Sunday, January 18, 2009

AKTIVIS PAS KERJASAMA PEMBELA BERI SUMBANGAN TAHUN BARU CINA

Sempena Tahun Baru Cina 2009, aktivis PAS Kubang Pasu kerjasama PEMBELA akan menghulurkan sumbangan kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan dari kalangan masyarakat Cina dalam daerah Kubang Pasu.

Setiausaha Agong PEMBELA, Basir Hj Ismail berkata aktivis PAS Kubang Pasu telah mengumpulkan dana dengan kerjasama PEMBELA sebanyak RM 13,000.00 untuk menyediakan sumbangan berbentuk hamper kepada masyarakat Cina dalam daerah ini yang akan menyambut Tahun Baru Cina minggu depan. Dana ini disumbangkan oleh saudara Mohd Jamal Nasir (RM5000), Zabedi Usop (RM 500), Ooi Jin Taik (RM1000), Basir Ismail (RM1000), Muslim Daud (RM200), Md Saad Kasim (RM 200), Mokhtar Hamid (RM150), Zulaimi Khazin (RM1500), Zailani Lehem (RM2500) dan sumbangan oleh Tabung Kebajikan PEMBELA sebanyak RM950.

Sumbangan tersebut akan disampaikan oleh aktivis PAS dan PEMBELA terus kepada golongan sasaran yang telah dikenalpasti oleh pihak PEMBELA, melibatkan DUN Jitra dan Bukit Kayu Hitam.

Basir berkata, aktiviti sumbangan Tahun Baru Cina ini dijalankan bertujuan untuk mendekatkan golongan tersebut dengan PAS dan PEMBELA, di samping meraikan mereka yang akan menyambut perayaan tersebut setahun sekali.

“Walaupun aktivis PAS dan PEMBELA tidak mewakili PAS Kubang Pasu secara langsung, namun kegiatan ini akan dapat memberi gambaran yang positif golongan berkenaan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh YAB Dato Seri Ustaz Azizan Hj Abdul Razak’ ujar Basir.

Mengulas tentang golongan miskin dari kalangan orang-orang Melayu dalam daerah Kubang Pasu, Basir berkata aktivis PAS dan PEMBELA telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak Membantu Rakyat Miskin yang di Pengerusikan oleh Hj. Hashim Abu dan Zabedi Usop sebagai Timbalan Pengerusi serta 12 Ahli Jawatankuasa. Mereka akan memberi fokus dalam kerja-kerja membaiki rumah-rumah golongan miskin ataupun ketinggalan berdasarkan kepada penilaian yang di buat oleh Jawatankuasa.

“Insya allah.. bagi menjayakan gerak kerja kebajikan ini kami terus mengumpul dana dari rakan-rakan ahli perniagaan yang berada di dalam dan luar Negara yang rapat dengan kami. Mereka (ahli pernigaan) yang sentiasa memberi sumbangan dan menyokong usaha murni yang kami lakukan demi memastikan PAS sentiasa dekat di hati mereka,” Basir menambah.

No comments: