimpinan PAS berlaku dengan penuh bijaksana dan secara jujurnya telah membawa kebaikan kepada PAS samada dalam jangka masa pendek, maupun dalam jangka masa panjang. PAS terus hidup dan bertahan, walaupun terpaksa melalui pelbagai tekanan dan rintangan.

Dalam konteks Kubang Pasu, secara jujur kita mesti mengakui bahawa kepimpinan yang ada sekarang ataupun masa lampau telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. Mereka membuktikan kepada kita semua bahawa mampu meredah segala rintangan dan ujian samada dari dalam maupun luar PAS dengan tabah dan sabar. Kejujuran, keikhlasan serta iltizam mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Sewajarnya sekalung penghargaan dan sanjungan kita rakamkan kepada mereka samada yang telah pergi menemui Penciptanya ataupun yang masih hidup.

Namun disebalik kebaikan dan keikhlasan yang telah mereka curahkan, ia tidak bermakna ahli-ahli PAS dalam Kubang Pasu tidak berhak untuk menilai kepimpinan mereka dalam konteks yang lebih luas dan secara objektif, demi kepentingan PAS. Sesungguhnya, perlu disedari bahawa ahli-ahli PAS masa kini bersikap lebih kritikal dalam pemikiran, sikap, pandangan dan tindakan kerana mereka terdedah dengan sumber maklumat yang terbuka dan pelbagai. Di samping, ahli-ahli PAS adalah terdiri dari pelbagai latarbelakang iktisad yang sukar untuk diseragamkan kecuali dalam hal-hal yang berkaitan dengan aqidah perjuangan, dasar-dasar perjuangan, matlamat dan cita-cita perjuangan yang berpaksikan kepada ajaran Islam. Tapi dalam perkara yang dibenarkan khilaf, ahli-ahli PAS bersifat kritikal dan perlu dihadapi dan diuruskan dengan cermat dan berhemah supaya ia tidak memberi kesan buruk dan fitnah kepada PAS dan perjuangan Islam yang didokongi ini.

Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ahli-ahli PAS Kubang Pasu sentiasa memerhati setiap gerak geri kepimpinan PAS masa kini. Mereka akan terus di nilai oleh ahli-ahli PAS samada mereka wajar dikekalkan sebagai kepimpinan pada sesi 2009/2011 ataupun mereka wayar berlapang dada menyerahkan tugas dan tanggungjawab sebagai kepimpinan kepada ahli PAS yang lain. Hakikatnya, saf kepimpinan PAS Kubang Pasu masa kini akan dinilai dalam dua jenis tanggungjawab, iaitu, pertama, tanggungjawab terhadap PAS dan kedua, tanggungjawab sebagai pemerintah. Justeru kedua-dua ini akan menjadi topik hangat yang akan diperkata oleh ahli-ahli PAS Kubang Pasu, walaupun kadangkala ia menyentuh peribadi seseorang pemimpin. Percayalah, perbincangan, debat, dialog ataupun polimek dikalangan ahli-ahli PAS terhadap saf kepimpinan tidak akan selesai , selagi mana gaya, tindakan ataupun sikap yang diharapkan oleh ahli-ahli tidak dapat dihayati dan ikuti oleh kepimpinan. Lebih parah lagi apabila peringkat kepimpinan turut terlibat mempertahankan perkara yang dipersoalkan oleh ahli-ahli dalam bentuk mempertahankan kelemahan yang ada pada diri mereka ataupun menuding jari kepada pihak lain.

Akhirnya, perlu diakui bahawa Kubang Pasu ramai ahli-ahli PAS yang berpotensi digilap dan di beri peluang untuk memimpin samada pada sesi 2009/2011 ataupun pada masa akan datang. Itupun jika kepimpinan yang sedia ada boleh mengakui bahawa mereka tidak lagi releven serta mampu untuk mengharungi cabaran perjuangan yang semakin rencam di zaman ini. Sebaliknya jika mereka rasakan bahawa ahli-hali PAS lain tidak sehebat ataupun selayak apa yang mereka miliki maka ahli-ahli PAS berhak untuk menggunapakai peruntukkan Perlembagaan PAS dalam Fasal 14 ceraian 1(a) dan (b) iaitu ‘ahli-ahli PAS berhak untuk memilih dan dipilih’.

No comments: