Wednesday, January 21, 2009

KUBANG PASU | REALITI DAN PERSOALAN MASA KINI


KUBANG PASU : KEPIMPINAN HARAPAN BARU

PAS Kubang Pasu telah menjangkau usia 33 tahun (baca : 33 Kali Mesyuarat Agong Tahunan) sejak ia ditubuhkan. Dalam tempoh tersebut pelbagai liku-liku perjuangan telah dilalui, ada ketikanya pahit dan manis. Kesinambungan perjuangan dan kepimpinan PAS di Kubang Pasu bertukar ganti di antara yang lama dan baru. Kemuncak dan kerancakkan gerakkerja PAS Kubang Pasu amat dirasai di era 80an hinggalah dipenghujung tahun 90an. Tiada siapa yang boleh menafikan.Di era itulah saya mula menyertai PAS (1985), hasil dari kesedaran sendiri dan terus mengikuti PAS dengan lebih dekat melalui program tarbiyyah haraki yang dianjurkan oleh PAS Kawasan.

Dalam tahun 80an, PAS kawasan Kubang Pasu telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah kepada program Ijtimak Musthad’ affin (Markaz PAS Tok Kesop), Himpunan Pemuda Islam Malaysia (Asun), Ijtimak Pemuda PAS Kedah (Padang Limau) dan banyak lagi program dalaman PAS yang dianjurkan oleh PAS itu sendiri.

Era 80an dikatakan sebagai era pengukuhan akidah perjuangan ahli-ahli PAS. Pengisian difokuskan ke atas perkara berkaitan iman dan kufur. Pemahaman terhadap tassawur perjuangan Islam melalui wadah PAS menjadi topik dalam setiap ucapan para pemimpin. Di tahun 80an, berlakunya ujian getir kepada PAS, apabila pasukan kepimpinan ulamak mengambil-alih tampuk kepimpinan di peringkat pusat dan ikuti diperingkat negeri, diikuti dengan perletakan jawatan beramai –ramai oleh pemimpin PAS pro Datuk Mohd Asri (Yang DiPertua) PAS ketika itu.

Kegawatan dalam PAS dapat ditanggani dengan bijaksana dan berhemah oleh gandingan Trio-Ulamak Haraki yang memimpin PAS iaitu Al-Marhum Tuan Guru Yosof Ar-Rawa (Yang DiPertua PAS Pusat), Al-Marhum Dato Ustaz Hj Fadzil Mohd Noor (Presiden PAS) dan YB Dato Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang (Presiden PAS sekarang).

Dalam konteks PAS Kubang Pasu pula, kepimpinan PAS di era 80an telah diamanahkan kepada Al-Marhum Ustaz Ahmad Yusof sebagai Yang DiPertua PAS Kawasan dengan aktivis-aktivis yang istiqomah dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

KUBANG PASU DI ERA 80AN

Al-Marhum Ustaz Ahmad Yusof (bapa Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu – Ustaz Yusof Hj Ahmad) adalah merupakan kepimpinan Ulamak PAS Kedah yang sangat dihormati. Di samping sebagai Yang DiPertua PAS Kubang Pasu, beliau juga dilantik sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah.

Antara AJK PAS kawasan yang masih segar diingatan berada di dalam saf kepimpinan PAS Kubang Pasu ketika itu ialah Allahyarham Rahman Mahadi (bekas pemangku Setiausaha Agung PAS di zaman Dr Abas) dilantik sebagai Penolong Setiausaha PAS kawasan, Allahyarham Cikgu Mohd Zain Yunus selaku Timbalan YDP Kawasan, Allhayarham Pak Lah Changlon, Allahyarham Pak Ak Wang Tepus, Allhayarhamah Ustazah Fathahiah (Ketua Dewan Muslimat), Ustaz Hj Abu Kassim, Setiausaha PAS Kubang Pasu, Cikgu Wahab Abdul Rahman, AJK PAS Kawasan dan ramai lagi.

Dewan Pemuda pula dipimpin oleh saudara Mohd Kamal Ismail (sedang uzur) selaku ketua, Allahyarham Dr Azizan Hj Ismail (Timbalan Ketua Pemuda), Saad Hashim (Setiausaha), Ahmad Hj Din (Bendahari), Basir Ismail (Ketua Penerangan), Allahyarham Sidek Abdullah, Ismail Abdullah, Mokhtar Bidin, Ariffin Kassim dan ramai lagi.
Kesemua mereka adalah kepimpinan yang memiliki fikrah tulen PAS. Tassawur dan aqidah perjuangan Islam dibina melalui Madrasah Tarbiyyah PAS. Aktiviti tarbiyyah seperti usrah, tamrin, liqa’ fikr, mukhayyam dan ijtimak hidup subur dan melata di seluruh cawangan-cawangan.

Kini, semua nama-nama kepimpinan masa lampau yang dicatatkan sebahagiannya tidak dikenali oleh generasi sekarang. Sehingga ada yang merasakan mereka di sisih, apa tah lagi tidak hormati. Ada yang terus difitnah dengan cerita –cerita yang berasal-usul dari pergeseran peribadi yang tiada kaitan langsung dengan PAS. Gejala menfitnah dan memburuk-buruk keperibadian seseorang ahli-ahli maupun aktivis PAS yang di bawa masuk ke dalam Jamaah PAS adalah berpunca antaranya kerana, tiadanya ikatan ukhwah fillah sesama ahli-ahli, kesan dari ketiadaan aktiviti tarbiyyah haraki.

MEMPERTAHANKAN KEMENANGAN PAS

Tanggungjawab dan peranan ahli-ahli dan aktivis PAS semua peringkat dalam kawasan Kubang Pasu ketika ini ialah bersatu padu serta bersedia memainkan peranan mereka masing-masing untuk mempertahankan kemenangan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang dipimpin oleh YAB Dato Seri Ustaz Azizan Hj. Abdul Razak juga sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah. Ia perlu dilakukan oleh seluruh ahli dan aktivis PAS dalam kerangka yang dibenarkan, termasuk dalam keadaan susah ataupun senang, berjawatan ataupun tidak, bergaji ataupun tidak, dipuji ataupun dikeji, dipinta ataupun dihalang, disanjung ataupun disingkirkan.

Sesungguhnya seluruh ahli PAS secara sedar ataupun tidak sebenarnya telah berbai’ah dengan Jemaah Islam ini. Berbai’ah untuk meneruskan perjuangan Islam melalui wadah PAS. Kebaradaan kita dalam PAS adalah suatu kewajiban yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja..

Namun, tanggungjawab secara rasmi dalam konteks organisasi parti PAS ia terletak kepada kepimpinan PAS yang diamanahkan. Samada bersetuju ataupun tidak, tanggungjawab dan peranan terletak di atas bahu mereka (saf Kepimpinan). Ia segalanya mesti bermula dari mereka. Jika mereka peka, beriltizam dan beristiqomah dalam perjuangan Islam ini, sudah pasti mereka bersedia memikul tanggungjawab dan menjalankan tugas ini secara serius dan bersungguh-sungguh.

Dalam erti kata lain, bukan sekadar dasar, cita-cita dan matlamat perjuangan dipertahankan, bahkan ia akan perlu dilaksanakan apabila kita (PAS) telah diberi mandat oleh rakyat menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah. Membiarkan segala-galanya dilaksanakan oleh kepimpinan di peringkat negeri sahaja ia adalah sikap yang melemahkan perjuangan, sekaligus menjatuhkan motivasi ahli-ahli itu sendiri.

Perlu disedari bahawa seluruh ahli dan aktivis PAS Kubang Pasu telah sekian lama menunggu sentuhan kepimpinan Kubang Pasu mengisi makna kemenangan, di samping menggorak langkah mempertahankan kemenangan PAS pada PRU 13 akan datang. Namun penantian dalam tempoh masa yang berlalu, ia masih tidak kunjung tiba. Tidak memperdulikan rungutan dan rasa kurang senang ahli-ahli dan aktivis PAS dalam hal ini sebenarnya adalah jelmaan kelemahan saf kepimpinan Kubang Pasu yang perlu diinsafi oleh mereka yang berkenaan.

No comments: