Tuesday, January 20, 2009

MOHD JAMAL NASIR CALON PENGGANTI YDP KUBANG PASU MASA DEPAN


Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kubang Pasu dalam masa terdekat tahun ini akan menyaksikan pencalonan muka-muka baru sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan bagu sesi 2009/2011. Sumber yang diperolehi bahawa hampir separuh AJK PAS Kubang Pasu tidak akan mempertahankan jawatan mereka masing-masing. Antara alasannya ialah ingin memberi peluang kepada muka-muka baru menduduki jawatan AJK PAS Kubang Pasu, sekaligus dapat memberi nafas baru dalam organisasi serta merancakkan gerak kerja ke arah memperkasa PAS itu sendiri.

Sumber dikeluarkan oleh aktivis PAS yang membentuk ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ PAS Kubang Pasu sedang menilai untuk mencalonkan Mohd Jamal Nasir, bertanding jawatan Yang DiPertua PAS Kubang Pasu. Cadangan ini adalah kerana mahu memberi pelepasan kepada YB Dato’ Dr. Hj Abdul Isa Ismail (YDP sekarang) menumpukan kerja-kerjanya sebagai Yang Dipertua Dewan Undang Negeri Kedah (Speaker) yang disandangnya sekarang ini.

Menurut Asri Baharom, Koodinator calon-calon ‘Pasukan Kepimpinan Baru’ PAS Kubang Pasu bahawa kita amat memahami tentang tugas berat yang dipikul oleh seorang Speaker Kerajaan Negeri, apatah lagi dalam tempoh penggal pertama kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh PAS menerajui tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Asri menambah, “ahli-ahli PAS mesti memahami tentang kedudukan YB Dato’ Hj Abdul Isa yang dibebankan pelbagai tanggungjawab sebagai seorang Speaker. Kekangan masa dan tenaga yang terhad sudah pasti beliau tidak dapat menumpukan gerak kerja yang berkesan kepada PAS Kubang Pasu. Oleh itu, melepaskannya menumpukan kerja-kerja sebagai seorang Speaker adalah wajar dipertimbangkan oleh ahli-ahli PAS seluruhnya”.

Berhubung dengan calon pengganti Yang DiPertua PAS Kubang Pasu, Asri berkata aktivis PAS telah mencadangkan Mohd Jamal Nasir sebagai calon pengganti yang bersesuaian dan tepat. Ini kerana, Mohd Jamal ialah seorang Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu yang dilantik tahun lepas yang kini bergiat cergas dalam kawasan samada dalam parti, maupun badan bukan kerajaan (PEMBELA).

Mohd Jamal Nasir, 41 tahun merupakan seorang jurutera dan konsultan dalam bidang alam sekitar dan kejuruteraan awam. Kini membuka firmanya sendiri yang berpengkalan di Bandar Darulaman, Jitra. Di samping sebuah syarikat perniagaan dalam bidang bahan kimia kerjasama dengan SIRIM Berhad.

Beliau memiliki kelulusan di peringkat Master Engeneering (Environmental) dari Universiti Teknologi, Skudai pada tahun 2003. Pernah juga dilantik sebagai pensyarah di UITM, Arau dan Open Universiti Malaysia (OUM) dan berkhidmat sebagai saintis dengan sebuah firma antarabangsa (Perancis) dalam kualaiti air minuman dan sisa buangan bertoksid.

Secara ringkas, latarbelakang penglibatannya dengan PAS ialah sejak di peringkat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dilantik sebagai Exco Persatuan Mahasiswa UTM. Antara pimpinan dan aktivis PAS yang seangkatan dengannya ketika itu ialah YB Dato’ Nik Amar Nik Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan sekarang), YB Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh ( Adun Melor), Lutfi Othman (Ketua Pengarang Harakah/Pengamat Politik Tanahair) dan Ustaz Idris Hj Ahmad, AJK PAS Pusat.


Menurut Koordinator calon-calon ‘Pasukan Pemimpin Baru’ PAS Kubang Pasu lagi, “Mohd Jamal adalah antara calon sesuai untuk mengantikan YB Dato Hj. Abdul Isa memimpin PAS Kubang Pasu dan menggalas tanggungjawab besar menjayakan visi dan misi parti menghadapi PRU 13 akan datang”.

Asri menjelaskan maksud calon yang sesuai iaitu, Mohd Jamal memiliki pengalaman dalam gerak kerja PAS, di samping faktor usia dan kedudukan ekonomi yang kukuh serta memiliki fikrah tulen PAS. Inilah kesesuaian yang dimaksudkan yang ada kepada Mohd Jamal yang dikenali secara dekat.

Mohd Jamal pernah menjawat beberapa jawatan strategik parti di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Kedah.

“Ahli-ahli tidak perlu meragui tentang kemampuan Mohd Jamal kerana ia adalah seorang aktivis PAS yang telah dibentuk di peringkat Universiti dan memiliki fikrah tulen PAS” kata Asri lagi.

Sesungguhnya kekuatan PAS antaranya bergantung rapat di atas fikrah seorang pemimpin tersebut. Fikrah tulen akan menghasil gerak kerja yang selari dengan dasar, cita-cita dan matlamat perjuangan PAS. Faktor pengalaman, fikrah, ekonomi dan kerjaya telah meletakkan Mohd Jamal adalah calon paling ideal mengganti YB Dato Dr. Hj. Abdul Isa apabila melepaskan jawatan sebagai Yang DiPertua PAS Kubang Pasu nanti.

Sesungguhnya PAS Kubang Pasu memerlukan seoarang pemimpin yang bukan sekadar mampu merancang di atas kertas dan mengarah orang lain untuk melaksanakannya ataupun mengemukana teori semata-mata yang tidak realistik dalaman PAS, sebaliknya sanggup turut terlibat dengan sepenuh masa, tenaga, buah fikiran dan jiwa kepada perjuangan Islam melalui wadah PAS. Di samping memahami setiap keputusan yang bakal di ambil kerana ia akan memberi natijah kepada PAS itu sendiri.

Oleh itu, memberi peluang kepada Mohd Jamal memimpin Kubang Pasu adalah tindakan yang tepat dan kena pada masanya. Ia merupakan peluang keemasan kepada PAS Kubang Pasu untuk menggorak langkah dengan lebih bergaya dan berkesan di masa depan. Justeru memberi nafas baru kepada seluruh ahli-ahli dan aktivis PAS serta organisasi yang bernaung di bawah PAS untuk memastikan kemenangan kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Kedah dapat dipertahankan dalam PRU 13 akan datang.

1 comment:

mihnaz said...

Moga2 kepimpinan kawasan KP yang bakal dilantik khususnya bakal YDP akan bekerja sebaik mungkin, jangan bekerja waktu kemenangan sahaja, tetapi menghilang waktu kekalahan. Perjuangan yang kita dokong bermatlamatkan dunia yang sejahtera dan akhirat yang abadi, jangan lebihkan kehendak dunia kerana ianya tidak kemana2.wassalam