Wednesday, January 28, 2009

ISU PERKASA PAS | SOAL-JAWAB BERSAMA MOHD JAMAL NASIR

Agenda memperkasa semua peringkat organisasi PAS, bukanlah idea baru ataupun suatu isu bersifat retorik semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan agenda parti yang terbit dari arahan pimpinan tertinggi PAS sejak sekian lama. Ia suatu agenda yang mesti diberi keutamaan, jika PAS mahu memenangi Pilihanraya ataupun menjadi sebuah Jamaah Islam yang dinamik di Negara ini. Oleh itu, sikap memandang remeh ataupun menidakkan usaha mana-mana pihak dalam PAS untuk memperkasa mana jua mekanisme PAS, adalah ibarat ‘duri dalam daging’ yang perlu diubati dengan segara. Kesannya amat dahsyat kerana ia akan membarah dan membahaya kepada PAS.

Apakah yang dimaksudkan memperkasa PAS ?.

Secara peribadi saya memahami bahawa memperkasa PAS adalah suatu tindakan, usaha maupun perancangan untuk menekankan peranan PAS dalam kehidupan masyarakat yang bersifat ‘multi racial’, di samping memberi makna dan jati diri yang ampuh kepada pejuang-pejuang ataupun ahli-hali PAS itu sendiri dalam konteks ajaran dan suruhan agama. Di mana ia bermula dari pemerosesan kekuatan akidah Islam yang berkaitan faham ketuhanan, kenabian, kebenaran, agama dan nilai-nilai akhlakiyah sehinggalah kepada persoalan perlaksanaan undang-undang Islam dalam sebuah Negara.

Ertinya, memperkasa PAS adalah sebahagian dari kerja dakwah dan tarbiyyah yang tidak boleh berhenti dan wajib dilaksanakan sepanjang masa.

Dalam konteks Kubang Pasu pula, gerak kerja memperkasakan PAS nampaknya tidak direstui ataupun dipinggirkan apabila PAS Kawasan melalui Setiausahanya secara sedar ataupun tidak telah mengeluarkan surat pekeliling menamatkan program memperkasa PAS tersebut. Di samping mendakwa telah mencapai matlamatnya dan juga mengingatkan cawangan-cawangan supaya berhati-hati dengan program yang bukan dianjurkan ataupun direstui oleh PAS kawasan.

Sesungguhnya tindakan PAS Kawasan Kubang Pasu menamatkan program memperkasa PAS adalah langkah yang dikira kurang bijak dan boleh dipertikaikan. Di samping, memperlihatkan sikap sebenar mereka yang tidak peduli tentang permasalahan yang melanda dalam kawasan selama ini yang menjadi punca kepada kelemahan PAS Kubang Pasu dalam semua aspek.

Sehubungan itu, Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa PAS Kubang Pasu memberi respon berhubung isu memperkasa PAS Kubang Pasu yang kini sedang diperkatakan secara meluas dikalangan ahli-ahli dan aktivis PAS dalam Kubang Pasu menjelang Mesyuarat Agong Tahunan di peringkat cawangan dan kawasan.

S: Apakah pandangan saudara tentang PAS Kubang Pasu

J: Secara peribadi saya boleh mengatakan bahawa PAS Kubang Pasu berada dalam keadaan yang baik.

S: Apa maksud saudara ‘berada dalam keadaan baik’ tersebut ?

J: Maksud saya ialah PAS Kubang Pasu telah berjaya melakukan kerja dan menunaikan amanah seperti mana yang dikehendaki oleh ahli dan parti mengikut kapisiti dan kerangka yang telah ditetapkan.

S: Adakah saudara bersetuju bahawa PAS Kubang Pasu telah mencapai matlamatnya ‘Memperkasa PAS’ ?
J: Sukar untuk kita mengukur tahap pencapaian matlamatnya memperkasa PAS tersebut. Ini kerana, ia tidak boleh di lihat dalam konteks yang objektif semata-mata. Sebaliknya ia memerlukan kita melihat secara keseluruhan mekanisme yang terlibat dalam PAS itu sendiri. Namun tidak berlebih-lebih kalau saya katakana bahawa ada matlamat yang telah dicapai dan masih banyak juga belum tercapai.

S: Boleh jelaskan jenis matlamat yang dicapai ?
J: Untuk menjawab secara spesifik soalan ini agak susah sikit. Ini kerana, gerak kerja berkaitan politik adalah bersifat subjektif. Jangan dinafikan bahawa gerak kerja politik PAS di Kubang Pasu yang dilakukan oleh pimpinan sekarang adalah mengikut kemampuan yang mereka ada.

S: Maksudnya, saudara akui PAS Kubang Pasu capai matlamatnya ?
J: Ya. Perlu dijelaskan lagi bahawa mencapai matlamat bukan bermakna PAS Kubang Pasu telah berjaya memenangi kerusi di peringkata Parlimen ataupun Dun. Ia harus melihat kepada usaha dan gerak kerja yang dilakukan dari keputusan yang telah di buat.

S: Adakah saudara setuju jika ahli mengatakan PAS Kubang Pasu berada dalam keadaan yang lemah dan kaku ?

J: Maaf… saya tak boleh komen tentang ini, sebab saya baru sahaja dilantik sebagai AJK PAS Kubang Pasu. Dari pengamatan secara peribadi bahawa untuk kita mengatakan PAS Kubang Pasu itu lemah dan kaku tanpa sebarang bukti adalah sesuatu yang tidak adil dan perlu diperbetulkan. Kayu ukur apa yang digunapakai mengatakan PAS Kubang Pasu itu lemah dan kaku. Itu perlu saya tahu dulu. Baru boleh saya komen nanti.

S: PAS Kubang Pasu mengatakan mereka telah mencapai matlamat ‘Memperkasa PAS’. Adakah saudara bersetuju.
J: Tadi saya dah jelaskan tentang itu. Sesungguhnya agenda memperkasa PAS adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh ahli dan saf kepimpinan dalam mana-mana organisasi parti. Setiap ahli bertanggungjawab untuk berusaha memperkasakan PAS mengikut kemampuan mereka masing-masing. Kalau ahli dah perkasa, pastilah PAS juga akan turut perkasa.

S: Apa cadangan saudara untuk perkasakan ahli ?

J: Ahli mesti memiliki ilmu dan beramal dengan ilmu. Ilmu yang maksudkan adalah semua yang berkaitan dengan kehidupan manusia itu sendiri. Mencari ilmu tanggungjawab peribadi dan tidak boleh nak salahkan orang lain. Soalnya…adakah ahli PAS Kubang Pasu suka menacri ilmu. Kalau suka, tandanya ahli PAS akan perkasa, tapi kalau tak suka cari ilmu kita kena usahakan supaya mereka berminat cari ilmu. Hidup tanpa ilmu, ibarat gelap tanpa lampu.

S: Berbalik kepada tindakan PAS Kubang Pasu keluarkan surat pekeliling berhubung penamatan program perkasa PAS Kubang Pasu. Apa komen saudara ?

J: Saya belum tengok surat pekeliling tersebut. Jadi tak boleh nak beri komen tentangnya.

S: Jika saudara dapat tengok, apa komen tentangnya ?

J : Sebagai jawapan awal, saya kira mungkin ahli-ahli salah faham tentang maksud surat tersebut. Tidak mungkin PAS Kubang Pasu akan tamatkan program memperkasakan PAS. Jika itu dilakukan ia adalah tidak wajar dan saya akan menegurnya nanti.

S: Komen saudara tentang cerita-cerita yang mengatakan usrah Kubra yang dijalankan oleh aktivis PAS Kubang Pasu cuba dihalang oleh pihak tertentu. Buktinya surat pekeliling yang dihantar kepada cawangan-cawangan ?

J: Tidak masuk akal kalau PAS Kubang Pasu nak halang usrah Kubra. Sebab apa nak halang program usrah. Usrah adalah program tarbiyyah sangat baik. Ia perlu diadakan oleh setiap organ parti. Saya amat yakin bahawa PAS Kubang Pasu akan menyokong usaha baik yang dijalankan oleh aktivis menjayakan usrah Kubra tersebut. Saya ingin menyebut bahawa saya salah seorang yang terlibat dengan program ini sejak dari mula lagi.

S: Usrah Kubra medan aktivis PAS jatuhkan AJK PAS Kubang Pasu ?

J: Karut ! . Fitnah semata-mata. Pihak yang mengada-adakan cerita usrah Kubra sebagai kumpulan menjatuhkan pimpinan ataupun merosakkan perpaduan dalam PAS adalah persepsi yang salah dan tidak tepat. Adakah orang tersebut ikut usrah Kubra. Saya adalah ahli usrah Kubra. Usrah yang diadakan ini sangat baik kerana dapat mengeratkan ukhwah antara ahli, membentuk fikrah dan ia dipimpin oleh ahli PAS yang berpengalaman dan istiqomah. Jika ada pihak yang menentang ataupun memandang serong pada usrah Kubra, eloklah berjumpa dengan pihak penganjur supaya salah faham tersebut dapat diperbetulkan.

S: Usrah Kubra bukan anjuran PAS Kubang Pasu. Ini bermakna ia telah membelakang organisasi serta boleh mendatangkan fitnah kepada PAS Kubang Pasu itu sendiri ?
J: Mengapa perlu dipersoalkan siapa yang menganjurnya. Cukuplah kalau kita tahu mereka adalah ahli-ahli PAS dan naqibnya juga dari kalangan pimpinan PAS. Tak guna kalau PAS anjur, tapi naqib bukan dari kalangan pimpinan PAS. Lebih lagi yang tak ada fikrah PAS. Itu yang bahaya.

S: Apa peranan usrah Kubra ?
J: Dari pengalaman saya, usrah dapat melahirkan amilin yang ikhlas dan bermotivasi, apabila musim pilihanraya. Sukar untuk kita berjumpa petugas pilihanraya yang telah mengikuti usrah parti tidak bersembahyang ataupun menjaga syaksiyyah. Semua mereka adalah petugas yang berkualiti. Sebab itu usrah penting.

S: Akhirnya, apa harapan saudara kepada PAS Kubang Pasu ?

J: Harapan saya mungkin sama dengan ahli-ahli PAS lain iaitu mahu melihat PAS Kubang Pasu menguasai arena politik setempat. Di samping, PAS menjadi sebuah Jamaah Islam yang boleh menyelesaikan permasalahan umat mengikut acuan Islam. Optimistik saya ini kerana melihat ‘trend’ sekarang, di mana rakyat sudah berani menolak UMNO/BN dalam PRU 12 lalu dan PR Kecil Permatang Pauh dan Kuala Trengganu.

1 comment:

mihnaz said...

Nampak sangat soalan yang di utarakan ada "bias" he2, saudara penyoal kalah dalam pelantikan Pas Kawasan k? ;)mungkin ada hikmahnya tuhh