Thursday, January 22, 2009

PASUKAN KEPIMPINAN BARU PAS KUBANG PASU

Program perjumpaan aktivis PAS Kubang Pasu yang diadakan malam tadi (Khamis) telah mencapai keputusan muktamad tentang calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kubang Pasu Kali Ke-33 tidak berapa lagi.

Menurut Koodinator Calon Pasukan Kepimpinan Baru PAS Kubang Pasu, saudara Asri Baharom berkata, perjumpaan yang diadakan malam tadi termasuk aktivis PAS, beberapa AJK PAS Kawasan dan AJK Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu, Ketua – Ketua PAS cawangan telah bersetuju menerima calon-calon Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kubang Pasu sesi 2009/20011 yang telah dikemukakan.

Asri menambah bahawa, perjumpaan malam tadi telah memutuskan untuk mencalonkan semua jawatan yang telah ditetapkan. Tuan Hj. Noh bin Abdullah telah dicalonkan bertanding jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap pula ialah saudara Zakaria Bin Hj Ahmad telah dicalonkan untuk bertanding. Kedua-dua calon tersebut adalah merupakan aktivis PAS yang telah bergiat sejak tahun 80an lagi.

Bagi jawatan penting dalam parti iaitu Yang Dipertua, Timbalan Yang DiPertua, Naib Yang DiPertua dan Ketua Urusan Ulamak, perjumpaan malam tadi sebulat suara mencalonkan gandingan orang baru dan lama mengisi jawatan tersebut.

Mohd Jamal Nasir telah dipilih sebagai calon utama untuk bertanding jawatan Yang DiPertua PAS Kubang Pasu. Mohd Nasir merupakan seorang jurutera perunding merupakan aktivis PAS sejak di menara gading dan juga telah dilantik sebagai AJK PAS Kubang Pasu pada pertengahan tahun lalu. Sebelum ini pernah terlibat dalam beberapa jawatan strategik parti di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Kedah.

Jawatan Timbalan Yang DiPertua akan ditandingi oleh Hj Taib Ahmad, mantan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Negeri, juga pernah memegang jawatan Ketua Penerangan di era kepimpinan Ustaz Abu Kassim L. Abdullah (YDP Kubang Pasu) suatu ketika lalu. Hj Taib adalah di antara kumpulan gerakan pelajar Universiti terdiri seramai 80 orang yang telah berbai’ah dengan Al-Marhum Tuan Guru Hj. Yusof Ar-Rawa Yang DiPertua PAS Pusat dan Al-Marhum Dato Hj Fadzil Mohd Noor (Timablan Yang DiPertua PAS Pusat) Yang DiPertua PAS Pusat di era kepimpinan ulamak untuk menolak tawaran berkhidmat dengan kerajaan UMNO/BN dan memilih bertugas sepenuh masa dengan PAS. Antara rakan-rakan seangkatan yang rapat dengannya ialah Datuk Paduka Husam Musa dan Dato’ Takiyuddin Hassan yang kini dilantik sebagai Exco kerajaan Kelantan. Di samping beberapa Ahli Parlimen termasuklah YB Ustaz Mohammad Husin (Pasir Puteh), YB Saifuddin Nasution (Machang) dan Ustaz Idris Hj Ahmad, AJK PAS Pusat.

Bagi jawatan Naib Yang DiPertua, Cikgu Mohd Noor Hanapi telah dipilih sebagai calon bagi sesi 2009/2011. Beliau merupakan seorang aktivis yang memiliki fikrah tulen PAS. Memegang pelbagai jawatan parti diperingkat kawasan dan negeri (sebelum ini). Jawatan tertinggi yang disandang olehnya ialah sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah Darulaman. Sekarang aktif memimpin usrah di beberapa kawasan dalam negeri Kedah Darul Aman, juga sebagai Setiausaha Masjid At-Muttaqim, Bandar Darulaman.

Tokoh ulama dalam PAS Kubang Pasu, Tuan Hj Taib Hj. Hassan telah dicalonkan sebagai Ketua Urusan Ulamak. Beliau seorang yang istiqomah dalam program tarbiyyah dalam dan luar kawasan Kubang Pasu sejak 20 tahun lalu hingga ke hari ini.

Bagi 12 Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu yang dicalonkan untuk bertanding ialah Abdul Hamid Mat Akhir, Azizan @ Mahammad Wahab, Abdul Rahman Ahmad, Basir Hj Ismail, Hashim Abdul Rashid, Hashim Abu, Kaman Jaapar, Mohd Dzohir Hamid, Rosli Omar, Taib Abdul Rahman, Saadon Hashim dan Zabedi Usop.

Pemeriksa kira-kira pula, aktivis PAS telah mencalonkan muka baru iaitu Mokhtar Hamid dan Abdul Ghani Shafie.

Asri menambah, “kesemua calon-calon yang dipilih untuk bertanding memiliki kelebihan dan kekutan masing-masing. Namun keutamaan pemilihan mereka ialah kerana telah dikenalpasti memiliki fikrah tulen PAS, di samping pengalaman dalam gerak kerja dalam parti PAS samada berkaitan tarbiyyah dan politik”.

Sehubungan itu, Asri mengharapkan semoga calon-calon yang dicadangkan oleh aktivis PAS di terima oleh seluruh ahli dan PAS cawangan seluruh Kubang Pasu demi memastikan gerak kerja parti di masa depan berjalan lancar.

No comments: