Thursday, January 29, 2009

PENJELASAN | ISU BAKAR BENDERA PAS

Oleh : Basir Hj. Ismail

Mula-mulanya saya (Basir Hj Ismail) selaku aktivis PAS dan juga Setaiusaha Agong Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA) hanya mahu mendiamkan diri berhubung isu bakar bendera PAS yang dirancang oleh pihak tertentu dalam insiden kekecohan peniaga pasar malam Batu 13, Kemunting, Jitra dengan pihak Majlis Dearah Kubang Pasu, kira-kira 2 minggu lalu. Tetapi setelah dihujani dengan pelbagi pertanyaan dan berita yang bersifat fitnah, maka saya ambil keputusan untuk menjawabnya melalui blog Harapan Baru Kubang Pasu pada hari ini.

Tujuan saya menjelaskan kedudukan isu ini bukan bertujuan untuk menegakkan benang basah atau mencari publisiti serta menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya untuk mempertahankan diri semata-mata. Di samping menjaga nama baik PEMBELA yang kini semakin hari mendapat perhatian banyak pihak. Harapan saya setelah perkara ini dijawab, maka tidak ada lagi mana-mana pihak terus menuduh ataupun mengaitkan saya maupun PEMBELA berhubung isu bakar bendera PAS maupun campurtangan dalam isu peniaga pasar malam Batu 13, Kemunting, Jitra yang berlaku awal bulan Januari lalu.

BAKAR BENDERA PAS

Pada hari kejadian ( 5 Jan ), sekitar jam 12.45 tengahari ketika saya dan dua orang aktivis PAS iaitu saudara Muslim Daud dan Rosli Omar sedang menjamu selera di sebuh warung di Bandar Darulaman untuk mengisi perut yang tiba-tiba lapar kerana tidak sarapan pagi pada hari tersebut. Sedang saya dan aktivis PAS menjamu selera ikan bakar dan ulam kampong, tiba-tiba masuk satu panggilan dari saudara Sarip Satay (nama panggilan) yang memaklumkan bahawa pada petang ini ‘sekumpulan peniaga’ pasar malam Batu 13, Kemunting merancang untuk membakar bendera PAS. Saudara Sarip ialah Setiausaha Persatuan Peniaga Pasar Malam/Pekan Sehari Daerah Kubang Pasu dan juga Setiausaha PAS cawangan Paya Parit Lateh, Jitra.

Makluman itu menyebabkan saya terdiam sebentar dan tak berikan apa-apa respon kerana ingat ia adalah suatu gurauan semata-mata. Selepas talian dimatikan, sayapun terus makan sambil bercerita kepada dua aktivis PAS yang makan dengan saya tentang hal itu. Mereka berduapun diam dan terus makan. Fikiran saya terus berputar cuba memahami apakah maksud saudara Sarip Satay tersebut. Setelah selasai makan, kamipun segera balik ke opis saya dan duduk sebentar kemudian membuat panggilan balas kepada Sarip Satay untuk dapatkan pengesahan dan cerita yang lebih detail. Dari makluman saudara Sarip Satay, dia menyebut antara nama-nama pihak yang terlibat, saya mengenali orang itu.

Respon pertama saya terhadap perkara itu ialah sarankan Sarip Satay maklumkan kepada Ahli Majlis untuk mereka pergi siasat ataupun selesaikan perkara tersebut. Menurut Sarip Satay kepada saya ialah beberapa orang Ahli Majlis berada di Kuala Trengganu dan salah seorang Ahli Majlis lain yang tidak pergi ke Kuala Trengganu yang telah dihubungi olehnya memberi reaksi yang negatif. Di mana, Ahli Majlis tersebut berkata, “biaq pi lah depa nak bakaq bendera PAS, nanti kita selesaikan lah”.

Secara ringkasnya saya amat memahami situasi yang ada dan tidak ragu lagi tentang makluman Sarip Satay tentang tindakan pihak tertentu yang mungkin benar mahu membakar bendera PAS kerana marahkan pihak MDKP. Para peniaga marahkan MDKP kerana tidak membenarkan mereka berniaga di tempat itu.

Respon kedua saya ialah menghubungi Ustaz Yusof Hj Ahmad, Ahli Majlis dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Pasu. Apabila saya maklumankan, Ustaz Yusof secara spontan menjawab dia dah tahu perkara ini lebih awal lagi dan cuba mengambil beberapa tindakan. Kemudia saya panggil Ustaz Yusof berbincang di pejabat. Dia pun datang dan ceritakan kedudukan yang sebenar serta rasa kecewa dengan tindakan MDKP yang tidak mahu menerima bantahan dari Ahli Majlis supaya hasrat memindahkan peniaga pasar malam Batu 13, Kemunting dibatalkan (Rujuk Memorandum Bantahan Oleh Ahli Majlis Kepada MDKP).

Selepas mendapat maklumat dan memahami Ustaz Yusof bersendirian, maka saya terus ambil tindakan lagi dengan menalipon salah seorang sahabat Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Kedah minta pandangan. Pandangan yang diberikan ada dua tindakan yang perlu dilakukan ialah, pertama, minta mana-mana AJK PAS Kubang Pasu atau ahli PAS pergi buat laporan polis terlebih dahulu berhubung isu bakar bendera PAS dan kedua, cuba halang pihak berkenaan dari bertindak membakar bendera PAS. Sebab bendera PAS adalah bendera parti dan tidak boleh mana-mana pihak yang marahkan MDKP nak ambil tindakan bakar bendera PAS. Ada logik pandangan teman saya itu.

Atas keprihatin sebagai ahli dan aktivis PAS maka saya memberitahu beberapa rakan lain dan panggil mereka datang berbincang. Ketika itu jam menunjukkan sudah masuk solat zohor. Ustaz Yusof minta balik rumah untuk buat persiapan ke tapak pasar malam. Saya ketika itu sedang siapkan laporan polis yang ditaip menggunakan laptop peribadi supaya mudahkan urusan ketika membuat laporan polis nanti.

Langkah lain yang saya ambil ialah dengan menghantar SMS kepada semua Ahli Majlis Eksekutif dan Sukarelawan PEMBELA minta mereka berkumpul di opis secepat mungkin (Jam 2.30pm) untuk di beri taklimat dan tindakan untuk menghalang pihak tertentu dari membakar bendera PAS. Dan beberapa orang termasuk Rosli Omar dan Md Saad Kassim saya kerah terus ke tempat tersebut membuat pemantauan dan memberi laporan kepada saya terus dari sana.

Dari tempat pasar malam, Md Saad melaporkan kepada saya yang masih di opis dan menunggu perkembangan yang berlaku. Alhamdu lillah sekitar jam 3.15 petang, Md Saad laporkan kepada saya bahawa YB. Dr Abdul Isa, Yang DiPertua PAS Kubang Pasu merangkap Speaker DUN Kedah bersama-sama beberapa Ahli Majlis iaitu Cikgu Wahab Abdul Rahman, Ustaz Yusof Hj Ahmad, Dr Rohani Abdul Mutalib, Che On Yusof, Lee Ban That dan Kanna ada di tempat tersebut. Difahamkan kepada saya bahawa kehadiran Dr Abdul Isa adalah arahan dari Menteri Besar. Pada fikiran saya, perkara tersebut akan selesai dan tidak berlaku apa-apa kekecohan antara para peniaga dan pihak penguatkuasa MDKP. Mereka semua akan dibenarkan berniaga kerana wakil Menteri Besar dan Ahli Majlis ada di situ.

Perlu dijelaskan lagi bahawa, bukan kerja saya yang maklumkan ataupun gatal tangan sms kepada Menteri Besar atau Exco sehingga ada arahan supaya Dr Abdul Isa turun ke padang. Siapalah saya yang berani menghubungi MB Kedah. Hanya sekadar aktivis biasa seperti ahli-hali PAS lain. Lainlah kalau saya rapat dengan MB Kedah seperti segelintir ahli-ahli PAS.

Oleh itu, tidak timbul cerita yang mengatakan saya yang pandai-pandai ataupun campurtangan sehingga mendesak MB Kedah selesaikan isu ini. Dan ada maklumat kata MB Kedah marah-marah kepada Ahli Majlis Kubang Pasu yang kebetulan terjumpa olehnya di Kuala Trengganu. Kononnya, MB Kedah marah mereka kerana sms yang saya hantar. Kalau betul hebatlah saya sampai MB Kedah boleh marah mereka kerana sms saya. Lain kali bolehlah saya sms apa sahaja perkara yang Ahli Majlis buat tak kena di Kubang Pasu supaya MB Kedah boleh marah mereka lagi. Tapi....saya tak kisah tentang itu semua samada MB marah mereka ataupun saya. Kedudukan cerita sebenar saya yang tahu dan tidak perlu dikaitkan dengan MB Kedah kerana ini urusan di peringkat PBT yang sepatutnya Ahli Majlis membuat 'post morterm' tentang hal ini.

Apapun, sejak dari awal saya berpendirian bahawa kes-kes kecil berkaitan Majlis Daerah Kubang Pasu sepatutnya diselesaikan oleh Ahli Majlis yang dilantik. Bukan semuanya mesti dengan campurtangan MB ataupun Exco. Kuasa yang mereka ada sudah cukup untuk menentukan halatuju Pihak Berkuasa Tempatan Kubang Pasu. Baik atau buruknya PBT Kubang Pasu adalah bergantung kepada dasar, polisi, idea dan rancangan yang mereka secara langsung terlibat meluluskannya. Kalau semua hal nak guna MB Kedah dan Exco, baiklah Ahli Majlis hantar surat letak jawatan kerana masih ramai ahli PAS yang layak dan berkredibeliti untuk menjalankan tugas sengai Ahli Majlis. Itu saja jalan terbaik kepada mereka yang suka bebal ataupun tak tahu nak guna kuasa menjaga kepentingan rakyat, PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Berbalik kepada peranan saya dituduh sebagai dalang di sebalik isu bakar bendera PAS dan mengadakan demonstrasi bersama peniaga pasar malam Batu 13, Kemunting sehingga mencetuskan kekecohan pada hari itu telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu yang mungkin rasa tidak senang dengan kemunculan saya dalam PAS Kubang Pasu. Bagi saya nak politikkan isu ini yang berbaur fitnah, elok hentikan saja kerana nanti ia memakan diri sendiri. Sepatutnya Ahli Majlis toleh ke belakang tentang sikap mereka yang teleh mengkhianati keputusan parti dan PAS Kubang Pasu dalm isu parking terlebih dahulu. Perkara ini belum selesai dan akan terus menjadi bahan perbualan ahli-ahli PAS.

Sekitar jam 3.45 petang, saya telah menerima banyak panggilan dan sms termasuk dari sukarelawan PEMBELA, ahli persatuan peniaga pasar malam dan para peniaga yang berada di tempat tersebut yang minta saya datang bantu selesaikan kes ini (iaitu dibenarkan mereka berniaga) pada petang itu. Setelah berfikir dan mahu tahu keadaan sebenar di tempat kejadian, maka saya hubungi Mohd Jamal Nasir dan Mokhtar Hamid ajak mereka ke sana. Setelah sampai di sana, saya dapati para peniaga sedang berkumpul di dalam warung yang ketika itu kelihatan wakil MB (Speaker) dan Ahli Majlis sedang duduk dan kerumuni oleh peniaga. Saya tak pasti apa yang sedang berlaku dan mereka bincangkan. Tetapi kehadiran saya diserbu oleh para peniaga dan wartawan yang mengenali saya. Ketika itu juga ramai minta supaya saya berunding bagi pihak mereka dengan penguatkuasa MDKP supaya dibenarkan mereka berniaga.

Langkah pertama yang saya ambil di tempat tersebut ialah bertemu dengan beberapa Ahli Majlis dan tanyakan tentang ‘stand’ mereka dalam hal ini. Kedua saya Tanya Ustaz Yusof tentang ‘stand’ Dr Abdul Isa yang mungkin telah memberi pandangan dan idea tentang hal ini. Ketiga, saya jumpa penganjur (UMNO Batu 13) minta pertanggungjawabannya, apabila MDKP menghalang para peniaga pasar malam tersebut dan keempat saya panggil beberapa Sukarelawan PEMBELA untuk dapatkan maklumat berhubung pihak tertentu yang merancang ingin membakar bendera PAS.

Setelah keempat-empat proses itu saya lalui, maka saya pun berjumpa para peniaga yang berkumpul dan bertanya adakah mereka boleh berpindah ke tempat yang dicadangkan oleh MDKP ataupun masih mahu pertahankan tapak berniaga di Batu 13, Kemunting. Hampir seluruh peniaga yang ada di depan saya berkata mahu terus kekal berniaga di situ. Dan ada yang dah mula mengutuk MB, PAS dan Ahli Majlis, di samping membanding-bandingkan antara kerajaan PAS (PR) dan UMNO (BN).

Bagi memastikan PAS berperanan dan kehadapan membela nasib peniaga Batu 13, Kemunting (sebelum ini YB UMNO lebih berperanan di kacamata peniaga), saya ambil keputusan ajak seorang Ahli Majlis (Kanna) pergi berjumpa pegawai pengutakuasa untuk berbincang. Keikhlasan saya mewakili peniaga untuk berbincang dengan Pegawai Penguatkuasa tidak dilayan. Waktu yang sama ada suara yang bertanyakan saya datang mewakili siapa dan adakah saya dapat arahan rasmi dari Yang DiPertua Majlis Kubang Pasu ataupun wakil MB Kedah untuk berbincang dengan mereka. Keadaan tersebut menyebabkan saya rasa tegang dan ambil keputusan menyerahkan kepada Ahli Majlis atau wakil MB sahaja untuk selesaikan. Sayapun berundur dan pergi berjumpa sekumpulan peniaga meminta mereka mematuhi undang-undang berpindah supaya tidak berlaku keadaan buruk.

Namun cadangan saya dibantah dan mereka mendesak supaya kerajaan campurtangan. Waktu itulah saya mula hubungi Pegawai Khas MB Kedah, Cikgu Raslizan (sahabat saya) maklumkan perkara ini dan minta supaya dia lakukan sesuatu. Jawapan yang saya terima juga mendukacitakan, seolah-olah sahabat saya tidak berminat untuk membantu.

Oleh kerana itu saya ambil keputusan sms kepada Menteri Besar Kedah yang saya memang kenal hati budinya secara dekat. SMS tersebut hanya berbentuk meminta MB Kedah supaya bantu menyelasaikan isu ini sehingga para peniaga boleh berniaga. Itu sahaja maksud sms saya kepada Menteri Besar Kedah. Sayapun tidak pasti adakah sms itu masuk kepada Menteri Besar ataupun dibaca olehnya kerana saya ketahui bahawa beliau sedang sibuk di Kuala Trengganu. Saya lakukan tindakan menghantar sms kepada Menetri Besar Kedah adalah semata-mata mahu isu ini diberi perhatian oleh kerajaan, sekaligus membuktikan kepada rakyat bahawa kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat sememangnya bersungguh-sungguh menegakan solagan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”.

Selepas sms saya hantar saya ambil keputusan balik ke opis sekiat jam 5.15 petang bersama saudara Mohd Jamal Nasir dan Moktar Hamid. Di samping keluarkan arahan supaya sukarelawan PEMBELA tunggu di tempat sehingga keadaaan menjadi tenang dan tidak ada pihak lain (UMNO) ambil kesempatan di sudut politik. Ternyata bacaan politik saya betul bahawa sekitar jam 6.15 petang, pihak UMNO hantar wakil mereka berunding dengan penguatkuasa MDKP. Setelah rundingan dijalankan, maka peniaga dibenarkan berniaga. Itulah hakikatnya.

Kira-kira jam 7.30 malam, saya dapat panggilan dari Ustaz Yusof bahawa para peniaga telah dibenarkan berniaga hasil rundingan yang telah beliau lakukan dengan kerjasama wakil UMNO Kubang Pasu.

Itulah sahaja peranan saya ataupun PEMBELA dalam isu bakar bendera PAS dan juga pasar malam Batu 13, Jitra yang kini di tuduh sebagai dalang kontroversi tersebut.

FITNAH KEPADA SAYA DAN PEMBELA

Ada pihak yang sekarang ini rancak membawa berita bahawa saya dan PEMBELA menjadi dalang disebalik peristiwa ini. Sehinggakan ramai yang mula pandang serong terhadap PEMBELA.

Ada pihak yang memfitnah saya dan PEMBELA yang merekayasa isu sekumpulan peniaga mahu bakar bendera PAS untuk dapatkan perhatian serta keuntungan dari sudut politik.

Fitnah yang lebih besar lagi ialah saya dan PEMBELA adalah agen UMNO untuk jatuhkan kerajaan dan PAS Kubang Pasu.

RUMUSAN

Perlu disedari bahawa saya ataupun PEMBELA tidak berminat untuk mencampuri urusan berkaitan Majlis Daerah Kubang Pasu, jika ia boleh memberi kebaikan kepada rakyat serta menaikan imej PAS.

Sebaliknya, jika tindakan ataupun keputusan MDKP yang jelas merugikan rakyat serta memburukkan imej PAS maka saya dan PEMBELA tidak teragak-agak untuk turut serta terlibat dalam kapisiti yang kami ada. Itu sahaja penegasan yang ingin saya sampaikan kepada mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen memburukkan raputasi saya dan PEMBELA.
Saya dan PEMBELA mesti di lihat dalam dua keadaan iaitu pertama, sebagai aktivis PAS dan kedua bergerak atas nama badan bukan kerajaan (NGO) di Kubang Pasu.

3 comments:

pemuda99 said...

Kini,Pas Kubang Pasu bergolak kembali,sampai bila situasi ini akan berterusan,..sekiranyanya perkara ini berlarutan, semua ahli PAS akan lari kerana sudah muak denga karenah - karenah Ahli Ahli PAS kubang Pasu,HENTIKAN PERBALAHAN INI ! DEMI KEPENTINGAN ISLAM DAN JAMAAAH!!!!

Unknown said...

pas kubang pasu ni dah lama dah dok tidog...kena kacau bagi jaga sikit baru orang tau kat kubang pasu ada pas...PAS TETAP PAS WALAU APA TERJADI!!!!

Anonymous said...

Tu belum memerintah negara tu. Tu baru negeri.
View Profile: Rantong